Antara punca utama terjadinya gastrik atau pedih hulu hati ialah jangkitan bakteria dipanggil Helicobacter Pylori (H.pylori). Bakteria ini khususnya terdapat pada lapisan perut dan menyebabkan radang berlaku pada lapisan berkenaan yang akhirnya menyebabkan seseorang pesakit itu mengalami serangan gastrik.

Akan tetapi, 80 peratus daripada kita mempunyai bakteria ini di dalam perut, namun tidak mengalami masalah gastrik. Simptom pesakit yang dijangkiti H.pylori ini adalah sama dengan pesakit gastrik yang lain.

Pedih bahagian hulu hati atau bahagian atas perut, kembung perut, loya dan juga kerap sendawa adalah antara simptom gastrik. Jika radang yang berlaku semakin teruk, ada kala najis pesakit menjadi kehitaman.

Kira-kira 10 hingga 20 peratus mereka yang mengalami gastrik akibat jangkitan bakteria ini berisiko untuk mendapat ulser perut. Keadaan di mana radang yang berlaku pada permukaan lapisan perut menjadi besar dan semakin mendalam.

Ini menyebabkan pesakit mengalami sakit yang lebih teruk daripada biasa dan ada kala pendarahan berlaku serta pesakit mengalami muntah darah. Satu hingga dua peratus daripada mereka pula berisiko untuk mendapat kanser perut.

Terdapat beberapa cara untuk mengesahkan seseorang itu mengalami pedih hulu hati akibat serangan jangkitan bakteria ini. Ujian darah untuk mengesan antibodi bakteria boleh dilakukan.

Selain itu ujian nafas urea adalah antara cara mudah untuk mengesahkan jangkitan. Sampel juga boleh diambil dari lapisan usus ketika prosedur endoskopi dilakukan dan sampel berkenaan dihantar ke makmal untuk pengesahan tepat.

Rawatan untuk jangkitan ini adalah pengambilan kombinasi ubat yang juga mengandungi antibiotik untuk membunuh kuman. Selain itu, ubat lain yang terkandung dalam kombinasi itu dapat mengawal radang gastrik menjadi teruk atau memastikan ulser perut yang sudah terbentuk sembuh. Ubat-ubat ini diberikan dalam bentuk pil sahaja dan mengambil tempoh rawatan seminggu ke dua minggu.

Dalam kebanyakan pesakit yang sudah manjalani rawatan ini, 80 peratus tidak akan mendapat jangkitan berulang. Ulser perut yang sudah terbentuk bagi sesetengah pesakit pula biasanya akan sembuh sepenuhnya selepas lengkap menjalani rawatan itu. Sehingga hari ini, masih lagi tidak ada vaksin yang boleh diberikan untuk mengelakkan jangkitan H.pylori ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2015 @ 5:01 AM