GASTRIK membuat pesakit sakit perut.
GASTRIK membuat pesakit sakit perut.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SAKIT hujung hati, pedih, rasa kembung, ada kalanya rasa panas di dada, rasa tercekik dan masam atau pahit ditekak.

Malah, ada juga mengalami batuk berpanjangan dan sakit tekak yang tidak pulih walaupun sudah mengambil pelbagai jenis ubat batuk serta antibiotik.

Semua ini adalah gejala gastrik yang dialami pesakit hingga membuatkan mereka menderita.

Pakar Pembedahan Am, Exco Wanita, Remaja dan Kanak-kanak (Warak), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) Dr Afizah Salleh berkata, gastrik ialah radang pada permukaan dalam organ perut atau gaster.

Menurutnya, keradangan ini boleh disebabkan oleh penghasilan asid yang banyak akibat pengambilan makanan tertentu.

"Ia terutama buah-buahan jenis sitrus seperti epal, lemon, anggur, pengambilan minuman berkafein, beralkohol, ubat antiradang dalam jangka masa lama dan jangkitan bakteria jenis 'helicobacter pylori'.

DR Afizah
DR Afizah

"Jika dibiarkan, boleh menyebabkan gastrik kronik dan pembentukan ulser yang mengakibatkan pendarahan.

"Tekanan juga boleh menghasilkan banyak jus gastrik dan asid di dalam perut. Buktinya, semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang datang ke fasiliti kesihatan adalah pesakit gastrik dan penyakit refluks gastroesofagus," katanya.

Dr Afizah berkata, ini kerana, penghasilan gastrik jus terutama penghasilan asid hidroklorik diperantarakan oleh pelbagai reseptor dan stimulus termasuk neural (saraf) dan endokrin (hormon atau enzim).

"Asid yang dihasilkan adalah untuk membantu proses pencernaan dan penyerapan makanan.

"Selain itu, ia juga penting untuk membunuh bakteria yang masuk ke dalam perut bersama makanan.

PERBANDINGAN perut sihat dan perut gastrik.
PERBANDINGAN perut sihat dan perut gastrik.

"Tisu perut pula secara semula jadi adalah tidak terkesan dengan asid hidroklorik ini yang mempunyai pH yang sangat rendah iaitu 0.8.

"Ini kerana terdapat juga sel mukus menghasilkan bikarbonat yang mampu meneutralkan asid dan menjadi lapisan pelindung daripada pengautocernaan," katanya.

Dr Afizah berkata, sepanjang tempoh PKP lalu, hampir semua pesakit yang ditemui mempunyai satu amalan pengambilan jus lemon sebelum sarapan sebagai satu usaha diet untuk kurus.

Kata Dr Afizah, ada juga yang mengamalkan pengambilan minuman vitamin C sebelum sarapan kerana takut dijangkiti virus Covid-19.

"Diet bukan bermakna menahan diri daripada makan, tetapi mengambil makanan mengikut keperluan kalori dan seimbang daripada segi kandungan karbohidrat, protein, serat, lemak serta zat lain.

UBAT ‘proton pump inhibitor’ diberikan kepada pesakit gastrik untuk mengurangkan penghasilan asid dalam perut.
UBAT ‘proton pump inhibitor’ diberikan kepada pesakit gastrik untuk mengurangkan penghasilan asid dalam perut.

"Ini dicirikan lagi oleh kadar metabolisma seseorang dan gaya hidupnya sama ada aktif atau tidak.

"Digalakkan mengambil banyak serat kerana bukan sahaja bagi mengawal berat badan, tetapi juga untuk sistem pencernaan yang lebih baik," katanya.

Kata Dr Afizah, pengambilan jus lemon semasa perut kosong setiap hari tidak membantu menurunkan berat badan dan jika mengambil makanan lain secara berlebihan boleh membawa mudarat.

"Buah-buahan sitrus menggalakkan lagi penghasilan asid. Jika berlaku ketidakseimbangangan antara asid dan bikarbonat, gastrik serta penyakit refluks gastroesofagus boleh berlaku.

"Lebih teruk lagi, jika hakisan pada dinding perut berlaku lebih dalam, ia menyebabkan pembentukan ulser yang boleh membawa kepada gejala pendarahan dalam perut.

ELAKKAN minum jus lemon sebelum sarapan.
ELAKKAN minum jus lemon sebelum sarapan.

"Ini adalah keadaan kecemasan yang memerlukan tranfusi darah dan prosedur menghentikan pendarahan secara endoskopi atau lebih malang lagi pembedahan," katanya.

Jelasnya, refluks gastroesofagus adalah satu penyakit apabila sfinkter di bahagian bawah esofagus menjadi longgar apabila seseorang makan dan menghasilkan jus gastrik.

"Apabila sfinkter longgar maka jus gastrik dan sebahagian makanan akan naik semula ke atas.

"Dalam keadaan yang teruk, ia boleh naik sehingga ke bahagian tekak dan merosakkan gusi serta gigi.

"Pesakit boleh berasa seperti sesak nafas dan panas di bahagian dada atau hujung hati. Malah pesakit boleh dapat gejala seperti asma," katanya.

HINDARI makan pedas.
HINDARI makan pedas.

Dr Afizah berkata, sfinkter ini boleh menjadi longgar kerana kedudukan anatominya atau secara fisiologi.

"Ini boleh disebabkan oleh pengambilan minuman beralkohol, rokok, minuman berkafein, hormon estrogen, kegemukan atau apa sahaja keadaan yang menyebabkan tekanan di bahagian abdomen meningkat.

"Pengambilan vitamin C adalah baik sebagai suplemen untuk membantu meningkatkan imuniti semasa, terutama ketika melawan jangkitan virus.

"Namun, tidak perlu mengambilnya semasa perut kosong. Bukanlah vitamin C menyebabkan kesembuhan daripada jangkitan virus, walaupun diambil dalam dos yang banyak," katanya.

Kata Dr Afizah, antibodi akan tetap terhasil apabila badan diserang virus. Selain itu, penghasilan bahan kimia lain yang menyebabkan kesan samping seperti pembekuan darah dan keradangan paru-paru tidak akan sembuh walaupun mengambil vitamin C.

"Paling penting adalah menjaga prosedur operasi standard (SOP) supaya tidak dijangkiti virus.

"Pada masa sama, memastikan diri dan keluarga mendapat vaksin supaya badan lebih bersedia serta tidak mendapat kesan jangkitan yang teruk.

"Pesakit gastrik akan diberikan ubat 'proton pump inhibitor' untuk mengurangkan penghasilan asid dan dinasihati supaya mengambil makanan dengan cara betul serta mengikut masa," katanya.

Katanya, makanan yang pedas dan masam juga perlu dielakkan buat sementara waktu. Tabiat merokok juga patut dihentikan termasuk rokok elektronik (vape) kerana kandungan nikotinnya adalah sama.

Menurutnya, bagi masalah refluks gastroesofagus, sejenis ubat akan membantu supaya makanan dan asid terhasil dapat turun ke bawah dengan cepat (increase gastric emptying) bersama ubat proton pump inhibitor.

"Selain itu, cara hidup perlu diubah seperti mengelakkan tekanan, ambil makanan dalam kuantiti sedikit, tetapi kerap, kurangkan berat badan dan elak semua jenis makanan yang menghasilkan banyak jus gastrik serta menyebabkan sfinkter menjadi longgar.

"Jika masih tidak sembuh, prosedur endoskopi perlu dilakukan untuk melihat kemungkinan ada masalah lain seperti keadaan anatomi, jangkitan 'helicobacter pylori' (sejenis bakteria tahan asid dan menyebabkan gastrik kronik atau komplikasi seperti ulser dan esofagitis)," katanya.

Dr Afizah berkata, esofagitis ialah radang di bahagian bawah esofagus akibat refluks yang teruk.

"Sekiranya perlu, prosedur ultrasound akan dilakukan untuk memastikan keadaan ini bukanlah disebabkan oleh batu di dalam hempedu.

"Suplemen, ubat dan makanan adalah berbeza. Ubat perlu diambil mengikut arahan doktor berpandukan indikasi.

"Suplemen adalah makanan tambahan dan tidak mampu menyembuhkan serta tidak boleh diambil seperti makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 6:30 AM