KEUNIKAN SkyBridge Langkawi dengan laluan yang berlekuk menggamit pengunjung. FOTO Rohanis Shukri
KEUNIKAN SkyBridge Langkawi dengan laluan yang berlekuk menggamit pengunjung. FOTO Rohanis Shukri
Suliati Asri


MENIKMATI pemandangan matahari terbenam adalah momen indah yang tidak tergambar dengan kata-kata.

Disaksikan pula ketika berlayar di tengah lautan yang membiru. Ia pastinya pengalaman yang sukar untuk dilupakan.

Itulah pengalaman manis yang dapat dinikmati penulis bersama rakan media menerusi program Resort World Langkawi FAM Trip, saat berkunjung ke Pulau Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Pelayaran matahari terbenam yang mempesona

Pulau Langkawi kini antara destinasi terbaik untuk melihat pemandangan indah matahari terbenam.

Menariknya, kini pengunjung tidak hanya dapat melihat panorama indah itu di daratan tetapi dari atas kapal di tengah Laut Andaman.

MELIHAT pemandangan indah matahari terbenam dari Crystal Yacht di laut Andaman. FOTO Rohanis Shukri
MELIHAT pemandangan indah matahari terbenam dari Crystal Yacht di laut Andaman. FOTO Rohanis Shukri

Memulakan pelayaran dari jeti marina Resort World Langkawi, kapal yang membawa rombongan penulis iaitu Crystal Yacht mula berlayar ke lokasi terbaik untuk melihat matahari terbenam.

Sementara menunggu matahari terbenam, kami disajikan dengan hidangan makan malam berbeku. 'Mahalnya' hidangan berbeku ini, ia dibakar di atas kapal ketika sedang berlayar di tengah lautan.

Bukan itu saja, pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman jakuzi asli air laut yang disediakan.

SUASANA yang mendamaikan yang menanti pengunjung di Tasik Dayang Bunting. FOTO Rohanis ShukriKRI
SUASANA yang mendamaikan yang menanti pengunjung di Tasik Dayang Bunting. FOTO Rohanis ShukriKRI

Tasik Dayang Bunting

Meneruskan penerokaan, Tasik Dayang Bunting yang menjanjikan satu pengalaman mengujakan adalah lokasi seterusnya yang dikunjungi.

Dari segi geografi, tasik ini terletak di Pulau Dayang Bunting kira-kira empat kilometer dari pulau besar Langkawi.

Untuk ke sini, pengunjung perlu menaiki bot dan kebanyakan operator 'island hopping' akan singgah di sini.

Tasik Dayang Bunting ini hanya 100 meter dari kawasan air laut.

Bagaimanapun, sebaik bot berlabuh di jeti, pengunjung perlu berjalan kaki dan mendaki serta menuruni anak tangga untuk sampai ke tasik yang cukup mempesona ini.

Sebaik sampai di tasik yang dengan airnya yang hijau, perasaan terasa tenang dan damai.

Mengikut kepada maklumat yang terdapat di sekitar tasik, sebenarnya, tasik ini adalah sebuah dolina iaitu lubang yang terbentuk apabila lapisan batu kapur terlarut oleh air.

Akibatnya, kubah gua runtuh kerana ia tidak dapat menampung berat batuan di lelangit gua.

Proses ini menghasilkan sebuah lubang yang kemudiannya dipenuhi air hujan sehingga membentuk tasik yang kita lihat hari ini.

Satu lagi pemandangan unik yang perlu diamati saat berada di sini adalah farmasi bukit bukau di sekeliling tasik ini yang memperlihatkan seorang wanita hamil sedang berbaring.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di tasik ini adalah adalah mandi manda, bermain paddle bot, berkayak dan bersantai.

Ke puncak Machinchang Kereta Kabel Langkawi (SkyCab Langkawi)

Ada yang berpendapat, tidak lengkap kunjungan ke Pulau Langkawi andai tidak berkunjung ke destinasi yang sentiasa menjadi pilihan ramai pelancong iaitu Kereta Kabel Langkawi.

Walaupun sudah beberapa kali menaiki kereta kabel atau dikenali SkyCab, ia tetap seperti kali pertama kerana pengalaman dan pemandangan yang disajikan di sini sentiasa berbeza.

Mana tidaknya menikmati keindahan hutan yang menghijau dari sudut yang tinggi adalah pemandangan cukup 'mahal.'

Bukan itu saja, pemandangan lautan dan air terjun dari gondola turut membuatkan sesiapa saja yang menaiki kereta kabel ini teruja.

SkyBridge Langkawi

Terletak di puncak Gunung Machinchang, SkyBridge Langkawi adalah satu lagi lokasi yang 'mesti' di kunjungi di sini.

Uniknya skybridge ini adalah ia bukan saja jambatan mele

ngkung tetapi jambatan ini hanya menggunakan satu tiang besi ditengah yang menyokongnya.

Berada di atas puncak Bukit Machinchang iaitu titik kedua tertinggi di Pulau Langkawi, berjalan di Sky Bridge sepanjang 125 meter ini membolehkan pengunjung melihat keindahan Pulau Langkawi dari sudut yang paling menarik.

Untuk ke sini, pelancong perlu menaiki kereta kabel menuju ke Top Station sebelum berjalan kaki dan mendaki sedikit melalui laluan denai untuk sampai ke skyBridge.

Bagi yang tidak mahu mendaki, pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan tram (SkyGlide).

Menyusuri SkyBridge ini cukup mengujakan. Sambil menikmati panorama indah Langkawi dari 360 darjah, angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup lembut memberikan rasa damai yang sukar untuk diperoleh di tengah bandaraya.

Beli-belah pelengkap kunjungan ke Langkawi

Langkawi adalah 'syurga' buat mereka yang sukakan aktiviti membeli-belah. Mana tidaknya, semua barangan yang dijual di pulau ini adalah bebas cukai.

Daripada coklat ke bagasi, minyak wangi, barangan peralatan masak termasuk periuk kuali berjenama terkenal dan pembelian barangan bebas cukai boleh diakses dengan mudah.

Selain Pantai Cenang, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti yang cukup digemari ramai di pekan Kuah dan kedai bebas cukai lainnya.

RESORT World Langkawi tawar pelbagai jenis pilihan bilik penginapan.  FOTO Rohanis Shukri
RESORT World Langkawi tawar pelbagai jenis pilihan bilik penginapan. FOTO Rohanis Shukri

Pilihan hotel penginapan

Untuk penginapan pula, ia pastinya tidak menjadi masalah kerana pelbagai jenis penginapan yang boleh dipilih pengunjung.

Sepanjang tiga hari di Pulau Langkawi, penulis menginap di Resort World Langkawi iaitu resort tepi laut yang dilengkapi dengan marina peribadi berlatarkan pemandangan Laut Andaman.

Dulunya, Resort World Langkawi ini dikenali sebagai Awana Porto Malai sebelum penjenamaan semula dilakukan.

Terletak di Tanjung Malai, resort ini menyediakan enam jenis bilik penginapan antaranya Standard, Premier, Standard Sea View, Premier Sea View, Suite juga Signature Suite.

Selain Resorts World Langkawi, kini terdapat banyak pilihan hotel penginapan yang boleh dipilih mengikut cita rasa pengunjung.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 7:00 AM