BERSAMA pemilik Rumah Pelangi di Kampung Sungai Budor, Kota Bharu.  FOTO: Ghazali Kori
BERSAMA pemilik Rumah Pelangi di Kampung Sungai Budor, Kota Bharu. FOTO: Ghazali Kori
Ghazali Kori

MULANYA perancangan untuk mengisi waktu santai bersama rakan-rakan berbasikal dari Kuala Terengganu ke Patani, Thailand. Bagaimanapun, disebabkan Covid-19, hasrat itu terpaksa kami lupakan buat seketika.

Namun, sebenarnya berbasikal dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan mempunyai kisah menariknya tersendiri. Benar kata orang, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.

Tidak disangka kembara berbasikal merentasi dua negeri itu sejauh kira-kira 200 kilometer (km) amat menarik kerana penulis dan tiga rakan yang lain Amer Narani, Aman Norhakim, Qayyum Hassan dari Bikepacking TRanung bukan sahaja dapat bersantai secara lasak malah menikmati panorama pantai di beberapa laluan kayuhan, menikmati budaya masyarakat setempat dan merasai hidangan tempatan.

Pada hari pertama bermula dari Kuala Terengganu, kami bersedia menyediakan pelbagai barangan peribadi yang disimpan kemas di dalam beg 'pioneer' iaitu beg khas untuk basikal kembara. Daripada pakaian sehingga peralatan teknikal berbasikal, semua kemas di dalam dua beg masing-masing.

Hari pertama kami merencana untuk berbasikal dari Kuala Terengganu ke Bukit Kluang, Terengganu sekitar 100km sememangnya menjadi destinasi yang agak mencabar kerana cuaca bukan sahaja panas, malah lebih kepada permulaan untuk 'memecahkan' peluh menyesuaikan diri berkayuh untuk laluan yang agak jauh.

BERGAMBAR bersama Geng Peseni di Lorong Jalanan Seni bandar, Kota Bharu.  FOTO: Ghazali Kori
BERGAMBAR bersama Geng Peseni di Lorong Jalanan Seni bandar, Kota Bharu. FOTO: Ghazali Kori

Tidak sekadar itu, laluannya juga pelbagai bentuk muka bumi. Namun, ia seakan berbaloi apabila dapat melihat panorama laluan pantai yang cantik sepanjang menuju ke Bukit Keluang. Pantainya juga unik.

Sepanjang berkayuh hari pertama, agak lancar walaupun bermandi peluh. Kadangkala kami berhenti seketika untuk mengisi perut dan menikmati makanan tempatan yang dijual di tepi jalan.

Seusai tiba pada sekitar 6 petang, masing-masing mengeluarkan peralatan untuk berkhemah di Bukit Keluang. Panorama malam itu cantik kerana bertemankan bintang sambil berbual kosong bersama teman kayuhan, sememangnya sesuatu yang tidak boleh dilupakan.

Dari kayuhan yang melalui panorama laut, keesokannya kami meneruskan perjalanan sehingga ke Bachok, Kelantan. Di sini, walaupun kadangkala berselisih dengan kenderaan bermotor tetapi pengguna jalan raya amat bertimbang rasa. Ada kalanya memberi peluang kepada kami untuk melintas terlebih dahulu.

Sebelum sampai ke Bachok, sempat juga singgah ke Tok Bali, melihat penduduk tempatan berniaga di tepi jalan yang menawarkan pelbagai jenis makanan membuat penulis dan rakan-rakan terasa ingin kerap berhenti untuk merasai air tangan mereka. Apatah lagi, berkayuh dalam tempoh lama, pasti makanan menjadi motivasinya!

BERGAMBAR di hadapan Masjid Muhammadi Kota Bharu.  FOTO: Ghazali Kori
BERGAMBAR di hadapan Masjid Muhammadi Kota Bharu. FOTO: Ghazali Kori

Keesokannya, kami meneruskan kayuhan sehingga ke Kota Bharu, Kelantan yang menjadi destinasi terakhir kayuhan secara mengembara ini. Di Kota Bharu jika anda berbasikal sebenarnya banyak tempat yang boleh dilawati.

Antara lokasi yang sempat kami lalui ialah di belakang Dataran Ilmu yang menjadi tempat lukisan mural kisah Palestin yang diabadikan di dinding belakang kedai.

Singgah di Masjid Muhammadi juga menjadi satu kewajipan kerana di sini terdapat seni bina yang menarik. Selain itu, sempat juga kami ke Rumah Pelangi yang menjadi destinasi tarikan bandar itu.

Ternyata perjalanan mengembara sambil berkayuh antara dua negeri ini amat menarik. Walaupun Terengganu dan Kelantan terletak di pantai timur tetapi terdapat perbezaan budaya yang tersendiri. Jika tidak percaya anda boleh mencubanya sendiri!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 September 2020 @ 6:35 AM