Sebahagian antara 500 peminat sukan berbasikal yang menyertai kayuhan Gateh Lebaran 2023 di Lembah Sireh, Kota Bharu. FOTO NOR AMALINA ALIAS
Sebahagian antara 500 peminat sukan berbasikal yang menyertai kayuhan Gateh Lebaran 2023 di Lembah Sireh, Kota Bharu. FOTO NOR AMALINA ALIAS
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Cuaca panas di negeri ini tidak menghalang hampir 500 peminat sukan basikal menyertai acara berbasikal Gateh Lebaran 2023, hari ini.

Program anjuran Imedikel Pharma Holding itu membabitkan peserta berusia 25 hingga 73 tahun yang berkayuh sejauh 27 kilometer mengelilingi bandar Kota Bharu.

Presiden Imedikel, Yusmat Mamat berkata, kayuhan membabitkan kawasan Lembah Sireh, Tunjung dan Salor yang mengambil masa sejam lebih itu bertujuan menyemarakkan aktiviti kecergasan kepada masyarakat dan mengeratkan hubungan silaturahim.

"Dalam masa yang sama, kita sebagai syarikat farmasi dan kesihatan sentiasa memperingatkan peminat sukan supaya menjaga kesihatan termasuk ketika musim panas.

"Sebab itu untuk kayuhan kali ini kita bermula awal pagi jam 8.00 pagi dan pendekkan jarak kayuhan," katanya ketika ditemui dalam program itu, di Lembah Sireh, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2023 @ 10:44 PM