PANORAMA indah alam semula jadi, penginapan dan pelbagai aktiviti riadah jadi pakej menarik bagi Daya Kamarudin dan suaminya memilih Gopeng Glamping Park. FOTO Daya Kamarudin
PANORAMA indah alam semula jadi, penginapan dan pelbagai aktiviti riadah jadi pakej menarik bagi Daya Kamarudin dan suaminya memilih Gopeng Glamping Park. FOTO Daya Kamarudin
Hafiz Ithnin

SIAPA kata bercuti dalam negara tidak seronok? Walaupun tidak ada salji atau musim sejuk, setidak-tidaknya Malaysia mempunyai pemandangan alam semula jadi yang begitu menarik.

Apatah lagi, jika anda bukan dari kampung, menikmati panorama hijau di desa pasti menyeronokkan.

Jika kebetulan dengan musim buah-buahan pula seperti sekarang ini, ibarat langkah kanan nampaknya bercuti sambil mengisi perut dengan pelbagai buah-buahan tempatan.

Ketika penulis tercari-cari bahan untuk paparan rencana utama dalam Santai kali ini, terlihat rakan yang aktif dalam aktiviti gunung memuat naik foto mereka sedang bercuti ala glamping di Gopeng, Perak.

Cepat-cepat penulis menghubunginya menerusi media sosial dan si pemilik foto berkenaan, Daya Kamarudin dan suaminya, Fadi Shamsudin memaklumkan mereka baharu sahaja tiba di kawasan percutian itu untuk menyambut hari lahir Daya.

Daya berkata, sebenarnya mereka berdua sudah membuat tempahan untuk menginap di Gopeng Glamping Park di Kampung Chulek sejak Januari lagi dan bernasib baik kerana pemiliknya menawarkan harga diskaun.

DAYA berbasikal di sekeliling kawasan glamping. FOTO Daya Kamarudin
DAYA berbasikal di sekeliling kawasan glamping. FOTO Daya Kamarudin

LOKASI yang sesuai untuk keluarga bersantai. FOTO Daya Kamarudin
LOKASI yang sesuai untuk keluarga bersantai. FOTO Daya Kamarudin

Lebih menarik ketika itu, pemilik produk pelancongan itu turut menawarkan mereka yang membuat tempahan boleh memilih tarikh untuk menginap pada bila-bila masa dalam tempoh dua tahun.

"Ketika melihat tawaran itu agak menarik kerana kami boleh memilih tarikh bila-bila masa untuk bermalam. Jadi, selepas diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa dan memberi peluang untuk bercuti dalam negara, kami mengambil kesempatan untuk melancong di Gopeng ini.

"Menariknya kawasan glamping ini di kelilingi pemandangan hijau, kampung dan kurang daripada 50 meter tempat menginap adalah sungai yang menjadi tarikan orang ramai untuk berkayak arus deras," katanya yang memaklumkan kawasan itu turut terkenal dengan aktiviti menerokai gua dan berkayak arus deras. Daya berkata, dari Kuala Lumpur ke destinasi itu juga tidak begitu jauh kerana hanya dua jam sahaja memandu dan ketika menghampiri lokasi tempat percutian berkenaan terdapat banyak gerai-gerai makanan yang menawarkan hidangan kampung.

Katanya, beberapa kali juga mereka berhenti di gerai yang dikatakan wajib singgah sekiranya ke Gopeng untuk merasai selera tempatan yang menjadi suatu kemestian ketika mereka melancong.

"Di sini, terdapat sebuah gerai yang menawarkan mi kari popular, Mee Kari Ami iaitu hanya kurang 4 kilometer (KM) dari lokasi glamping.

"Ternyata untuk menikmati gerai yang dikatakan popular itu berbaloi kerana kena dengan selera kami.

KEADAAN selesa di dalam salah satu khemah. FOTO Daya Kamarudin
KEADAAN selesa di dalam salah satu khemah. FOTO Daya Kamarudin

"Tidak sekadar itu, memandangkan untuk tiba di kawasan glamping perlu melalui kawasan kampung, situasi perjalanan kami juga agak tenang kerana tidak sesak dan dapat menikmati keadaan desa yang mendamaikan," katanya.

Jelasnya, untuk menuju ke lokasi glamping itu juga tidak begitu sukar kerana terdapat di dalam aplikasi penunjuk arah. Malah, tepat!

"Selepas lebih kurang dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur kami tiba di Gopeng Glamping Park. Boleh dikatakan di sini agak privasi untuk mereka yang ingin berehat berseorangan atau bersama pasangan kerana dikelilingi dengan alam semula jadi.

"Kami juga agak teruja dengan kemudahan glamping disediakan pemilik kerana susun atur di dalamnya begitu kemas, bersih dan ruangnya juga luas.

"Sesuai bagi mereka yang ingin merasakan aktiviti rekreasi tetapi menikmati kemudahan seperti hotel," katanya.

DAYA (KIRI) dan Fadi merakam gambar di dalam Hammock yang turut terdapat di kawasan glamping. FOTO Daya Kamarudin
DAYA (KIRI) dan Fadi merakam gambar di dalam Hammock yang turut terdapat di kawasan glamping. FOTO Daya Kamarudin

PEMANDANGAN pada sebelah malam yang mendamaikan. FOTO Daya Kamarudin
PEMANDANGAN pada sebelah malam yang mendamaikan. FOTO Daya Kamarudin

Daya dimaklumkan terdapat 15 khemah yang disediakan diubah suai dengan kemudahan bermalam serba kemas. Terdapat juga dewan, surau dan tapak unggun api.

"Bagi anda yang ingin berkhemah tetapi inginkan kemudahan serba lengkap, konsep percutian glamping seperti dipilih kami berdua ini amat memuaskan kerana tidak terasa bermalam di dalam sebuah khemah," katanya.

Ketika ditanya mengenai aktiviti riadah yang boleh dilakukan, menurut Daya, banyak yang boleh dilakukan antaranya menerokai gua, mengelilingi kawasan sekitar menaiki basikal, berkayak arus deras, beriadah di jeram dan menerokai laluan denai.

"Kami hanya menginap semalam sahaja dan ingin bersantai, jadi memilih untuk berbasikal di kawasan sekitar sambil menikmati pemandangan alam semula jadi dan kampung yang berada dekat dengannya.

"Bagi basikal pula disediakan secara percuma kepada pengunjung yang menginap. Jadi aktiviti itu bukan sahaja dapat merehatkan minda untuk melihat kawasan sekitar malah kemudahan percuma itu memberi peluang kepada pelanggan untuk berjimat ketika melancong," katanya.

DEWAN makan yang besar dan selesa. FOTO Daya Kamarudin
DEWAN makan yang besar dan selesa. FOTO Daya Kamarudin

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 7:01 AM