AIR terjun yang mempunyai panorama menarik.
AIR terjun yang mempunyai panorama menarik.
Hafiz Ithnin


SEBAIK menerima kiriman foto percutian milik Daya Kamarudin, mata penulis bagaikan tidak berkelip melihat keindahan air tasik yang kehijauan dan begitu jernih.

Apatah lagi, ia bukan terletak di luar negara tetapi hanya destinasinya di Dungun, Terengganu yang begitu terkenal dengan Tasik Puteri.

Daya berkata, dia mengetahui mengenai destinasi percutian yang dikenali sebagai Air Terjun Tasik Puteri menerusi laman sosial.

Katanya, perjalanan sekitar empat jam 30 minit menuju ke destinasi itu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) cukup berbaloi.

"Perjalanan ke sana juga cukup mudah kerana tidak perlu melalui jalan denai sebelum tiba di kawasan air terjunnya. Hanya parkir kereta dan berjalan tidak sampai tiga minit sudah sampai di kawasan air terjun itu.

"Bagi saya ia amat sesuai untuk aktiviti bersantai pada hujung minggu dan kawasan itu bukan sahaja mempunyai tarikan kerana air terjunnya yang menghijau malah terdapat pelbagai aktiviti lain boleh dilakukan seperti berkayak dan berjoging di sekitarnya," katanya.

Daya menambah, lokasi itu juga sesuai untuk dikunjungi seisi keluarga kerana air terjun yang bersumberkan air tasik berkenaan mempunyai beberapa paras air, dari kawasan cetek untuk kanak-kanak sehinggalah paras yang lebih dalam.

Jelasnya, terdapat juga kemudahan tapak perkhemahan yang luas untuk anda yang ingin mendirikan khemah atau bermalam di kawasan itu.

DAYA menyelam di dalam air terjun yang jernih.
DAYA menyelam di dalam air terjun yang jernih.

MENIKMATI ketenangan di atas pelampung menjadi pilihan ketika bersantai.
MENIKMATI ketenangan di atas pelampung menjadi pilihan ketika bersantai.

LOKASI santai yang menarik menikmati pemandangan alam semula jadi.
LOKASI santai yang menarik menikmati pemandangan alam semula jadi.

"Kami ke destinasi itu berempat dan mengambil keputusan untuk berada di kawasan berkenaan selama dua hari satu malam.

"Jadi, bolehlah meluangkan aktiviti bermandi-manda, barbeku dan bersantai bersama suami serta kawan-kawan," katanya.

Ceritanya lagi, bagi mereka yang ingin ke sana tidak dikenakan sebarang bayaran selain terdapat kemudahan yang selesa seperti tandas dan surau.

Katanya, dia juga sempat menyelam di kawasan air terjun itu untuk menikmati pemandangan di dalam air dan ternyata ia begitu jernih.

"Cuma saya sarankan air itu tidak sesuai untuk diminum dan dimasak," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 6:37 AM