SUASANA malam di glamping.  FOTO: Ihsan Lost World of Tambun & Sudirman Mohd Tahir
SUASANA malam di glamping. FOTO: Ihsan Lost World of Tambun & Sudirman Mohd Tahir
Sudirman Mohd Tahir

PERCUTIAN mewah di hotel lima bintang atau memilih untuk bersantai di hotel bajet hipster sudah terlalu biasa.

Malah menginap di resort atau chalet bagi menikmati kebiruan laut dan bunyi deruan ombak di pesisir pantai menjadi pilihan kedua.

Namun, bagi yang inginkan pengalaman baharu dalam senarai percutian kalendar tahunan, penginapan berkonsepkan 'staycation' harus dicuba.

Di mana dan 'Staycation' yang bagaimana? Minggu ini penulis mahu memberi rasa dan bayangan percutian baharu yang pembaca harus tanda untuk diri sendiri dan seisi keluarga.

Mungkin ada yang tahu, tapi tidak pernah berada di sana malah penulis yakin lebih ramai lagi yang pertama kali mendengar percutian Glamping.

Ia adalah gabungan 'glam' dan 'camping,' bermakna, walaupun percutian ala perkhemahan tapi ia tetap 'glam,' mewah dan meriah.

Baru-baru ini penulis berpeluang menginap di Glamping, Sunway Lost World of Tambun yang terletak di Ipoh, Perak kira-kira 200 kilometer dari Kuala Lumpur.

Ia terletak di bahagian dalam dan hujung taman tema berkenaan dan apa yang lebih menarik, deretan khemah didirikan mengelilingi Tasik Boga.

KEINDAHAN Floating Villa pada sebelah malam.  FOTO: Ihsan Lost World of Tambun & Sudirman Mohd Tahir
KEINDAHAN Floating Villa pada sebelah malam. FOTO: Ihsan Lost World of Tambun & Sudirman Mohd Tahir

Dari luar, ia nampak seperti khemah biasa, tapi sebenarnya tidak dan sebaik sahaja memasukinya, perkataan pertama yang keluar dari mulut adalah 'Wow!'

Siapa sangka khemah bersaiz besar itu mampu memuatkan empat orang dengan dilengkapi katil, tilam, cadar, bantal, tuala ala hotel.

Sudah namanya 'camping,' jadi sedikit pengalaman baharu buat yang tidak pernah merasai perkhemahan pada zaman sekolah yang mana kemudahan tandas terletak di luar.

Menurut Pengurus Besar, Lost World of Tambun, Nurul Nuzairi, kemudahan 'staycation' itu terbahagi dua kategori iaitu Glamping menginap dalam khemah selesa dan kedua, Floating Villa.

"Di sini terdapat dua gua iaitu Gua Datuk dan gua yang boleh dianggap mencabar, 6th Mile Tunnel.

"Aktiviti unik ini kita tawarkan pada tetamu yang datang menginap di sini dan menjadikan percutian lebih menarik," katanya.

Sementara itu, Nurul Nuzuari berkata, glamping juga membantu ibu bapa memberi pengalaman baharu kepada anak-anak mereka tidur dalam khemah dan menikmati alam semula jadi dengan suasana yang cukup selesa.

RUANG bilik yang selesa persis hotel bertaraf bintang.  FOTO: Ihsan Lost World of Tambun & Sudirman Mohd Tahir
RUANG bilik yang selesa persis hotel bertaraf bintang. FOTO: Ihsan Lost World of Tambun & Sudirman Mohd Tahir

"Namun, apa saja aktiviti yang ada di sini, keselamatan memang menjadi keutamaan dan renjer juga akan memberikan pengetahuan tambahan mengenai aktiviti yang ingin dilakukan," katanya.

Tidak usah khuatir dari segi jaringan komunikasi kerana perkhidmatan WiFi disediakan.

Sambil makan boleh kemas kini di akaun media sosial segala aktiviti yang dilakukan.

Percutian Glamping itu juga luar biasa kerana pelbagai aktiviti dan riadah turut disediakan.

Penulis berkesempatan mengikuti aktiviti 'flying fox' yang merentasi tasik dan mujurlah sudah biasa dengan aktiviti lasak sebegini.

Selain itu, aktiviti 'night walk' ke Gua Datuk menjadi pengalaman baharu buat penulis.

Aktiviti itu juga terdapat dalam pakej disediakan dan pengunjung boleh memilih untuk berjalan waktu siang atau malam. Penulis bagaimanapun memilih sebelah malam kerana berasakan ia pasti memberikan pengalaman yang lain daripada lain.

PENULIS ketika sampai di puncak Gua Datuk.  FOTO: Ihsan Lost World of Tambun & Sudirman Mohd Tahir
PENULIS ketika sampai di puncak Gua Datuk. FOTO: Ihsan Lost World of Tambun & Sudirman Mohd Tahir

Ternyata ia betul, dengan diiringi dua renjer berpengalaman, penulis terasa lebih dekat dengan alam.

Mendaki 630 anak tangga dengan ketinggian 515 meter dari aras laut untuk sampai ke Gua Datuk adalah satu lagi pencapaian peribadi penulis yang harus disimpan dalam buku kenangan dan perlu diceritakan.

Bagi penulis, berada dua hari satu malam di sini boleh disifatkan sebagai percutian yang unik, tidak ternilai dan tidak akan dapat di mana-mana.

Percutian Glamping di situ pastinya akan dirindukan!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Ogos 2020 @ 6:10 AM