FATIN Nabihah parah akibat dibaham kera ketika berumur lapan bulan pernah menggemparkan negara  hingga menjadi tajuk muka depan Harian Metro 25 tahun lalu. FOTO Ihsan Fatin Nabihah Kamarudin
FATIN Nabihah parah akibat dibaham kera ketika berumur lapan bulan pernah menggemparkan negara hingga menjadi tajuk muka depan Harian Metro 25 tahun lalu. FOTO Ihsan Fatin Nabihah Kamarudin
Redzuan Muharam

Kaherah: Kisah Fatin Nabihah Kamarudin parah akibat dibaham kera ketika berumur lapan bulan pernah menggemparkan negara hingga menjadi tajuk muka depan Harian Metro 25 tahun lalu.

Kejadian itu menyebabkan Fatin Nabihah, 26, cedera parah di betis manakala beberapa jarinya hampir putus dalam kejadian dekat rumah keluarganya di Jalan Dato' Mohd Shah, Batu Pahat, Johor.

Ditakdirkan, Fatin Nabihah dipanjangkan umur malah sudah menggenggam Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBCh) lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir dalam satu majlis konvokesyen yang dianjurkan pada 4 Mac lalu.

Fatin Nabihah sudah menggenggam Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBCh) lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir. FOTO Ihsan Fatin Nabihah Kamarudin
Fatin Nabihah sudah menggenggam Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBCh) lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir. FOTO Ihsan Fatin Nabihah Kamarudin

Mengimbas peristiwa pada 2 April 1998, Fatin Nabihah mengakui tidak ingat langsung apa yang berlaku ketika itu kerana masih bayi.

"Keluarga terutama ibu (Rokiah Idris, 65) dan bapa (Profesor Madya Kamarudin Khalid, 68) yang menceritakan semula pada saya insiden itu menyebabkan lantai rumah penuh dengan darah.

"Menurut mereka, badan saya pucat dan tidak menangis lagi kerana kehilangan darah yang terlalu banyak.

KERATAN akhbar Harian Metro yang menyiarkan kisah Fatin Nabihah kira-kira 25 tahun lalu. FOTO Ihsan Fatin Nabihah Kamarudin
KERATAN akhbar Harian Metro yang menyiarkan kisah Fatin Nabihah kira-kira 25 tahun lalu. FOTO Ihsan Fatin Nabihah Kamarudin

"Difahamkan, ibu membawa saya ke hospital dan dirawat selama dua minggu.

"Kecederaan dialami hanya secara fizikal, cuma ada kesan luka dan syukur kerana Allah panjangkan umur saya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Selepas lebih dua dekad, Fatin Nabihah yang juga anak bongsu daripada sembilan beradik tidak sangka kisahnya akan tular semula di laman sosial.

"Pada asalnya, kakak sulung saya yang muat naik hantaran di Facebook (FB) miliknya mengenai saya dan tak sangka ia menjadi perhatian orang ramai, tersebar luas hingga tular kembali.

KERATAN akhbar Harian Metro yang menyiarkan kisah Fatin Nabihah kira-kira 25 tahun lalu. FOTO Ihsan Fatin Nabihah Kamarudin
KERATAN akhbar Harian Metro yang menyiarkan kisah Fatin Nabihah kira-kira 25 tahun lalu. FOTO Ihsan Fatin Nabihah Kamarudin

"Alhamdulillah, rata-rata netizen beri komen sangat positif dengan kebanyakannya mengucapkan tahniah dan mendoakan yang baik untuk masa hadapan saya.

"Bagaimanapun, ada juga komen yang lucu mengenai kera yang menggigit saya.

"Apa pun, ribuan terima kasih kepada mereka yang mengucapkan tahniah dan mendoakan. Semoga anda sekeluarga menjadi insan yang jauh lebih hebat," katanya yang menghafaz 30 juzuk al-Quran dan pernah menuntut di Darul Quran (DQ) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

FATIN Nabihah (duduk, kanan) bersama ahli keluarganya. FOTO Ihsan Fatin Nabihah Kamarudin
FATIN Nabihah (duduk, kanan) bersama ahli keluarganya. FOTO Ihsan Fatin Nabihah Kamarudin

Berkongsi perancangannya, Fatin Nabihah berkata, dia masih berada di Mesir dan akan pulang ke tanah air tiga minggu lagi selepas menunaikan umrah.

"Perancangan saya nanti adalah untuk menjalani latihan perubatan (housemanship) di Malaysia.

"Jika ada rezeki, saya bercita-cita meneruskan kepakaran dalam bidang psikiatri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 3:55 PM