GUA Damai tawar lebih 100 laluan mendaki batu.
GUA Damai tawar lebih 100 laluan mendaki batu.
Aniza Zainudin

TAMAN Ekstrem Gua Damai, antara destinasi popular yang terdapat di pinggir ibu kota menawarkan keunikan dan pengalaman menarik bagi pencinta sukan lasak serta ekstrem.

Terletak di Batu Caves, Selangor ia juga menjadi tumpuan pelancong terutama yang teruja menyaksikan perayaan Thaipusam. Ternyata, Taman Ekstrem Gua Damai ini memberi sisi berbeza kepada pengunjung.

Memiliki keluasan kira-kira dua hektar, tidak mustahil Gua Damai ini sangat popular bagi sukan eksplorasi gua.

Lebih unik, ia memiliki lima gua berbeza yang menawarkan cabaran berlainan seperti Gua Kristal, Gua Anjing, Gua Chili Padi, Gua Ichibawa dan Gua Fig Tree.

Selain itu, Gua Damai juga sering menjadi pilihan utama bagi penggemar sukan lasak, mendaki batu (rock climbing) kerana ia memiliki lebih 100 laluan yang mencabar namun selamat.

Berdasarkan faktor berkenaan, program Rock Conquest Varsity 2019 anjuran Kelab Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Malaysia (KRESMA) menjadikan Gua Damai sebagai lokasi utama.

TARIKAN kunjungan pelancong.
TARIKAN kunjungan pelancong.

Pengarah programnya, Muhammad Harrith Noor Hisham berkata, penganjuran aktiviti ini memasuki tahun keenam bertujuan mempromosikan sukan ekstrem dalam kalangan mahasiswa.

“Program ini adalah aktiviti tahunan KRESMA dan sering dianjurkan setiap Oktober.

“Selain ingin memperkenalkan sukan ini, objektif penganjuran program ini juga bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa selaku pihak penganjur dengan kerjasama Pusat Sukan UiTM.

“Sukan mendaki batu ini juga bertindak sebagai jambatan antara UiTM dengan institusi pengajian tinggi lain untuk mewujudkan satu hubungan rapat dan kerjasama antara satu sama lain.

“Lebih menarik, kami memilih lokasi Gua Damai sebagai lokasi yang sememangnya terkenal dengan keunikan batunya,” kata mahasiswa berusia 25 tahun ini ketika ditemui.

Menurut Muhammad Harrith, sukan lasak mendaki batu dapat menarik perhatian masyarakat sama ada tempatan mahupun asing apabila ia mampu memperkenalkan destinasi pelancongan menarik yang berdekatan.

Katanya, sukan ekstrem ini sememangnya popular di luar dan mula mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

MEMERLUKAN stamina.
MEMERLUKAN stamina.

Bakal diterima sebagai satu daripada sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik tahun ini, justeru Muhammad Harrith menyifatkan platform disediakan KRESMA mampu melonjakkan lagi sukan ini.

Katanya lagi, sukan ini berkait rapat dengan gaya hidup sihat kerana ia memerlukan stamina yang tinggi dan bukan sekadar hobi.

Pernah mewakili UiTM ke Singapura, Indonesia dan China, dia juga tidak menafikan sukan ini berisiko umpamanya terdedah kepada kecederaan sekiranya tidak berhati-hati.

Mengulas mengenai pemilihan Gua Damai, mahasiswa ini berkata laluan mendaki batu di lokasi ini sesuai dengan pelbagai tahap pendaki sama ada amatur

atau profesional.

Sempena penganjuran program ini, sebanyak 21 laluan mendaki dengan ketinggian antara 10 hingga 25 meter.

Terletak berdekatan dengan ibu kota, Gua Damai dilengkapi pelbagai kemudahan dan fasiliti diperlukan.

Bagi memastikan keselamatan terjamin, Muhammad Harrith mengakui mereka bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, bomba, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Majlis Daerah Selayang.

Sementara itu, peserta Ateeqah Hamidah Mohd Johar, 21, mengakui pertama kali mencuba sukan lasak ini kerana ingin melakukan kelainan.

TERDEDAH kepada risiko kecederaan.
TERDEDAH kepada risiko kecederaan.

“Saya kini berada dalam tahun akhir, jadi saya ingin melakukan sesuatu yang berbeza sebagai satu pengalaman menarik sebelum meninggalkan universiti.

“Tidak dinafikan permulaannya saya berasa takut dan bimbang akan tercedera. Namun dengan sokongan rakan dan pengajar membuatkan saya lebih yakin.

“Bagi saya, sukan ini sangat menarik dan saya berharap dapat melakukannya pada masa akan datang dengan lebih aktif,” katanya ketika ditemui.

Program ini disertai 100 pelajar merangkumi lelaki dan perempuan mewakili enam institusi pengajian tinggi tempatan termasuk UiTM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Consist College.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 6:10 AM