CABARAN yang menguji fizikal dan mental peserta.
CABARAN yang menguji fizikal dan mental peserta.
Muhamaad Razis Ismail


TAMAN Ekstrem Gua Damai, Gombak, Selangor adalah taman rekreasi awam berkonsepkan taman ekstrem berlatarkan bukit batu kapur, Batu Caves sebagai mercu tanda semula jadi yang indah dan menarik.

Lokasi ini adalah salah satu geotapak fosil pleistosen akhir Batu Caves dalam Gombak Hulu Langat Geopark yang diiktiraf sebagai tapak geopark ketujuh pada 14 November tahun lalu.

Selain itu, lokasi itu juga antara destinasi popular di pinggir ibu kota yang menawarkan keunikan dan pengalaman menarik bagi pencinta sukan lasak serta ekstrem.

Gua Damai juga sering menjadi pilihan utama bagi penggemar sukan lasak, mendaki batu kerana ia memiliki lebih 100 laluan mencabar, namun selamat.

Selain itu, lokasi ini turut terkenal dengan aktiviti 'base jump' dalam kalangan penerjun profesional dari dalam dan luar negara.

Baru-baru ini penulis bersama 20 pengamal media yang menyertai Program Kembara Media 2023, Selangor dan Negeri Sembilan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berpeluang melakukan aktiviti rekreasi di Taman Ekstrem Gua Damai.

Sebelum aktiviti dimulakan, kami dipertontonkan aktiviti 'base jump' yang dilakukan penerjun profesional, Akmal Jamal Hassan yang membuat terjunan dengan payung terjun pada ketinggian 96 meter sebelum mendarat di padang bola berhampiran.

AKSI ‘base jump’ di Gua Damai.
AKSI ‘base jump’ di Gua Damai.

Melihat daripada bawah sudah membuatkan penulis kecut perut, apatah lagi sekiranya diberi peluang berada di atas.

Kemudian, kami diminta memakai peralatan keselamatan yang disediakan termasuk lampu suluh kepala, topi keledar dan abah-abah. Sebelum bermula, kami diberikan taklimat ringkas oleh pengasas yang juga Pengurus Taman Ekstrem Gua Damai, Mustapha Al-Bakri Omar berhubung prosedur operasi standard dan keselamatan yang perlu dipatuhi sepanjang aktiviti dijalankan.

Aktiviti bermula jam 10 pagi dengan ditemani beberapa petugas Wira Adventure Consultant yang memastikan aktiviti berjalan lancar dan selamat.

Sepanjang melakukan aktiviti merentas hutan di sekitar Bukit Lembah Damai, peserta perlu menempuh laluan agak mencabar yang menguji kekuatan fizikal dan mental.

Antaranya adalah laluan yang licin, memerlukan kami lebih fokus dan berhati-hati untuk mengelakkan kejadian tidak diingini. Kadangkala, kami perlu menggelongsor untuk mengelakkan daripada terjatuh.

PERALATAN keselamatan yang perlu dipakai peserta.
PERALATAN keselamatan yang perlu dipakai peserta.

Sesekali kami perlu menunduk, merangkak dan memanjat untuk melepasi akar serta pokok yang menghalang laluan.

Ketika aktiviti dijalankan, peserta turut diperkenalkan dengan pokok herba yang boleh ditemui di sekitar kawasan ini termasuk tongkat ali hitam, akar patawali dan derhaka mertua.

Selepas lebih sejam menempuh pelbagai cabaran, kami tiba di pintu gua. Sebelum memasuki gua, pemeriksaan dilakukan terhadap peralatan keselamatan yang dipakai.

Keadaan dalam gua yang gelap memerlukan kami lebih berhati-hati kerana perlu menuruni tangga besi yang agak curam dan laluan agak licin. Sedikit kesilapan boleh mengundang padah.

TANGGA besi yang perlu dilalui ketika melakukan aktiviti eksplorasi gua.
TANGGA besi yang perlu dilalui ketika melakukan aktiviti eksplorasi gua.

Sepanjang aktiviti meneroka gua dijalankan, peserta berpeluang melihat dengan lebih dekat keindahan struktur stalagmit dan stalaktit yang berusia ratusan juta tahun dalam gua batu kapur.

Selepas 45 minit meneroka gua, kami semua selamat keluar daripada gua terbabit.

Bagi penulis, berpeluang melakukan aktiviti rekreasi di Taman Ekstrem Gua Damai adalah pengalaman yang sangat berharga. Biarpun agak mencabar, penulis dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara di sini. Jika mempunyai masa lapang, penulis ingin kembali melakukan aktiviti menarik lain yang disediakan di sini.

Secara keseluruhan, Taman Ekstrem Gua Damai amat sesuai untuk peminat aktiviti rekreasi terutama yang tinggal di sekitar Lembah Klang kerana menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk pelbagai lapisan umur.

ASPEK keselamatan sentiasa diutamakan.
ASPEK keselamatan sentiasa diutamakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 6:20 AM