TAMAN Herba Bertam di Kepala Batas, Pulau Pinang dibuka Jabatan Pertanian sebagai pusat penanaman dan pendidikan lebih 300 jenis herba.
TAMAN Herba Bertam di Kepala Batas, Pulau Pinang dibuka Jabatan Pertanian sebagai pusat penanaman dan pendidikan lebih 300 jenis herba.
Zaitie Satibi

TUMBUHAN herba secara amnya merujuk kepada semua jenis tumbuhan yang mana-mana bahagiannya sama ada daun, batang, buah, kulit batang, akar, rizom ataupun bunga mempunyai pelbagai kegunaan terutama dalam bidang perubatan serta sebagai rempah ratus masakan.

Kini tumbuhan herba menjadi semakin penting sebagai sumber biodiversiti yang berupaya dikomersialkan dan digunakan dalam memenuhi pelbagai keperluan seperti masakan, ubatan, pewangi, bahan kosmetik serta landskap.

Situasi itu mendorong Jabatan Pertanian membangunkan Taman Herba Bertam seluas kira-kira dua hektar di Kepala Batas, Pulau Pinang bagi memartabatkan industri herba di negara ini, di samping memastikan khazanah alam itu terus terpelihara.

Projek inisiatif itu yang dibuka kepada orang ramai sejak Januari lalu bukan saja menjadi tempat pengumpulan maklumat herba warisan Melayu dan pusat pembelajaran herba dalam meningkatkan kesedaran masyarakat, malah turut boleh dikunjungi seisi keluarga kerana berorientasikan agropelancongan.

MULA dibuka sejak Januari lalu.
MULA dibuka sejak Januari lalu.

Mengetengahkan pendekatan hab herba dan pengembangan teknologi yang berkonsepkan Santai, Rawat dan Pembelajaran, pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai maklumat untuk rujukan di galeri herba selain dapat menikmati serta menghayati keunikan hutan herba dalam bandar tanpa perlu mengembara jauh ke dalam hutan.

Lebih 300 koleksi spesies herba yang biasa digunakan dalam perubatan tradisional Melayu ditempatkan di pusat janaplasma. Ini antara faktor penarik yang bakal menjadikan Taman Herba Bertam sebagai destinasi agropelancongan yang popular.

Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai produk berkaitan herba termasuk anak pokok herba. Taman ini juga menawarkan perkhidmatan rawatan berasaskan herba dan patuh syariah seperti bekam, refleksologi, mandian bunga dan sauna, rawatan lepas bersalin, spa dan salun serta urutan tradisional Melayu.

Selain penumpuan terhadap herba, pengunjung juga boleh mempelajari dan melihat sendiri aktiviti berasaskan kelulut. Terdapat galeri kelulut yang mempamerkan pelbagai maklumat berkenaan penjagaan dan kutipan madu serta jualan madu termasuk produk berasaskan kelulut.

TAMAN Herba Bertam projek inisiatif tingkat industri herba.
TAMAN Herba Bertam projek inisiatif tingkat industri herba.

Terdapat pelbagai kemudahan asas disediakan kepada pengunjung seperti tandas, surau dan tempat letak kereta. Bagi menarik perhatian pengunjung muda, taman ini turut menyediakan Dataran Informasi, laman permainan kanak-kanak, laman interaktif dan taman haiwan mini. Malah, terdapat kafe yang menyajikan pelbagai menu berasaskan herba.

Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, Mohd Muhaimin Ibrahim berkata, penubuhan taman herba itu selaras dengan hasrat dan wawasan kerajaan yang ingin menjadikan industri herba tergolong dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang berpotensi untuk menjana pendapatan negara.

“Sedar atau tidak, ramai antara kita menggunakan herba dalam kehidupan harian. Melalui taman ini diharap hasrat orang ramai untuk menikmati dan menghargai tanaman, makanan berasaskan herba serta produk herba dicapai.

“Pelaksanaan projek ini dijangka dapat menambahkan peluang baru dalam mengembangkan industri herba di negara kita. Orang awam juga dapat menikmati kemudahan yang disediakan dan mendapat manfaat dari segi pembelajaran, khidmat perawatan berasaskan herba, mengetahui maklumat berkenaan penghasilan produk herba dari awal hinggalah terhasilnya produk herba itu sendiri,” katanya.

PELAJAR belajar kenali pokok herba.
PELAJAR belajar kenali pokok herba.

Dalam Taman Herba juga dicadang untuk diwujudkan pusat pengembangan teknologi herba yang menjalankan praktikal berkaitan agronomi tanaman dan juga pembelajaran berkaitan khasiat herba.

Turut disediakan latihan teknologi herba kepada petani khususnya wilayah utara. Pusat pengembangan teknologi ini juga dilengkapi kemudahan bagi mempelajari rawatan dan kaedah tradisional menggunakan bahan berasaskan herba.

“Hingga kini usaha sama Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pengajian Farmasi dijalinkan bagi menerbitkan maklumat rujukan berkenaan khasiat herba yang terdapat di Taman Herba ini.

“Pihak USM akan memberi maklumat dari segi khasiat dan kegunaan herba yang terdapat di sini sementara Jabatan Pertanian pula akan menambah dari segi maklumat botani serta agronomi,” katanya memaklumkan Hari Bertemu Pelanggan bakal diadakan pada 24 hingga 28 April ini.

PERKHIDMATAN spa berasaskan herba untuk kesihatan dan kecantikan.
PERKHIDMATAN spa berasaskan herba untuk kesihatan dan kecantikan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 12:16 PM