- Foto hiasan
- Foto hiasan
Oleh Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Pelaksanaan syariat Islam satu kewajipan yang tiada perselisihan dalam kalangan ulama. Perkara ini adalah hukum yang qat'ei (tetap) tanpa pilihan berdasarkan kepada dalil daripada al-Quran dan sunah. Tiada pertentangan antara sesama Muslim atau mana-mana masyarakat Islam dalam memahami kewajipan dan tanggungjawab untuk berusaha merealisasikan tuntutan ini.

Dalam konteks kewajipan ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya" - (Surah al-Nisa', ayat 65). Ayat ini menjelaskan ada perkaitan yang sangat signifikan antara pelaksanaan syariat dengan iman.

Sesiapa yang tidak menjalankan atau melaksanakan penghakiman sebagaimana syariat Islam ataupun menukarkannya dengan perundangan yang lain akan menyebabkan kemurkaan Allah SWT. Bahkan, dia menjerumuskan dirinya kepada kemarahan Allah di samping kesengsaraan dan kesukaran serta kesempitan hidup di dunia. Banyak ayat al-Quran yang menggambarkan keadaan itu serta sifat yang diletakkan Allah SWT kepada mereka. Terdapat ayat al-Quran yang berturut-turut menyatakan dengan tegas keadaan mereka sebagai orang yang kafir, fasik dan zalim dalam surah al-Maidah ayat 42-50.

Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang Yahudi dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang kafir." (Surah al- Maidah, ayat 44)

Ciri-ciri penting syariat Islam ialah kesatuan, saling berkait dan seragam serta sangat harmoni. Ia perlu dipraktikkan secara total dan tiada pemilihan bahagian khusus atau mengikut kehendak dan kepentingan hawa nafsu. Pelaksanaannya mestilah seiring dengan akidah yang benar, akhlak yang terpuji dan ibadah yang sempurna.

Tidak mungkin urusan manusia secara amnya ditadbir dengan sebaiknya tanpa keseragaman antara elemen penting itu. Semuanya disusun rapi menepati keperluan antara satu sama lain dengan penuh keunikan. Malah, semuanya saling melengkapi dan menyempurnakan. Pengasingan dan pemisahan antara elemen akidah, akhlak dan ibadah akan menyebabkan kecacatan kepada pelaksanaan syariat Islam.

Menurut Syeikh Mahmoud Syaltout, mantan Presiden Universiti al-Azhar, akidah dalam masyarakat Islam adalah usul yang menjadi asas pembinaan dan pembentukan syariat Islam. Bahkan, syariat Islam dikembangkan berasaskan akidah. Oleh itu, tidak akan wujud syariat dalam masyarakat Islam kecuali berdasarkan akidah yang benar. Syariat juga tidak dapat dikembangkan kecuali di bawah lembayung akidah. Syariat tanpa asas akidah yang benar dianggap sebagai unsur ekstrem dan tanpa asas. Ia mestilah bersumberkan kekuatan maknawi yang menyuburkan sifat menghormati syariat dan memartabatkan segala kandungannya. Seterusnya melaksanakan apa yang termaktub di dalamnya.

Realiti yang dihadapi oleh seluruh masyarakat Islam pada hari ini bukan suatu perkara yang baharu. Kepahitan yang dirasai tanpa pelaksanaan syariat Islam bermula sejak dua kurun yang lalu. Ia bertambah pahit dengan kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah ke pihak sekular. Mereka merosakkan pemikiran umat Islam dengan mengalihkan perhatian kepada kemajuan keduniaan dan mencacatkan pegangan umat Islam di seluruh dunia dengan idea pengasingan dunia dan akhirat.

Justeru, umat Islam yang berpegang dengan akidah dan percaya Allah SWT Yang Maha Pencipta dan Yang Maha Berkuasa serta mengikut ajaran al-Quran serta sunah Rasulullah SAW menjadi keliru dengan realiti kehidupan yang mereka lalui. Kehidupan dunia yang dihadapi bertentangan dengan kepercayaan akidah serta akhlak yang terdapat dalam ajaran Islam. Walaupun iman yang tetap di dalam hati tidak bergoyang, tetapi terdapat dalam masyarakat Islam mereka yang bercakap tentang riba (sebagai contoh) seakan-akan ia perkara biasa bahkan menjadi penyelamat kepada ekonomi.

Terdapat juga yang tidak serius memperjuangkan pelaksanaan hukum Islam seperti hudud, qisas dan takzir. Malah, negara yang mengisytiharkan pelaksanaan syariat Islam juga tidak melaksanakannya secara total. Mereka menganggap ia kemajuan dan ketamadunan yang sebenar dan didambakan. Keadaan ini memberikan gambaran tidak benar dan membentuk persepsi buruk syariat Islam yang mulia.

Sebagai umat Islam beriman sudah tentu yakin dengan segala janji Allah suatu hari syariat Islam akan tertegak di atas muka bumi ini. Tanggungjawab umat Islam hari ini menjauhi kesesatan dengan terus berpandukan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 7:01 AM