BERUSAHALAH agar kualiti solat ditingkatkan khususnya solat yang khusyuk. FOTO AFP
BERUSAHALAH agar kualiti solat ditingkatkan khususnya solat yang khusyuk. FOTO AFP
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Setiap kelebihan yang dikurniakan Allah SWT kepada kita sudah pasti mempunyai matlamat dan hikmah di sebaliknya. Apabila Allah SWT menetapkan masa atau tempat tertentu dengan kelebihan, bukan sahaja kuantiti menjadi keutamaan, tetapi kualiti juga sepatutnya menjadi tujuan yang lebih utama. Begitu jugalah dengan suasana tertentu yang dikhususkan untuk mendapat kelebihan atau fadilat tertentu.

Banyak kelebihan berupa gandaan pahala yang dijanjikan Allah SWT mengikut masa, tempat dan suasana tertentu. Ini termasuk pada 10 awal Zulhijah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini - baginda memasukkan: 10 hari terawal Zulhijah. Sahabat bertanya, 'Wahai Rasulullah: Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?" Baginda bersabda: Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali." (Hadis Riwayat Bukhari)

Kelebihan masa 10 hari ini juga terdapat pada Ramadan iaitu pada 10 hari terakhir bulan itu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Nabi SAW apabila masuknya 10 hari terakhir (Ramadan) baginda akan mengetatkan ikatan di pinggangnya, baginda menghidupkan malam harinya dan baginda membangunkan ahli keluarganya (untuk beribadah)." (Hadis Riwayat Bukhari)

Begitu juga hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Rasulullah SAW bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada 10 yang terakhir (daripada Ramadan) melebihi ibadah baginda pada (hari-hari) selainnya." (Hadis Riwayat Muslim)

Apa yang boleh kita lihat pada kedua-dua masa dinyatakan dalam hadis itu berkaitan anjuran mempertingkatkan amal ibadat pada tempoh berkenaan. Secara dasarnya apa yang dapat difahami ialah galakan meningkatkan amal ibadat pada hari berkenaan. Namun pada masa sama, perkara tunjang kepada sesuatu amalan itu ialah kualitinya. Dalam konteks ini Allah SWT menegaskan pelaksanaan segala perintah mesti dengan niat ikhlas kerana Allah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar." (Surah al-Bayyinah ayat 5)

Kedua-dua masa, sama ada pada 10 awal Zulhijah atau pada 10 terakhir Ramadan ada nilai ibadat tersendiri. Kedua-duanya juga mempunyai kelebihan yang sangat besar sehinggakan mendapat perhatian besar daripada baginda Rasulullah SAW. Ulama juga membandingkan di antara kedua-duanya. Ibnu Kathir berpendapat 10 terakhir Ramadan lebih besar fadilatnya kerana ada padanya Lailatulqadar (malam al-Qadar). Apa-apa pun, sebagai seorang Muslim yang sedar akan merebut peluang yang ada dan tidak akan melepaskannya.

Antara ibadat yang terbesar pada 10 awal Zulhijah ialah mengerjakan haji dan umrah. Namun, tidak semua orang berpeluang menunaikannya. Ia berdasarkan kemampuan dan kuota yang ditetapkan oleh pihak berkuasa atau pemerintah sesebuah negara. Di samping itu, bagi mereka yang tidak menunaikan fardu haji, menyembelih binatang korban adalah ibadat yang sangat dituntut. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya serta kukunya dan sesungguhnya darah itu akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban)." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Banyak hikmah dan pengajaran yang sepatutnya dipelajari daripada ibadah korban ini. Hikmah yang utama ialah sebagai pematuhan kepada sunah Rasulullah SAW yang melaksanakan ibadah korban. Allah SWT memerintah ibadah korban sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Oleh itu kerjakanlah solat kerana Tuhan mu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)". (Surah al-Kauthar, ayat 2)

Rasulullah SAW menyebutkan dengan tegas dalam hadis bermaksud: "Barangsiapa ada kemampuan berkorban, tetapi tidak melakukannya, janganlah dia hadir bersama kami di tempat sembahyang kami." (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Berdasarkan beberapa dalil dan nas yang sangat jelas tentang perintah dan anjuran agar menunaikan ibadah yang tertentu di dalam tempoh 10 hari awal Zulhijah, sepatutnya setiap Muslim tidak melepaskan peluang. Pada masa ini, bukan lagi kos atau kemampuan yang menjadi penghalang utama. Jika dibandingkan kesanggupan kita menghabiskan kos yang lebih besar terhadap perkara lain, komitmen untuk menyediakan kos untuk satu bahagian korban bukanlah besar.

Satu lagi ibadah utama yang sangat penting ialah puasa pada hari Arafah. Kelebihan ibadah puasa dinyatakan Allah SWT dalam hadis Qudsi yang bermaksud: "Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya 10 kali ganda serupa dengannya sehingga 700 kali ganda. Allah Azzawajalla berfirman: "Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat serta makanannya kerana-Ku." (Hadis Riwayat Muslim)

Selain itu, berusahalah agar kualiti solat ditingkatkan khususnya solat yang khusyuk. Cuba sedaya upaya menjadikan masa terbaik seperti ini dengan meningkatkan kualiti ibadat solat seperti khusyuk, berjemaah, ditunaikan pada awal waktu serta segala rukun solat dilaksanakan dengan sempurna sebagaimana solat Nabi SAW.

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 7:01 AM