PERBANYAKKAN istighfar termasuk pada hari Arafah kerana ia peluang berharga meraih keampunan  Allah SWT. FOTO Arkib Reuters
PERBANYAKKAN istighfar termasuk pada hari Arafah kerana ia peluang berharga meraih keampunan Allah SWT. FOTO Arkib Reuters
Mohd Shahrizal Nasir

Hari Arafah sinonim dengan ibadah haji yang melibatkan antara rukun penting dalam pelaksanaan ibadah itu. Pada hari Arafah, jemaah haji diwajibkan berada di padang Arafah untuk menyempurnakan ibadah berkenaan. Dengan kata lain, ibadah wukuf di Arafah menentukan sahnya ibadah haji yang dilaksanakan oleh para jemaah.

Kepentingan wukuf di Arafah dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Haji adalah Arafah" - (Hadis riwayat at-Tirmizi). Meskipun hadis yang diucapkan oleh baginda SAW itu dilihat amat ringkas, namun ia menunjukkan kepentingan ibadah wukuf yang menentukan sah atau sebaliknya ibadah haji seseorang tetamu Allah SWT.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani terhadap setiap hamba-Nya. Kelebihan ibadah dengan pahala besar bagi jemaah haji bukan sahaja dinikmati oleh mereka yang berada di Tanah Suci. Hakikatnya Allah SWT turut membuka pintu rahmat-Nya yang sangat luas bagi hamba-Nya yang tidak menjadi hujjaj untuk meraih ganjaran besar daripada-Nya.

Bulan Zulhijah yang dikenali sebagai bulan haji turut dipilih oleh Allah SWT untuk mengurniakan pahala yang istimewa kepada setiap umat Islam. Kelebihan bulan Zulhijah dijelaskan menerusi firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: "Demi waktu fajar. Dan (demi) malam-malam yang sepuluh." (Surah al-Fajr, ayat 1-2).

Dalam Tafsir Ibn Kathir dinyatakan bahawa para salaf as-salih seperti Ibn 'Abbas, Abdullah bin az-Zubair dan Mujahid menjelaskan bahawa sepuluh malam yang dinyatakan Allah SWT dalam Surah al-Fajr itu merujuk kepada sepuluh hari terawal dalam bulan Zulhijjah. Ini bermaksud sepuluh hari berkenaan termasuk malam harinya mempunyai kelebihan besar bagi umat Islam yang menggandakan amal ibadah kerana Allah SWT.

Jika Ramadan dikenali kelebihannya dengan sepuluh malam terakhir kerana salah satu daripada hari itu terdapat Lailatulqadar, maka Zulhijah pula mempunyai kelebihan sepuluh hari terawalnya. Begitulah Maha Pemurah Allah SWT yang mengurniakan ruang yang luas untuk hamba mendekatkan diri kepada-Nya.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Tiada hari-hari yang amalan soleh padanya paling Allah sukai melebihi sepuluh hari ini (sepuluh hari terawal Zulhijah)". Para sahabat Rasulullah SAW bertanya: "Sekalipun jihad pada jalan Allah?" Jawab Rasulullah SAW: "Sekalipun jihad pada jalan Allah, melainkan seorang lelaki yang keluar (berjuang) dengan diri dan hartanya dan tidak mendapat semua itu kembali walaupun sedikit (disebabkan syahid)." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dalam sepuluh hari terawal bulan Zulhijah inilah adanya hari Arafah yang jatuh pada tanggal 9 Zulhijah setiap tahun. Ia berlangsung sehari sebelum tibanya hari raya Aidiladha. Pada hari raya Aidiladha iaitu 10 Zulhijah, diikuti tiga hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah umat Islam dilarang untuk berpuasa.

Namun, pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijah, umat Islam digalakkan untuk menunaikan ibadah puasa sunat. Puasa itu dikenali sebagai puasa sunat hari Arafah. Kelebihan berpuasa pada hari berkenaan dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Puasa Arafah (9 Zulhijah) dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang." (Hadis Riwayat Muslim)

Maha Suci Allah SWT yang menawarkan keampunan bagi hamba-Nya yang berpuasa sunat pada hari Arafah. Meskipun puasa itu adalah satu bentuk ibadah sunat, tetapi ia diganjari dengan keampunan daripada Allah SWT melibatkan setahun yang lalu dan juga setahun yang akan datang. Sesungguhnya sifat Maha Pengampun bagi Allah SWT yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun daripada kalangan makhluk-Nya.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran menjelaskan perihal keampunan-Nya: "Dan sesungguhnya Aku (Allah) yang amat memberi ampun kepada orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya." (Surah Taha, ayat 82)

Pada hari Arafah juga, umat Islam dianjurkan untuk mengambil peluang memohon keampunan daripada-Nya. Selain menunaikan ibadah puasa sunat, perbanyakkanlah istighfar memohon keampunan daripada-Nya. Sesungguhnya hari Arafah adalah hari pengampunan dosa dan pembebasan daripada seksaan neraka.

Ia berdasarkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Di antara hari yang Allah banyak membebaskan seseorang dari neraka adalah hari Arafah. Dia (Allah) akan mendekati mereka lalu akan menampakkan keutamaan mereka kepada malaikat. Kemudian Allah berfirman: "Apa yang diinginkan oleh mereka?." (Hadis riwayat Muslim)

Sebagai umat Rasulullah SAW yang sentiasa berusaha untuk mengikut sunahnya, marilah kita memperbanyakkan istighfar termasuk pada hari Arafah kerana ia peluang berharga untuk meraih keampunan daripada Allah SWT. Baginda SAW melazimi istighfar setiap hari berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud: "Demi Allah, sesungguhnya aku (Rasulullah) beristighfar kepada Allah dan memohon keampunan-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, hari Arafah juga adalah antara masa yang doa akan dimakbulkan oleh Allah SWT. Para jemaah haji yang sedang menunaikan ibadah wukuf di Arafah mendapat keistimewaan tempat dan doa yang dimakbulkan doa dan keadaan ini juga tidak menafikan kelebihan tersebut untuk diperoleh setiap umat Islam di tempat masing-masing.

Rasulullah SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah dimanfaatkan untuk berdoa kepada Allah SWT dengan sabda baginda: "Sebaik-baik doa ialah doa hari Arafah, dan sebaik-baik ucapan yang aku (Rasulullah) dan para nabi sebelumku ucapkan adalah: La ilaha illallah wahdahu la syarika lah, lahul mulku walahul hamdu wahuwa 'ala kulli syai'in qadir (Tiada Tuhan melainkan Allah yang Esa tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nyalah kerajaan dan puji-pujian, dan Dialah yang berkuasa menentukan segala sesuatu)." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Marilah kita mengambil kesempatan terbaik yang dikurniakan oleh Allah SWT tatkala menemui hari Arafah untuk berusaha menunaikan ibadat puasa sunat. Selain itu, banyakkan mengucapkan istighfar untuk meraih keampunan-Nya, selain turut berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada-Nya kerana Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Memberi.

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2023 @ 7:00 AM