FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
minda

Teringat kisah lalu ketika saya menjadi penguat kuasa kerajaan di Johor Bahru dan menerima laporan daripada seorang wanita yang mengelar pergelangan tangan sendiri dengan pisau akibat terlalu kecewa berikutan ditinggalkan kekasihnya.

Timbul rasa pilu dan kasihan kerana kecederaannya agak parah sehingga dimasukkan ke hospital selama seminggu. Apabila diceritakan semula, hati yang keras ini menjadi sebak simpati terhadap gadis itu.

Namun, rasa kasihan itu tidak mengganggu fokus saya sebagai penyiasat kes dan terfikir kenapa kejadian seperti ini harus berlaku. Mungkinkah jika kita berada di tempatnya akibat kecelaruan minda akan melakukan tindakan sama? Rasa geram pun ada bila mendapat tahu teman lelaki yang meninggalkannya itu sekarang sedang enak menikmati aiskrim tanpa ada rasa bersalah sedikit pun, sedangkan wanita itu separuh mati. Namun, dalam apa jua keadaan, kehidupan perlu diteruskan. Lain pula kisahnya dengan gadis berusia 19 tahun di Pulau Pinang yang mahu terjun bangunan untuk membunuh diri. Dengar cerita, dia selalu terdengar bisikan memintanya pergi ke bangunan itu dan membunuh diri. Naik takut apabila mendengarnya dan ia seperti cerita seram di TV.

Sebenarnya, kita tidak mengetahui masalah seseorang itu dan jika kita berada di pihaknya, mungkin akan terjadi perkara sedemikian pula.

Minta dijauhkanlah semuanya sambil kita berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan hati tenang dan hidup dalam keadaan aman serta bahagia di samping keluarga tercinta.

Semua masalah itu ada kemungkinan berpunca daripada kemurungan atau rasa kecewa yang mendalam sehingga sanggup berbuat demikian.

Kenapakah kita akan kecewa dan sanggup bertindak sedemikian? Hanya yang mengalami mengetahuinya.

Berikut beberapa tip boleh digunapakai untuk mengubat sedikit rasa kecewa, namun ia tetap bergantung kepada kesesuaian situasi semasa kita.

Takkanlah sanggup membunuh diri kerana rasa kecewa ditinggalkan kekasih kerana ramai lagi lelaki di luar sana yang lebih handsome dan mancho.

Takkanlah hanya kerana diberi kerja lebih atau tidak dinaikkan pangkat membuatkan kita memberontak hingga sanggup membakar kereta dan mengamuk.

Pemikiran logik sesuai dengan keadaan boleh digunapakai di saat kita menghadapi kekecewaan.

Jika menceritakan kepada orang lain, tidak mungkin orang itu boleh membantu menghapuskan kekecewaan itu, tetapi sekurang-kurangnya apabila meluahkan sesuatu masalah, ia meringankan beban ditanggung.

Apa yang perlu dibuat seandainya kita merasa kecewa?

l

Terima rasa kecewa Rasa kecewa tentunya menyakitkan, namun tidak ada salahnya menerima rasa kecewa itu seadanya. Jangan menyangkal apa lagi menyembunyikan rasa kecewa di sebalik senyuman kerana ia tentunya membuat kita lebih kecewa dan sedih.

Apabila menerima rasa kecewa, perasaan itu akan lebih cepat pergi dan semua yang rasa kecewa dapat menjalani kehidupan dengan baik.

l

Bina semula harapan Inginkan sesuatu yang lebih baik di masa akan datang dengan menetapkan satu KPI (indeks penunjuk prestasi) dan gapai atau capai rasa bahagia itu dengan semangat dan harapan tinggi.

l

Kongsi atau luahkan dengan pasangan atau teman rapat mungkin dapat melegakan sedikit perasaan walaupun tidak beroleh satu penyelesaian.

Sekurang-kurangnya, ia akan melegakan sedikit perasaan kita dan mana tahu buah fikiran pasangan atau rakan terdekat dapat menyelesaikan masalah atau kekecewaan dialami itu.

l

Lakukan perkara menggembirakan Sudah semestinya kekecewaan atau masalah yang kita ada akan membebankan pemikiran. Namun, jika kita merancang sesuatu yang boleh menggembirakan, ia akan menjadikan kita gembira seadanya. Memendam rasa kecewa tidak ada gunanya untuk kesihatan, baik dari segi mental atau fizikal. Ambil masa dengan mengunjungi tempat riadah atau destinasi pelancongan, rasa kecewa itu akan sedikit demi sedikit hilang walaupun tidak lenyap terus.

l

Berfikiran positif Jika dibiarkan rasa kecewa itu terus menerus menyelimuti perasaan, ia bagai barah dalam tubuh. Jika kita berubat dan menyekatnya, barah akan terhenti atau mungkin sembuh.

Kecewa dan sedih ibarat adik beradik kandung yang tidak boleh dipisahkan. Berikut antara tip untuk menghilangkan rasa sedih.

l

Fahami kesedihan Kesedihan adalah perasaan wajar dirasakan setiap orang dan perlu dilupakan. Apabila memahami kesedihan kita yang menyerap masuk ke dalam emosi, terimalah seadanya dan jangan menyalahkan orang lain apabila kita mengalaminya.

l

Lupakan kesedihan dengan menangis

Sebahagian orang memilih untuk menyembunyikan kesedihannya. Namun, ada baiknya untuk melupakan kesedihan itu agar dapat segera hilang. Terkadang, menangis membuat perasaan lebih lega.

l

Bijak hadapi kesedihan Setelah menerima pelbagai kesedihan dan mengalaminya, fikiran akan jauh lebih tenang.

Ingatlah, kesedihan yang dialami akan berlalu dan ada hikmah di sebalik peristiwa.

l

Hiburkan hati dengan ketawa

Di saat sedih, lakukan sesuatu yang membuat kita kembali tertawa. Salah satu perkara boleh mencetuskan gelak tawa adalah menonton film komedi. Selain mengusir rasa sedih, manfaat tertawa baik untuk membuang stres dan boleh meningkatkan daya tahan tubuh.

l

Lakukan perkara disenangi Jangan terlalu menumpukan kesedihan. Contohnya, pergi ke tempat yang membuat kita tenang seperti tepi sungai, tepi laut atau air terjun.

l

Biasakan menulis

Tidak kira apa yang kita hendak tulis - karangan, sajak atau cerpen - menjadikan kita berfikir dan meluahkan sesuatu. Menurut kajian, meluahkan kesedihan atau kekecewaan ke dalam tulisan dapat meredakan stres dan mengusir perasaan negatif. Selain menulis, melukis juga boleh memperbaiki suasana hati agar lebih stabil.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 7:00 AM