FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Rencana

Apalah nasib ku ini, kerja dah berpuluh tahun tapi pangkat tak naik-naik. Orang yang baru kerja setahun jagung kini dah jadi bos aku pula. Bagaimanalah aku nak bekerja nanti dengan suasana macam ni, malu pun ada, semua perasaan ada. Nak pencen, anak sekolah lagi, pinjaman rumah pun masih banyak, nak kerja apa nanti." Demikian monolog Asisten Superintendan (ASP) Dollah dalam diri sendiri.

Bagi kebanyakan orang atau individu, bintik hitam dalam diri sedikit demi sedikit merebak menjadi barah dalam jiwa akibat kekecewaan dalam hidup atau pekerjaan dialaminya, tidak kiralah sama ada bekerja sendiri, dalam organisasi swasta atau kakitangan awam.

Kenapa dan mengapa ia terjadi menjadi persoalan perlu dijawab kita, ketua kita atau pihak atasan kita. Segala jawapan mungkin akan berkisar kepada satu petunjuk bagi menyelesaikan beban masalah yang ada nanti.

Kekecewaan dalam hidup akan menjadi bintik hitam sukar dibasuh dan lama-kelamaan merebak bagaikan barah masalah yang sukar diubati.

Kesudahannnya akan timbul beberapa natijah atau musibah tidak baik kepada individu itu sendiri atau organisasi yang disertainya dan sudah pasti, makin besar masalahnya nanti.

Mengulas mengenai keperibadian negatif atau bintik hitam psikologi dalam diri adalah sesuatu yang amat penting kerana sebahagian besar daripada kita memilikinya.

Bintik hitam itu jelas bagi semua orang, tetapi tidak bagi diri sendiri. Ketika kita merenungkan hal ini, mungkin ada yang terfikir, bagaimana dengan nasib saya? Apakah saya memiliki keperibadian negatif dalam diri saya?

Memendam kemarahan dan kekecewaan sama seperti meminum racun dan mengharapkan orang lain yang menderita, padahal anda sedang meracuni diri sendiri.

Walaupun anda berasa di pihak benar dan di sisi lain ada orang pernah melukai perasaan anda, melepaskan kekecewaan selalu menjadi jalan terbaik.

Jika anda mahu membebaskan diri daripada belenggu kekecewaan, pelajarilah cara mengatasi emosi yang selama ini membuatkan anda menderita.

l

Mengatasi penderitaan dengan mengenali emosi anda. Akui dengan jujur emosi sedang dirasakan kerana anda mengalami masalah.

Bertanyalah kepada diri sendiri apakah kekecewaan ini terjadi oleh pengalaman negatif masa lalu dan tidak ada hubungan dengan orang lain atau situasi saat ini.

Akuilah anda sedang marah atau kesal, tetapi jangan terjebak dengan keadaan ini. Adakalanya, kemarahan akan mengatasi rasa tidak berdaya dan membuat anda rasa lebih kuat.

Ingatlah perasaan ini lama-kelamaan menghilang. Jangan hanya memikirkan kemarahan, tetapi fokuslah kepada usaha memulihkan perasaan yang terluka.

l

Belajarlah menerima keadaan tanpa syarat. Menerima keadaan tanpa syarat bererti membiarkan sesuatu terjadi dan menerima hal yang mustahil anda boleh mengubahnya.

Rasa terluka bukanlah pilihan, tetapi penderitaan adalah pilihan.

l

Apabila mengatakan 'hidup ini tidak adil' atau 'aku tidak harus mengalami keadaan sebegini, anda sebenarnya menolak kenyataan yang sedang terjadi dan menyangkal kebenaran harus diterima.

Menerima keadaan tanpa syarat bererti mengubah kebiasaan menolak menjadi penerimaan. Katakan kepada diri sendiri: 'Inilah hidup aku pada saat ini yang sangat tidak menyenangkan dan aku harus menghadapi walau bagaimana cara sekalipun pedihnya.'

Belajarlah menerima keadaan tanpa syarat melalui masalah kecil agar anda mampu menerima masalah lebih besar. Mulailah berlatih ketika anda sedang mengalami kerendahan diri yang amat sangat.

l

Sentiasa melakukan meditasi (bertafakur). Ini cara membentuk emosi positif, mengurangkan tekanan, menerbitkan rasa sayang dan mengendalikan emosi.

Apabila bermeditasi, anda mampu melepaskan kemarahan dan kekecewaan dan mengganti dengan kasih sayang dan empati. Semakin kerap bermeditasi, semakin banyak manfaatnya.

Meditasi cinta kasih adalah cara menumbuhkan kasih sayang dan empati. Duduk dengan tenang sambil memejamkan mata dan kemudian mengucapkan kalimat positif kepada diri sendiri, misalnya: "Aku menyayangi diriku dan semua orang di sekelilingku."

Tujukan kalimat itu kepada orang di sekeliling atau sahabat kita. Kemudian, tujukan kalimat sama kepada orang yang pernah membuat anda kecewa.

l

Sesudah itu, amati dan selami perasaan anda. Adakah masih marah orang yang pernah menyakiti anda?

l

Berikan pemahaman terhadap keadaan dan situasi orang lain. Anda mungkin sukar memahami pandangan orang lain jika sedang marah.

Namun, anda akan dapat mengatasi masalah dan meredakan sakit hati dengan memahami keadaan orang lain dan bertolak ansur. Anda boleh berbuat salah dan tetap ingin diterima. Semua orang ingin diterima, walaupun sama-sama menghadapi masalah.

Belajarlah memahami pandangan orang lain dengan bertanya kepada diri sendiri, misalnya, apakah situasi dialaminya? Apakah dia sedang menghadapi kesusahan atau masalah besar dalam hidup sehingga mudah marah? Ingatlah bahawa setiap orang mengalami masalah dan akan mempengaruhi pemikiran apabila berada dengan orang di sekelilingnya.

l

Cintailah diri sendiri tanpa syarat. Ketahui bahawa tiada seorang pun boleh membuat anda merasa dicintai dan diterima setiap saat kecuali diri sendiri. Ingatkan diri sendiri bahawa anda layak dihargai dan dicintai.

Mungkin anda menetapkan kedudukan tinggi untuk orang lain kerana anda menerapkan kedudukan tinggi kepada diri sendiri. Apakah anda sering menyalahkan diri sendiri jika berbuat salah? Belajarlah mencintai dan menghargai diri sendiri dalam apa jua keadaan sekalipun.

Jika anda sukar mencintai diri sendiri, mulalah berlatih dengan mengucapkan kata-kata atau bait-bait positif, misalnya: "Aku mampu mencintai dan dicintai sepenuhnya." Ucapkan kalimat itu berulang-ulang agar memengaruhi cara anda memandang diri sendiri.

Kesimpulannya, bagi menghilangkan kekecewaan, janganlah membalas dendam. Jika anda berfikir untuk membalas dendam, segeralah hentikannya.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 7:00 AM