GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hartini Mohd Nawi

AKHIRNYA Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021 (AGS 2021) diluluskan Dewan Rakyat pada 20 Julai lalu selepas lebih 10 tahun dirangka.

Ia diluluskan dengan pindaan selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun dan dibahas 26 Ahli Parlimen.

Hakikatnya, RUU itu adalah akta untuk mengadakan peruntukan bagi suatu hak tebus rugi bagi orang yang diganggu secara seksual.

Selain itu, RUU akan turut menubuhkan Tribunal bagi Anti

gangguan Seksual.

Ia bagi meningkatkan kesedaran mengenainya dan mencegah berlakunya gangguan seksual serta untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya.

"Pembaharuan struktur melalui penggubalan akta ini perlu sebagai usaha mengurangkan jurang gender di antara lelaki dan wanita di negara ini.

"Penyediaan persekitaran yang selamat akan membantu meningkatkan pengupayaan rakyat terutama wanita dalam ekonomi, sosial dan politik, selari dalam memastikan mereka tidak terpinggir dalam arus pembangunan negara.

"RUU AGS 2021 ini terpakai kepada mana-mana pihak dan tetap memberi perlindungan kepada sesiapa yang diganggu secara seksual tanpa mendiskriminasikan sesiapa. Perkara ini adalah merujuk kepada Fasal 7 AGS yang menyatakan Tribunal AGS mempunyai kuasa untuk mendengar apa-apa aduan gangguan seksual oleh mana-mana orang," kata Rina ketika menggulung RUU itu di Dewan Rakyat.

Rina ketika membentangkan RUU itu berkata, Akta AGS 2021 memperuntukkan kuasa tribunal yang ditubuh antaranya membuat suatu award termasuk perintah bagi responden mengeluarkan suatu pernyataan permohonan maaf kepada pengadu.

Tribunal juga boleh memerintahkan responden membayar pampasan atau ganti rugi tidak melebihi RM250,000 bagi apa-apa kehilangan atau kerosakan ditanggung pengadu.

Mengulas lanjut Rina berkata, pada peringkat awal pejabat Tribunal bagi Antigangguan Seksual akan ditubuhkan di Lembah Klang.

Bagaimanapun, beliau berkata, tribunal boleh bersidang dalam satu atau lebih persidangan, pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat sebagaimana ditentukan prosiding.

Hakikatnya kes gangguan seksual boleh berlaku di mana saja sama ada di tempat kerja, di dalam kelas, di restoran, di tempat atau pengangkutan awam.

Gangguan seksual didefinisikan sebagai perlakuan kurang disenangi melalui kata-kata, isyarat, sentuhan, psikologi dan visual yang berunsurkan seks yang dilakukan berulang-ulang.

Kategori gangguan secara lisan membabitkan penggunaan bahasa lucah melalui perbualan, berjenaka, membuat bunyi-bunyian, memberi kritikan, pujian atau mengajukan soalan berunsur seksual ke atas penampilan, pakaian, tingkah laku, tubuh atau aktiviti seksual.

Bagi gangguan secara berisyarat (bukan lisan) pula biasanya dipamerkan melalui sikap atau perlakuan yang memberi maksud atau gambaran keinginan berunsur seksual seperti menjeling, menggoda, merenung, mengintai, menjilat bibir atau menggunakan bahasa isyarat lain.

Daripada segi gangguan secara visual pula membabitkan perlakuan menghantar nota, surat, e-mel, aplikasi WhatsApps atau Telegram, Sistem Pesanan Ringkas (SMS), Sistem Pesanan Multimedia (MMS), gambar, poster, objek atau bahan bacaan berunsur seksual melalui penggunaan apa jua peralatan media, peralatan elektronik atau peralatan komunikasi.

Seterusnya gangguan secara psikologi pula adalah perbuatan cuba merapati secara seksual, mendorong, mendesak, mengugut atau memujuk rayu bagi memenuhi keinginan seksual sama ada melalui surat, telefon, e-mel atau peralatan komunikasi yang menimbulkan tekanan emosi dan mental.

Tidak ketinggalan, gangguan secara fizikal ialah tindakan mendekati individu lain dalam jarak terlalu dekat sehingga individu itu kurang selesa (memegang, memeluk, menepuk, menggosok, mencubit, mencium atau meraba sehingga mangsa berasa tersinggung atau terhina).

Tiada yang menafikan gaya hidup masa kini yang banyak bergantung kepada media sosial turut menyumbang berlakunya gangguan seksual dalam talian.

Antara bentuk tindakan yang dapat diklasifikasikan sebagai gangguan seksual dalam talian ialah menghendap (stalking), memberi ucapan benci atau lucah, memeras ugut, memberi komen dengan niat untuk menimbulkan kemarahan pengguna lain (trolling), mencari dan menyebarkan maklumat sulit untuk memalukan atau menjatuhkan maruah (doxing).

Selain itu, terdapat tindakan lain termasuk mengugut rogol, menyebarkan gambar atau video lucah bekas kekasih kerana berdendam (revenge porn), menghujani seseorang dengan sejumlah mesej yang besar secara berterusan dan menghantar kandungan berbentuk seksual kepada seseorang yang tidak menginginkannya.

Di samping itu, kes gangguan seksual di tempat kerja atau salah laku majikan terhadap pekerja pernah direkod seawal 1939 di Tanah Melayu di bawah pemerintahan kolonial Inggeris.

Gangguan seksual juga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk lelaki.

Laporan Equal Employment Opportunity Commission (EEOC) mengatakan lelaki kerap menjadi mangsa gangguan seksual di tempat kerja.

Lelaki biasanya enggan melaporkan kepada pihak atasan kerana malu.

Di Amerika Syarikat, 17.1 peratus daripada 6,822 kes gangguan seksual pada 2015 dilaporkan lelaki.

Antara sebab mereka melaporkan kepada pihak berkuasa adalah ajakan melakukan hubungan seks oleh wanita dan lelaki selain dibuli dengan kata-kata lucah.

Tidak hanya gangguan daripada rakan sepejabat kerana banyak kes turut dilaporkan membabitkan pegawai atasan.

Angka itu sebenarnya menurut EEOC adalah rendah dan sebenarnya masih banyak kes yang tidak dilaporkan kerana ego dan rasa malu akan diperlekehkan masyarakat.

Malah, dalam satu kajian juga mendapati, lelaki enggan tampil kerana bimbang menjadi bahan jenaka masyarakat selain lelaki sepatutnya bijak menjaga diri dan ia perkara remeh.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 5:59 AM