Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kerajaan komited untuk membantu golongan wanita yang menjadi mangsa gangguan seksual sama ada di tempat kerja atau di mana-mana sahaja.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kementeriannya juga memberi komitmen untuk menyelesaikan aduan gangguan seksual.

Katanya, Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021 yang dibaca buat kali pertama di Dewan Rakyat hari ini dapat membantu wanita untuk menyelesaikan isu berkenaan.

"Kita tahu undang-undang yang sedia ada sebelum ini bukan tidak mencukupi, tetapi kita mahu menambah baik dengan adanya RUU Antigangguan Seksual 2021.

"RUU ini ia tidak terhad, sebagai contoh di tempat kerja sahaja kerana gangguan seksual ini juga boleh berlaku di mana-mana sahaja.

"Jadi ia juga membantu dan kita buat kerjasama sesi libat urus bersama dengan pihak agensi kerajaan termasuk akademik, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan majikan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program MyKasih Kapital yang disertai oleh 106 peserta di sini hari ini.

Rina Harun berucap pada program MyKasih Kapital di Hotel Perdana di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Rina Harun berucap pada program MyKasih Kapital di Hotel Perdana di sini hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri Datuk Mumtaz Md Nawi.

Mengulas lanjut, Rina berkata, gangguan seksual ini berlaku di mana-mana sahaja, apatah lagi dalam menghadapi pandemik Covid-19.

"Ada juga kes-kes (gangguan seksual) itu yang dilaporkan dan RUU ini salah satu untuk membantu mereka bagi membendung kejadian ini," katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff membentangkan RUU Antigangguan Seksual 2021 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Mangsa gangguan seksual bakal dibela menerusi penggubalan RUU Antigangguan Seksual 2021, yang membolehkannya menerima pampasan sehingga RM250,000 daripada pelaku.

Selain itu, satu tribunal khusus juga akan diwujudkan, yang dikenali sebagai Tribunal bagi Antigangguan Seksual.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 8:33 PM