GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
minda

Gangguan seksual adalah perbuatan jelek dan tidak boleh diterima mana-mana individu. Gangguan seksual dikaitkan dengan kaum Hawa, namun sejumlah kecil berlaku juga kepada golongan Adam.

Banyak persoalan diterima dan dibahaskan sekarang antaranya, soalan pertama, ada perasan keluar dekat 'wall Facebook' saya mengenai kisah gangguan seksual.

Sekarang, mungkinkah trend mangsa berkongsi di media sosial? Adakah wajar berkongsi pengalaman atau kisah mereka di media sosial? Ada juga barangkali menyebut nama pemangsa itu sendiri? Adakah wajar dilakukan?

Pada pendapat penulis, istilah dunia tanpa sempadan sinonim dengan dunia masa kini. Masyarakat cenderung menggunakan media sosial untuk menunjukkan emosi gembira, sedih, simpati atau marah.

Menjadi hak seseorang untuk berkongsi masalah dengan sesiapa sahaja bagi meluahkan emosi dan kehidupan.

Bagi penulis tahap kewajaran terletak pada individu itu dan kebanyakan cerita yang disampaikan ada kejadian benar tetapi ada yang sebaliknya untuk mendapatkan perhatian sahaja.

Soalan kedua, apakah masyarakat perlu faham secara ringkas yang dimaksudkan dengan gangguan seksual?

Masyarakat perlu faham maksud gangguan seksual adalah perlakuan lucah yang tidak direlakan mangsa seperti gangguan secara lisan, gangguan secara isyarat, gangguan secara visual, gangguan secara psikologi dan gangguan secara fizikal.

Soalan ketiga, bolehkah kita kenal pasti seseorang yang misalnya di tempat kerja ada unsur gangguan seksual? Situasi bagaimana boleh mengetahui mereka berdepan tingkah laku gangguan seksual?

Sukar untuk kita kenal pasti seseorang itu adalah suspek gangguan seksual. Terdapat beberapa situasi boleh kita kenal pasti jika sedang berhadapan dengan tingkah laku gangguan seksual seperti melalui perbualan berunsur lucah oleh suspek, pandangan suspek ke arah tubuh, menghantar nota, e-mel, SMS, gambar, poster, objek atau bahan bacaan berunsur seksual, suspek cuba merapati secara seksual, mendorong, mengugut atau memujuk rayu bagi memenuhi keinginan seksualnya sama ada melalui surat, telefon, e-mel atau sebarang peralatan komunikasi.

Malah, mangsa boleh berhadapan dengan suspek gangguan seksual dengan cara sentuhan yang disengajakan seperti memegang, memeluk, menepuk, menggosok, mencubit, mencium atau meraba sehingga mangsa tidak selesa.

Apakah yang perlu dilakukan dan bagaimana cara untuk berdepan, melindungi atau mempertahankan diri sekiranya berlaku gangguan seksual pada diri sendiri sama ada di tempat kerja, tempat awam atau sekolah?

Terdapat beberapa cara mencegah atau melindungi diri daripada gangguan seksual seperti memberikan amaran kepada pelaku, cuba mengubah cara kerja dan elak daripada berhadapan dengan pelaku.

Selain itu, mangsa perlu melaporkan jika pelaku berulang kali melakukan tingkah laku seksual kepada pihak majikan atau pihak sekolah.

Jika terdapat gangguan melalui mesej media sosial atau sebarang telekomunikasi, pastikan ia disimpan untuk bukti ke atas pelaku. Sekiranya tiada tindakan diambil, kemukakan aduan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau polis.

Soalan kelima, adakah terdapat akta atau undang-undang mengenai gangguan seksual? Jika ada, bagaimana cara serta apa dokumen diperlukan untuk membuat laporan?

Ya, sudah ada akta berkenaan gangguan seksual yang telah diguna pakai terhadap kesalahan gangguan seksual seperti Seksyen 354, Kanun Keseksaan, Seksyen 509, Kanun Keseksaan dan Seksyen 2, Akta Kerja 1955.

Mungkin kita pernah alami rakan sekerja cuba mengadu atau membuat aduan menjadi seorang mangsa gangguan seksual. Bagaimana jika mangsa tidak mempunyai bukti cukup untuk membuat laporan?

Hal ini berbeza jika gangguan seksual melalui mesej, WhatsApp atau video. Jika mangsa yang (disentuh/diraba) bagaimana cara mereka mengemukakan bukti?

Mangsa akan dinilai semasa keterangan diambil oleh pegawai penyiasat sama ada kejadian betul-betul berlaku atau sebaliknya. Walaupun tidak ada saksi kejadian, memadai keterangan dan 'trauma' mangsa yang diguna pakai untuk perbicaraan di mahkamah.

Ada kalanya perkataan seperti 'awak sungguh cantik hari ni', barangkali nampak macam bergurau. Jadi, bagaimana proses laporan kes gangguan seksual dilakukan dan berapa lama tempoh diperlukan untuk menyelesaikan isu ini jika ada mangsa yang tidak tahu?

Selepas laporan diterima, mangsa akan berjumpa pegawai penyiasat untuk memberi penerangan lebih teliti dan jelas. Setelah mendapati terdapat keterangan berasas untuk mengaitkan suspek dalam kes itu, proses tangkapan akan dilakukan.

Seterusnya, suspek akan direman, disoal siasat sehingga pertuduhan di mahkamah. Tempoh siasatan kes bergantung kepada keseriusan kes. Biasanya, kurang seminggu suspek sudah dihadapkan di hadapan hakim atau majistret.

Daripada sudut psikologi, apa kesan gangguan seksual pada mangsa?

Kesan psikologi gangguan seksual boleh menyebabkan mangsa berasa fobia dengan sentuhan fizikal. Kemurungan dengan kehidupan dan tanggapan masyarakat dengan wujudnya penafian terhadap realiti dan pengasingan daripada masyarakat, kemurungan, kegelisahan, kekeliruan, ketakutan, kemarahan, hilang keyakinan diri dan mangsa cenderung untuk membunuh diri.

Menurut kajian kes, mangsa gangguan seksual memilih berdiam diri. Bagaimana cara mewujudkan kesedaran masyarakat?

Apakah ada kempen kesedaran gangguan seksual diadakan secara meluas bagi mendidik masyarakat?

Beberapa program atau inisiatif boleh kita lakukan untuk mewujudkan kesedaran masyarakat tentang gangguan seksual seperti ceramah motivasi, dialog atau seminar bagi memberi maklumat masalah terbabit.

Akhirnya, semua pihak perlu memandang serius dan memainkan peranan dalam membanteras gangguan seksual daripada terus menyerang mangsa secara fizikal dan psikologi.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 7:00 AM