Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 di Bangunan Parlimen.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 di Bangunan Parlimen.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Lumpur: Penubuhan Tribunal Antigangguan Seksual seperti yang diumumkan Menteri Kewangan pada sesi pembentangan Bajet 2023 diharap dapat meningkatkan aspek kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat bahawa gangguan seksual tidak seharusnya dirasakan normal.

Timbalan Dekan (Akademik, Antarabangsa, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Ekologi Manusia, University Putra Malaysia, Prof Dr Rumaya Juhari berkata, ramai dalam kalangan wanita diganggu secara seksual tetapi tidak tampil ke hadapan untuk membuat laporan kerana fobia, takut, segan selain bahan pembuktian agak berat.

"Selain itu, ada juga yang berpendapat jenaka berunsurkan gangguan seksual itu 'okay' sedangkan ia tidak boleh diterima dan jika mangsa berasa tidak selesa, ia juga adalah satu bentuk gangguan.

"Biarpun tidak nampak pada pandangan mata kasar namun gangguan seksual dalam apa juga bentuk boleh menjejaskan emosi dan menimbulkan ketakutan kepada mangsa," katanya.

Menurutnya, definisi gangguan seksual juga perlu diperhalusi bagi merangkumi segala bentuk dan jenis gangguan seksual termasuk penderaan.

Katanya, aspek pendidikan kepada masyarakat juga harus diberi keutamaan kerana kita tidak boleh berbangga dengan jumlah kes yang akan dilaporkan di tribunal itu kelak.

"Kita tidak boleh bertoleransi dengan budaya gangguan seksual tidak kira di mana ia berlaku kerana ia bukan budaya yang sihat. Apapun, penubuhan tribunal ini adalah usaha yang baik oleh kerajaan," katanya.

Pada Julai lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual diluluskan di Dewan Rakyat, selepas ia dirangka sejak lebih 10 tahun.

RUU yang usaha penggubalannya bermula pada 2011 itu mengiktiraf gangguan seksual sebagai pencabulan maruah manusia, satu bentuk diskriminasi dan keganasan berasaskan jantina.

Ia turut mengadakan peruntukan bagi hak tebus rugi bagi mana-mana individu yang diganggu secara seksual melalui penubuhan tribunal bagi antigangguan seksual.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun sebelum ini berkata, RUU itu tidak bertujuan menghukum, namun untuk memberi kesedaran pendidikan bahawa gangguan seksual tidak sepatutnya dinormalisasikan.

Sementara itu Rumaya berkata, penubuhan Pusat Sokongan Sosial Setempat juga dapat membantu menangani isu kesihatan mental dan keganasan rumah tangga di negara ini.

Katanya, peruntukan RM8 juta oleh kerajaan bermanfaat untuk pusat itu yang berperanan sebagai lokasi intervensi awal serta sesi advokasi psikososial dan kaunseling.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 6:22 PM