Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan berhubun  Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual bakal dibentang Mac ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan berhubun Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual bakal dibentang Mac ini.
BERNAMA

PENGENALAN akta berkaitan gangguan seksual dan profesion kerja sosial adalah antara keutamaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) pada tahun 2020.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Rang Undang-Undang (RUU) Gangguan Seksual yang mampu melindungi hak dan kehormatan wanita dan adalah antara janji manifesto Pakatan Harapan, dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac ini.

Beliau berkata antara elemen dalam draf rang undang-undang itu adalah definisi gangguan seksual yang menyeluruh, mekanisme pengaduan dan penyelesaian lebih efektif, elemen remedi dan penalti selain mengesyorkan standard pembuktian bersesuaian dan adil bagi semua pihak yang terbabit dalam kes aduan gangguan seksual.

"Pada masa ini terdapat kekangan dalam perundangan sedia ada seperti Akta Kerja 1955 dan Kanun Keseksaan. Sebagai contoh, Kanun Keseksaan tidak mendefinisikan gangguan seksual dengan terperinci dan juga meletakkan beban kepada mangsa untuk membuktikan melebihi keraguan munasabah yang memang amat sukar bagi kebanyakan kes gangguan seksual," katanya berhubung hala tuju Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) di pejabatnya di sini tadi.

Menurutnya, RUU itu juga terpakai kepada lelaki dengan mengambil kira gangguan seksual boleh dilakukan oleh lelaki terhadap lelaki, wanita terhadap lelaki atau wanita terhadap wanita.

Dr Wan Azizah menambah RUU tersebut yang telah mendapat input dan pandangan melalui platform sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan turut mencadangkan penambahbaikan terhadap sistem keadilan sedia ada menerusi penubuhan tribunal khusus untuk mendengar dan menangani kes-kes gangguan seksual.

Dalam pada itu, beliau berkata KPWKM sudah menggubal RUU Profesion Kerja Sosial bagi mengiktiraf profesion kerja sosial menerusi penubuhan Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia.

"Majlis Profesion Kerja Sosial Malaysia akan berfungsi untuk mengawal selia profesion kerja sosial melalui pendaftaran dan perakuan amalan pekerja sosial berdaftar, menetapkan piawaian praktis dan pendidikan kerja sosial, menggalakkan pembangunan profesional serta meningkatkan imej profesion kerja sosial di Malaysia," katanya menambah draf RUU itu kini dalam peringkat akhir di kementerian sebelum dikemukakan kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk semakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 2:36 PM