CARA terbaik mencegah jangkitan Influenza adalah dengan mendapatkan vaksinasi secara tahunan bagi individu yang berumur enam bulan dan ke atas. FOTO Arkib NSTP
CARA terbaik mencegah jangkitan Influenza adalah dengan mendapatkan vaksinasi secara tahunan bagi individu yang berumur enam bulan dan ke atas. FOTO Arkib NSTP
Hartini Mohd Nawi

Dalam menangani cabaran kesihatan global, kesedaran dan kepekaan tinggi dalam kalangan masyarakat amat penting.

Ia bagi mengekang penularan Influenza, Penyakit Tangan Kaki dan Mulut (HFMD) dan Covid-19.

Memetik kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, pihaknya akan terus memperkukuh hospital awam supaya siap siaga menghadapi cabaran kesihatan global.

"Pandemik Covid-19 bukan satu-satunya pandemik, kita bakal menghadapi lebih banyak dan ini bukan pandemik terakhir," katanya.

Secara umum, Influenza dikenali sebagai selesema (flu) penyakit berjangkit burung dan mamalia yang disebabkan virus RNA daripada famili Orthomyxoviridae (virus Influenza).

Pada manusia, antara gejala umum termasuk demam, sakit tekak, sakit otot, sakit kepala teruk, hidung berhingus dan tersumbat, batuk, kelesuan serta rasa tidak sedap badan. Influenza adalah penyakit disebabkan virus Influenza yang menjangkiti salur pernafasan.

Dalam kes lebih teruk, Influenza menyebabkan pneumonia yang boleh menyebabkan maut terutamanya terhadap kanak-kanak dan orang tua. Walaupun ada ketikanya ia dikelirukan dengan selesema biasa, Influenza lebih teruk dan disebabkan virus yang berbeza.

Terdapat empat virus yang menyebabkan penyakit Influenza, dan keempat-empatnya tergolong dalam keluarga Orthomyxoviridae yang memiliki tujuh genus.

Virus Influenza A membabitkan genus yang memiliki satu spesies. Burung akuatik liar adalah hos umum untuk kebanyakan Influenza A.

Kadang kala, virus dapat ditularkan pada spesies lain dan menimbulkan wabak berskala besar pada penternakan ayam domestik atau menimbulkan pandemik Influenza manusia.

Malah, virus jenis A adalah patogen manusia paling mudarat dalam kalangan virus Influenza menyebabkan penyakit paling teruk.

Virus Influenza A dapat dibahagi kepada subdivisi berupa serotip berdasarkan tindak balas antibodi terhadap virus ini.

Serotip yang dikenal pasti wujud pada manusia, berdasarkan jumlah kematian pandemik pada manusia iaitu H1N1, yang mencetuskan  Selesema Sepanyol pada 1918 dan Selesema Babi pada 2009, H2N2 yang menyebabkan  Selesema Asia pada 1957, H3N2 yang membawa kepada  Selesema Hong Kong pada 1968, H5N1 yang menimbulkan Selesema Burung pada 2004, H7N7 yang memiliki potensi zoonotik yang luar biasa, H1N2 endemik pada manusia, babi, dan unggas, H9N2, H7N2, H7N3 dan H10N7.

Sementara virus Influenza B pula hanya menyerang manusia dan lebih jarang berbanding Influenza A. Haiwan lain yang diketahui dapat dijangkiti oleh jangkitan Influenza B adalah anjing laut dan feret.

Virus Influenza C pula menyerang manusia, anjing dan babi yang kadang kala menimbulkan penyakit berat serta  epidemik berskala tempatan. Namun, Influenza C lebih jarang terjadi berbanding jenis lain dan biasanya hanya menimbulkan penyakit ringan pada anak-anak.

Pada masa sama, virus Influenza D pula adalah virus Influenza terbaharu yang ditemui pada 2016.

Bagi negara yang beriklim sederhana, kejadian wabak kerap dikesan berlaku ketika musim sejuk. Manakala, bagi negara tropika di garisan khatulistiwa (termasuk Malaysia) pula, wabak berlaku sepanjang tahun.

Secara kebiasaannya, gejala Influenza bermula satu atau dua hari selepas dijangkiti dan ia meliputi demam, selesema, sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit badan,  sukar bernafas, cirit-birit serta sakit perut (khususnya dalam kalangan kanak-kanak).

Kerap kali jangkitan virus Influenza sekadar menyebabkan gejala jangkitan ringan pada kebanyakan orang yang mempunyai imuniti yang baik.

Bagaimanapun, Influenza merebak daripada individu dijangkiti kepada individu lain melalui titisan salur pernafasan (respiratory droplets) apabila bercakap, batuk atau bersin.

Terdapat golongan berisiko tinggi mendapat Influenza. Mereka ialah kanak-kanak di bawah lima tahun, wanita hamil, warga emas berumur 65 tahun dan ke atas, individu dengan penyakit kronik (kencing manis, darah tinggi, asma dan lain-lain), individu obes, individu yang mempunyai daya ketahanan badan rendah (seperti pesakit kanser, penghidap HIV, pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi dan lain-lain.) 

Secara am, terdapat rawatan berkesan bagi merawat jangkitan Influenza. Salah satunya menggunakan ubat anti-viral. Rawatan segera penting bagi mengelak komplikasi penyakit.

Cara terbaik mencegah jangkitan Influenza adalah dengan mendapatkan vaksinasi secara tahunan bagi individu yang berumur enam bulan dan ke atas.

Sementara itu, HFMD boleh menjangkiti kanak-kanak yang berumur lima tahun ke bawah.

Kes HFMD pertama kali dijelaskan secara klinikal di Kanada dan New Zealand pada 1957. Penyakit ini disebut Penyakit Kaki Tangan dan Mulut.

Ia merebak melalui sentuhan apabila pesakit menyentuh kanak-kanak lain, maka virus boleh berpindah kepada kanak-kanak yang disentuh.

Virus ini juga merebak melalui permukaan objek dan barang-barang peribadi yang disentuh oleh pesakit.

Kajian mendapati virus itu boleh hidup di atas permukaan objek sehingga tiga hari. Selain itu, virus juga boleh tersebar dengan titisan (droplet) dari mulut ketika kanak-kanak batuk dan tersebar melalui najis pesakit.

Kebanyakan pesakit HFMD akan mengalami gejala ringan seperti demam yang diikuti ruam berisi air (vesicle) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

Amat penting penjaga melakukan kuarantin di rumah apabila terdapat tanda-tanda sebegini pada anak mereka.

Ini kerana kebanyakan kes yang berlaku tersebar cepat akibat kecuaian ibu bapa atau penjaga yang tetap menghantar anak mereka ke tadika atau rumah pengasuh walaupun bergejala.

Bagi yang mempunyai gejala ringan, perlu berehat di rumah dan pastikan pengambilan air mencukupi kerana tiada vaksin khusus untuk mencegah HFMD.

Bagi kanak-kanak yang dijangkiti, penting ibu bapa atau penjaga melihat tanda amaran yang menandakan pesakit mungkin perlu menerima rawatan lanjut di hospital.

Tanda-tanda itu termasuklah demam tinggi melebihi 38.5°C, demam berterusan melebihi 48 jam, pergerakan luar kawal (myoclonic jerk), perubahan kesedaran dan sawan.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 7:00 AM