DARI kiri Dr Yasmin, Ramil dan Dr Rupert pada majlis pelancaran vaksin flu terkini.
DARI kiri Dr Yasmin, Ramil dan Dr Rupert pada majlis pelancaran vaksin flu terkini.
Hajahfarhana Tarmudi


Kita disarankan untuk menutup mulut ketika batuk atau bersin terutama ketika kurang sihat seperti demam dan selesema apatah lagi jika dijangkiti influenza atau flu. Selepas itu, tangan juga perlu dicuci bersih bagi mengelakkan sebarang penyebaran jangkitan kepada orang berdekatan apabila bersentuhan.

Ini kerana batuk dan bersin menjadi faktor yang menyebabkan kita turut mendapat jangkitan sama daripada individu yang dijangkiti. Flu ialah jangkitan respiratori yang disebabkan virus influenza daripada keluarga Orthomyxoviridae dan boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu influenza A, B dan C .

Hanya influenza A dan B saja yang boleh menyebabkan penyakit kepada manusia. Sememangnya, masalah kesihatan itu berleluasa di seluruh dunia dengan influenza jenis A dan B menyerang kira-kira lima hingga 10 peratus orang dewasa serta 20 hingga 30 peratus kanak-kanak pada setiap tahun.

Di Malaysia, kes flu lazimnya dilaporkan sepanjang tahun dengan jangkitan influenza A lebih kerap dikesan berbanding influenza B, tetapi perbezaan tahun ke tahun mungkin mempunyai perbezaan yang agak ketara.

Perunding Pelawat Klinikal Kanan Pusat Perubatan Universiti Malaysia, Profesor Dr Yasmin Malik berkata, kemunculan virus boleh dikesan melalui gejala di seluruh badan yang menjangkiti hidung, tekak dan paru-paru.

“Orang yang menghidapnya sering mengalami beberapa atau kesemua gejala seperti demam, batuk, sakit tekak, hidung berair atau tersumbat, sakit otot atau badan, sakit kepala dan kelesuan.

“Jangkitan ini boleh berterusan selama satu atau dua minggu. Dalam tempoh ini, gejala serius biasanya reda dalam masa dua atau tiga hari.

“Malangnya virus ini mudah tersebar dalam kalangan ahli keluarga. Tanpa disedari orang dewasa yang dijangkiti virus boleh menjangkiti orang lain lebih awal iaitu sehari sebelum gejala bermula sehingga lima atau tujuh hari selepas jatuh sakit manakala kanak-kanak boleh menyebarkan virus hingga seminggu selepas jangkitan,” katanya.

Walaupun dianggap penyakit umum, tahap keterukannya tidak harus dipandang ringan. Malah, gejala mungkin berbeza daripada kesan ringan kepada kerumitan yang sangat serius seperti radang jantung (miokarditis), radang otak (ensefalitis) atau kegagalan beberapa organ yang boleh membawa maut.

Sesiapa saja boleh mendapat jangkitan berkenaan, tetapi golongan usia tertentu lebih terdedah kepada virus dan kerumitan yang berkaitan.

Ini termasuklah warga emas yang berusia lebih 65 tahun, individu dengan masalah paru-paru, jantung, hati, buah pinggang, neurologi, isu darah, penyakit metabolik atau endokrin seperti diabetes melitus.

Selain itu, individu dengan sistem imun yang lemah disebabkan masalah kesihatan seperti HIV atau kanser, wanita hamil, kanak-kanak di bawah umur lima tahun, pekerja kesihatan dan mereka yang melawat atau mengembara ke negara tertentu ketika ia tersebar juga mudah mendapat jangkitan.

Pada 2016, berdasarkan statistik dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit US menganggarkan sebanyak 500,000 kematian disebabkan oleh influenza mungkin berlaku setiap tahun.

Terdapat kira-kira 28,000 hingga 111,500 kematian dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun akibat penyakit berkaitan influenza pada 2008 .

Ketidakhadiran (ke sekolah atau tempat kerja) yang disebabkan oleh jangkitan flu adalah kesan umum dan membebankan. Kajian mendapati bahawa murid tidak dapat hadir ke sekolah kerana dijangkiti influenza dan secara purata, individu yang menghidap flu terpaksa mengambil cuti sakit selama 2.8 hari. Ini menunjukkan beban yang besar bagi masyarakat dan individu dari segi kekangan tenaga kerja dan kehilangan produktiviti.

“Flu boleh menjadi masalah teruk terutamanya bagi mereka yang tergolong dalam profil pesakit yang mudah terdedah. Walaupun mereka tidak dimasukkan ke hospital, seseorang yang dijangkiti influenza mungkin kemudiannya mengalami kerumitan serius seperti serangan jantung atau strok. Justeru, melalui vaksin flu, risiko ini boleh dikurangkan sekali gus membantu mengurangkan penyebaran penyakit dan risiko kerumitan,” katanya.

Elak penyebaran

Vaksinasi diperakui secara meluas sebagai cara terbaik untuk melindungi orang dewasa dan kanak-kanak daripada penderitaan akibat pelbagai jenis strain influenza sekali gus membantu melindungi ramai orang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan penggunaan vaksin flu sebagai salah satu cara paling berkesan untuk mencegah penyakit influenza.

Misalnya, Fluarix Tetra ialah vaksin flu kuadrivalen tidak teraktif (QIV) keluaran GSK Pharmaceutical Sdn Bhd yang kini boleh didapati di Malaysia.

Menurut Pengarah Hal Ehwal Perubatan dan Vaksin GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd Malaysia, Dr Rupert Jakes, ramai di antara kita pernah menanggung kesan negatif jangkitan flu sama ada secara langsung atau melalui orang tersayang.

“Sebagai pemimpin yang komited dalam pencegahan penyakit dan inovasi vaksin, kami berbangga memperkenalkan vaksin flu tidak teraktif yang diluluskan.

“Ia bertujuan pengimunan secara aktif dalam usaha melindungi orang dewasa dan kanak-kanak daripada risiko mendapat influenza,” katanya. Hadir sama pada majlis pelancaran vaksin berkenaan, Naib Presiden Pengurus Besar GSK Pharmaceutical Sdn Bhd, Ramil Burden.

Berbeza daripada vaksin tidak teraktif trivalen (TIV) yang mengandungi dua strain influenza A dan satu strain influenza B, vaksin baru ini merangkumi dua strain A dan dua strain B.

Ini memberikan perlindungan secara langsung dan lebih meluas terhadap empat strain yang menyebabkan hampir semua kes global influenza bermusim. Penggunaannya disyorkan untuk melindungi orang dewasa dan kanak-kanak berusia lebih tiga tahun.

Virus influenza sentiasa berubah dan sebab itulah seseorang boleh mengalami flu lebih daripada sekali. Vaksinasi tahunan terutamanya pada musim flu adalah antara cara melindungi diri sendiri, keluarga dan rakan yang mungkin lebih terdedah kepada virus berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2017 @ 2:51 PM