GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Mohamad Shakil Hameed

Tahun ini kita menyambut ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT) yang diperkenalkan sejak 1982 bagi meningkatkan prestasi pengurusan dan pembangunan di negara ini serta mewujudkan masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai kehidupan dan etika kerja yang positif untuk memacu kemajuan negara dengan mencontohi Jepun. Selama empat dekad pelaksanaan dasar ini telah menghasilkan manfaat yang besar kepada negara, khususnya dalam konteks pembangunan modal insan serta perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Ironinya, DPT berjaya memeta hala tuju yang jelas dalam membina hubungan strategik yang cukup akrab antara Malaysia dengan Jepun yang berterusan sehingga sekarang. Justeru, baik negara mahupun anggota masyarakat perlu terus memanfaatkan dasar ini bagi memulihkan negara terutamanya untuk bangkit daripada krisis ekonomi dan kesihatan yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 seterusnya membina karakter rakyat untuk membangunkan negara.

Banyak yang boleh kita teladani dari Jepun dan rakyatnya yang cukup dikenali dengan disiplin dan semangat juang yang tinggi.

Untuk rekod, Jepun adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia pada tahun lalu dengan nilai dagangan dua hala RM149 bilion, malah kira-kira 1,500 syarikat Jepun sedang beroperasi di negara ini. Di bawah dasar ini juga, lebih 26,000 anak muda Malaysia telah belajar dan menerima latihan di Jepun dengan meraih bukan saja pengetahuan serta kemahiran tinggi, tetapi juga nilai-nilai Jepun seperti etika kerja yang positif, semangat untuk belajar dan bekerja serta dari segi amalan moral yang tinggi.

Justeru, hubungan strategik dua hala ini perlu dipergiatkan terutama dalam konteks memperkasakan karakter generasi masa hadapan negara ini bagi membentuk dan melahirkan Keluarga Malaysia yang mempunyai nilai etika dan moral tinggi, mendukung jati diri yang tulin serta berdaya tahan untuk mengharungi apa jua cabaran yang akan datang dalam usaha untuk membangunkan negara mencapai impian menjadi negara berpendapatan tinggi.

Hakikatnya, kita perlu akui anggota masyarakat khususnya generasi muda sedang berhadapan krisis kecelaruan identiti merangkumi pelbagai masalah sosial dan moral termasuklah defisit integriti yang membimbangkan. Dalam hal ini, amalan nilai dan budaya Barat yang negatif seperti amalan gaya hidup yang terlalu bebas termasuk seks bebas, liberalisme, homoseksual, hedonisme dan sebagainya semakin mempengaruhi sikap, tingkah laku dan karakter anak muda negara ini. Sudahnya kita sedang berhadapan dengan gejala sosial dan keruntuhan akhlak yang serius dalam kalangan generasi muda.

Justeru, kita perlu memberi penekanan serius dengan melaksanakan inisiatif sewajarnya agar anak muda negara ini lebih mengutamakan adat dan budaya timur di mana ia dapat dilakukan dengan cara mencontohi kaedah serta amalan terbaik dari Jepun dan menyesuaikannya dengan budaya kita yang sedia ada.

Budaya masyarakat Jepun seperti mengutamakan kebersihan, rajin bekerja, menepati waktu, tidak mudah berputus asa, nilai disiplin dan integriti yang tinggi serta berbudi bahasa dan sentiasa menghormati orang tua di samping tahap kesetiaan yang tinggi terhadap negara perlu dijadikan suri teladan dalam kita membentuk karakter anak muda negara ini. Misalnya, anak-anak kita perlu diterapkan budaya Souji yang diamalkan pelajar sekolah di Jepun yang mengajar mereka kepentingan memikul tanggungjawab bersama untuk menjaga kebersihan dengan membersihkan kawasan di sekitar sekolah.

Justeru, jika mahu membangunkan negara dengan acuan kita sendiri maka banyak nilai-nilai positif yang boleh dicontohi dari Jepun kerana sejarah menyaksikan bagaimana budaya positif, kesungguhan dan kecekalan masyarakat Jepun dapat bangkit memulihkan serta mengangkat mereka semula daripada kehancuran Perang Dunia Kedua.

Malah, Jepun yang sering dilanda pelbagai bencana alam seperti gempa bumi dan taufan juga berjaya membuktikan kepada dunia mereka cukup berdaya tahan serta mampu menangani musibah dengan cekap dan meneruskan kehidupan.

Oleh itu, diharap rakyat Malaysia yang sudah diberi peluang belajar dan menerima latihan di Jepun melalui DPT ini perlu memikul tanggungjawab dan tampil ke hadapan untuk berkongsi bersama anggota masyarakat yang lain strategi yang digunapakai oleh Jepun untuk membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat.

Untuk itu, golongan ini perlu diberi peluang bagi melakukan transformasi baik dalam konteks sosial dan kehidupan seharian mahupun dalam aspek pengurusan sesebuah organisasi agar mereka dapat membuat penambahbaikan dan perubahan yang bersesuaian dan diperlukan sejajar dengan hasrat untuk melahirkan warganegara yang kental dan berdaya saing serta organisasi yang cekap dan efisien.

Di samping itu, kita juga berharap kerajaan akan terus memperkasakan hubungan diplomatik dan strategik Malaysia-Jepun yang terjalin sejak 65 tahun lalu agar lebih ramai lagi rakyat negara ini mendapat manfaat secara langsung demi masa depan yang lebih baik.

Secara umumnya DPT adalah satu usaha proaktif, berpandangan jauh dan positif dari pihak kerajaan Malaysia untuk meningkatkan lagi prestasi pengurusan dan pembangunan di negara ini sekali gus boleh menjadi asas pengwujudan sebuah masyarakat yang berdaya tahan, dinamik dan progresif.

Justeru, DPT perlu terus diperkasakan dan diangkat sebagai antara formula terbaik untuk membentuk karakter seluruh ahli Keluarga Malaysia melalui pemupukan nilai-nilai murni dan budaya kerja yang positif sebagai pemangkin kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.


Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 6:00 AM