PERSEMBAHAN tarian tradisional.
PERSEMBAHAN tarian tradisional.
SESI menyewa Yutaka mendapat sambutan pelajar.
SESI menyewa Yutaka mendapat sambutan pelajar.
Nurul Husna Mahmud

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) menyaksikan pendekatan berbeza dalam meraikan budaya Jepun menerusi Festival Kesenian Jepun Islamik baru-baru ini.

Menyasarkan kehadiran lebih 500 pengunjung membabitkan warga kampus dan orang awam, acara itu memberi pandangan berbeza mengenai kaedah mengenali budaya asing itu dalam kalangan tempatan.

Elemen Islam dalam festival Jepun

Beberapa acara berlandaskan kebudayaan Jepun menjadi pengisian festival yang bermula jam 8 pagi ini, terutama yang menariknya tarian rakyat, tayangan animasi serta pembukaan menerusi persembahan aikido.

“Saya gembira dan berpuas hati dengan kehadiran pengunjung sejak pagi sudah sedia memenuhi kawasan aktiviti. Meskipun sedia maklum ketika ini ramai pelajar pulang ke kampung menikmati cuti panjang, kelancaran tidak terjejas apabila ada yang sedia memeriahkan majlis perasmian,” kata pengarah program, Ameera Dini Anuar.

“Katanya, Kelab Bahasa Jepun KUIS tidak saja memberi peluang pengunjung untuk melihat sendiri budaya ini selain mencabar sudut kreativiti pasukan festival ini memuatkan elemen Islamik agar relevan dengan objektif KUIS.

“Antara aktiviti boleh dilihat pemakaian Yutaka serta ‘cosplay’ masih mengambil kira ketetapan aurat sebagaimana ditetapkan dalam Islam selain seni lukisan komik mengetengahkan elemen pengajaran dan juga kutipan amal yang bagi saya, contoh pengisian baik,” katanya.

Tidak menafikan di sebalik kemeriahan serta keseronokan acara berlangsung, Ameera dan rakan komunitinya dikenali dengan Otakuisians berdepan dengan cabaran.

“Kekangan kami tentu saja dari segi bajet dalam menjayakan festival berkenaan. Mujur pihak KUIS terutama Dr Hairol Anuar daripada Pusat Pengajian Teras serta alumni serta penaja luar memberi sokongan kepada dana ini.

“Kami berharap ini menjadi titik tolak bagi penganjuran festival Jepun ini setiap tahun dan semestinya skala lebih besar dapat dianjur barisan kepemimpinan akan datang,” katanya.

Pelajar lebih mudah faham

Tenaga pengajar bahasa Jepun, Norilawati Ahmad Narai berkata, festival ini antara platform terbaik membantu pelajar memahami budaya Jepun secara berkesan.

Katanya, sesi pembelajaran bahasa terbabit dalam kelas semata-mata tidak mencukupi. Justeru penganjuran festival ini dilihat ‘medium’ baik dalam penguasaan bahasa serta memahami budaya timur terbabit.

“Dalam festival ini pelajar dapat memahami lebih mendalam mengenai budaya berkenaan baik dari segi makanan, nilai etika dan warisan budaya mereka tinggalkan.

“Bagi menarik minat mereka, saya bawakan Yutaka Obi atau Kimono dalam membuka langkah meraih keterujaan mengenai budaya tradisional. Pada sudut pelajar, kita beri kebebasan mengenai pengisian sebagaimana mereka adakan untuk pengunjung.

“Kita berharap pelajar tidak saja bergembira malah mempelajari sesuatu positif mengenai budaya asing ini yang sangat dikenali sebagai bangsa berintegriti tinggi apabila menekankan aspek disiplin, kerjasama dan kebertanggungjawaban,” katanya.

Karakter animasi popular

Bagi pelajar KUIS, Muhammad Najmi Shahrin, budaya atau kesenian Jepun dikenali sejak kecil menerusi kewujudan karakter komik.

“Sebenarnya saya tertarik mengenali Jepun serta budayanya menerusi karakter popular Astro Boy, Doraemon, Detektif Conan dan banyak lagi.

“Justeru apabila menyambung pengajian di KUIS dan ada kelab Jepun, saya melihat ia peluang mendekati gaya hidup masyarakat negara Samurai itu. Malah sepanjang terbabit dalam aktiviti kelab, minat untuk memahami dan belajar mengenai tata gaya hidup mereka bertambah.

“Impian saya sendiri ialah menggunakan pengalaman serta pembelajaran dikutip dalam kelab bagi manfaat ketika berkunjung ke negara berkenaan suatu hari nanti,” katanya.

Berharap untuk berkomunikasi dengan mesra

Ahli kelab Jepun, Fatini Arfah Mohd Amran berkata, pengalaman berkunjung ke Shikano, Jepun membangkitkan keinginannya mempelajari budaya negara itu.

“Saya pernah bercuti ke Jepun bersama keluarga. Perkara menarik perhatian saya ialah melihat gadis muda sana mengenakan kimono dan begitu tertib melayan tetamu selain bangga akan seni warisan seperti patung kecil mahupun porselin membuat saya terus minat.

“Untuk itu saya menyertai kelab ini agar dapat mempelajari bahasa serta adat budaya mereka. Moga ada kesempatan saya berkomunikasi dengan rakyat Jepun andai mengunjunginya lagi,” katanya yang tampil sebagai pembuat origami.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 5:03 AM