AZMIN (kanan) bersalaman dengan Iwata pada Majlis Pembukaan Seminar Perniagaan Ulang Tahun ke-40 DPT di Kuala Lumpur, semalam. FOTO ASYRAF HAMZAH
AZMIN (kanan) bersalaman dengan Iwata pada Majlis Pembukaan Seminar Perniagaan Ulang Tahun ke-40 DPT di Kuala Lumpur, semalam. FOTO ASYRAF HAMZAH
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Malaysia dan Jepun meneroka kerjasama baharu berkaitan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui projek yang dilaksanakan di bawah Dasar Pandang ke Timur (DPT).

Beliau berkata, ini termasuk mempelbagaikan kerjasama dalam bidang krisis bencana, masyarakat menua, ekonomi digital, sains, teknologi dan inovasi serta pertumbuhan hijau.

"Pelaksanaan DPT menitikberat limpahan faedah yang seimbang kepada kedua negara termasuk melalui keupayaan Malaysia meningkat kerjasama dalam pembangunan industri halal dengan Jepun.

"Malaysia sebagai pelopor dalam industri halal global pastinya dapat membantu Jepun yang mempunyai minat yang tinggi membangunkan industri halalnya," katanya dalam teks ucapan perasmian Majlis Pembukaan Seminar Perniagaan Ulang Tahun ke-40 DPT yang dibacakan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Iwata Kazuchika.

Ismail Sabri berkata, menurut Laporan Risiko Global Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022 melaporkan isu seperti perubahan iklim, kesan sosial populasi yang semakin menua dan polarisasi sosial selepas pandemik Covid-19 dijangka memberi kesan serius terhadap ekonomi dan mata pencarian kebanyakan negara dunia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Sesungguhnya, setiap cabaran memberi peluang kepada kita untuk lebih berinovasi. Ini jelas apabila pandemik Covid-19 menyaksikan peningkatan dan perubahan penggunaan teknologi digital yang ketara dalam kehidupan harian kita pada masa kini," katanya.

Katanya, cabaran global diharap akan menjadi pencetus kepada pembentukan kerjasama DPT bagi kepentingan bersama Malaysia dan Jepun dalam bidang dan projek baharu terutama merancakkan aktiviti perdagangan supaya ekonomi kembali pulih dengan cepat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 11:07 AM