PENYAMPAIAN berita dalam platform baharu dan lama memberi capaian yang lebih luas.
PENYAMPAIAN berita dalam platform baharu dan lama memberi capaian yang lebih luas.
DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Suatu pagi, penulis duduk minum di kedai mamak, layan roti canai garing dengan kuah kambing sambil menghirup teh tarik memang rasa aman dunia.

Ya lah, kita yang tinggal di bandar ini memang kedai mamak jadi pilihan, bukan mempromosi kedai mamak, tetapi masalahnya satu kedai Melayu pun tiada sekitar tempat kerja penulis.

Mahu tidak mahu, telan saja asal kenyang kerana jika bawa bekal nasi dengan mangkuk tingkat, nanti dikata atau dilihat orang sebagai kedekut pula.

Sambil melayan dan menunggu teh tarik yang sedikit panas, penulis duduk tenang sendirian di meja sambil melihat tiga lelaki Cina turun dari kereta sebelum minum di sebelah meja penulis.

Semuanya lingkungan 40-an dan memakai seluar pendek serta baju-T biasa saja. Apabila penulis lihat di tangan mereka, ketiga-tiganya memakai jam tangan jenama 'Richard Mille', terkedu sekejap dibuatnya.

Apa tidaknya, jam tangan itu adalah edisi terhad di pasaran dengan harga hampir RM1 juta.

Terus terlintas di fikiran, bagaimana mereka membeli jam tangan itu, apa kerja mereka dan bagaimana hidup mereka jika jam tangan saja sudah berharga RM1 juta? Kereta atau rumah mereka sudah semestinya berjuta-juta ringgit dan walaupun kaya gila atau gila kaya, masih makan di kedai mamak.

Tabik juga buat mereka. Kita ini jika mati hidup balikpun tidak mampu memakai jam tangan berharga mewah seperti itu.

Lainlah jika tanah bukit di kampung ada minyak dan jika mahu dibeli oleh syarikat minyak sekalipun, rasanya masih tidak mampu untuk memilikinya, melainkan beli jam tangan berjenama versi tiruan di pasar malam.

Mungkin ada yang tertanya, takkan minum di kedai mamak pun nak dicerita kepada semua orang.

Sebenarnya, penulis ingin menyatakan sikap segelintir orang kita yang suka menunjuk-nunjuk. Jika beli rantai emas atau gelang emas harga RM1,000 ke atas pun sudah beria-ia menunjukkan dalam media sosial tidak kira di Instagram (IG), Facebook (FB) atau buat gedik-gedik di TikTok, sedangkan orang atau bangsa lain mempunyai barangan berjuta masih 'simple' mengeteh di kedai mamak.

Realiti memang sikap kita suka menunjuk-nunjuk, pantang ada yang lebih mesti suka 'show off', pada hal tahu keaslian gelang emas berkerat-kerat di tangan ditayangkan di TikTok sambil bergedik-gedik dengan lagu yang dimainkan.

Apakah wajib semua ini ditayangkan untuk mendapat publisiti murahan atau mengejar 'follower' atau 'like' yang banyak? Apakah faedah yang akan dapat? Bingung penulis bila mengenangkan sejenak apa yang berlaku dan dilakukan bangsa sendiri, sedangkan bangsa lain sudah menapak jauh ke depan dengan usaha dan titik peluh mereka untuk berada di tahap jutawan yang tidak boleh disangkal lagi.

Menerusi penulisan ini, saya mahu menekankan terutama wanita (tidak semua) supaya tidak menunjuk-nunjuk apa yang ada sama ada mampu membeli atau tidak.

Sedarlah suami anda letih memulas stereng lori mencari rezeki atau bersengkang mata bekerja di kilang atau mana-mana tempat atau puas memacak diri di tengah panas mentari dalam sekatan jalan raya berjam-jam lamanya mencari sesuap nasi dan rezeki untuk anak dan keluarga.

Bukan hanya wanita, tetapi lelaki pun seeloknya usah suka menunjuk-nunjuk dengan riyak dan bermegah-megah di TikTok atau FB.

Tidak ke mana pun hasilnya dan paling hangat pun, dapat beribu 'like' tapi selepas dua hari, ramai orang sudah lupa siapa mamat yang membeli jam tangan berharga RM15,000 itu.

Silap-silap, jam tangan dibeli dengan ansuran bulanan itu ditarik pemilik kedai dan hanya boleh merasa memakainya selama dua bulan untuk bergaya dan menunjuk.

Sikap suka menunjuk-nunjuk ini boleh mengakibatkan segelintir orang dihimpit hutang. Apa tidaknya, jika mahu dilihat di media sosial mempunyai kereta mahal, rumah mewah tersergam indah dan pakaian berjenama boleh menyebabkan terjebak dengan hutang yang banyak.

Alangkah susahnya jika mereka ini terbabit dengan pinjaman along. Entah bagaimana nasib nanti akibat ingin berlagak mewah dan mendapat rating tinggi, akhirnya lari ke negeri pasir berdengung (tidak diketahui orang) dengan beg usang.

Apakah nanti pengikut yang ramai atau tanda suka yang banyak itu akan menolong mengutip dana membantu kita?

Sudah semestinya tidak sebab mereka pun tidak tahu siapakah diri kita. Tidak lengkap nasihat kepada anggota keselamatan di luar sana kerana 'makan gaji tidak akan kaya'.

Penulis sudah mengulas mengenai isu ini dan janganlah menunjuk-nunjuk kemewahan yang ada, sedangkan masyarakat di luar sana tahu berapa nilai dan gred gaji kita. Jika kita terlebih menunjuk-nunjuk, nanti masyarakat atau orang akan berkata itu semua adalah duit di luar bidang kita walaupun kita penat mencari kerja lebih dengan menjual pisang goreng di hadapan rumah selepas habis kerja hakiki.

Ukurlah baju di badan sendiri dan menyimpanlah untuk sakit pening kita. Bersyukur apa yang ada dengan jawatan dan gaji sendiri, sedangkan ramai di luar sana masih mencari-cari kerja walaupun mempunyai kelulusan lebih tinggi berbanding kita.

Nasihat penulis kepada diri sendiri, anak, rakan serta masyarakat di luar sana supaya berhentilah daripada mempunyai sifat suka menunjuk-nunjuk. Ini kerana, jika kita susah, sudah pasti ada orang lain yang jauh lebih susah berbanding kita.

Sesenang-senang kita, ada orang yang lebih senang daripada kita. Maka janganlah mudah meninggi diri, rasa bangga atau bersikap riyak.

Elakkan berasa diri kita lebih hebat, lebih baik, lebih bagus daripada orang lain. Racun kepada ibadah adalah riyak. Penggagal kepada sebuah kejayaan adalah perangai berasa diri lebih hebat.

Kita sebagai manusia, pasti akan ada kekurangan dalam apa jua kelebihan. Seseorang manusia pasti memerlukan manusia lain sebagai pelengkap.

Tiada antara kita yang sempurna dalam segenap segi. Ada kekurangan, ada kelebihan dan sikap terbaik adalah bersederhana. Dalam berusaha pada tahap ekstrem untuk mengejar kejayaan, diam-diamkan pencapaian.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 5:59 AM