MARK Zuckerberg tidak perlu menunjuk kemewahannya untuk meraih perhatian dan Siti Nuhaliza cukup dikagumi  peminat kerana sikap sederhana yang ditampilkannya.
MARK Zuckerberg tidak perlu menunjuk kemewahannya untuk meraih perhatian dan Siti Nuhaliza cukup dikagumi peminat kerana sikap sederhana yang ditampilkannya.
minda

Siapa tidak mengenali keperibadian pengasas Facebook, yang sering mengenakan baju-T berwarna hitam dalam kehidupan sehariannya.

Meksipun tersenarai individu terkaya di dunia, Zuckerberg lebih suka dilihat sederhana dan tidak bermegah-megah dengan kekayaan yang dimiliki.

Jika diikutkan Zuckerberg boleh mengenakan pakaian berjenama mewah yang diinginkan, namun dalam satu temu bual beliau pernah berkongsi dirinya lebih mementingkan ketenangan dan kebebasan dalam hidup.

Apa yang penulis kagum dengan beliau adalah di sebalik kekayaan yang dimiliki, dia tidak perlu menunjuk kemewahannya untuk meraih perhatian.

Begitu juga dengan keperibadian penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang cukup dikagumi ramai kerana sikap sederhana yang ditampilkan.

Walaupun beliau antara selebriti terkaya di Malaysia, tapi tidak pernah dirinya mahu menunjuk-menunjuk kekayaan malah jauh sekali mahu tayang barangan mewah yang dibeli di akaun media sosial.

Bagaimanapun, apabila menjadi figura yang dikenali ramai, setiap apa yang digayakan pasti akan diperhatikan peminat seperti jam tangan yang digayakan Siti ketika hadir ke Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2021 (KLFW 2021) baru-baru ini.

Terdapat seorang pengguna di aplikasi TikTok memuat naik video beliau yang mengenakan jam tangan berjenama Richard Mille yang dianggarkan mencecah RM1.1 juta.

Jelas sekali dapat kita lihat betapa insan bernama Siti Nurhaliza ini tidak gemar untuk menunjuk-nunjuk walaupun beliau ada sahaja barangan mewah dalam koleksi peribadinya.

Melihat keadaan ini, penulis rasa terkilan dengan sikap segelintir usahawan dan selebriti yang gemar tayang kemewahan di media sosial bagi meraih perhatian.

Kadangkala kita yang melihat pula berasa malu dengan tindakan mereka yang seolah-olah mahu membuktikan kemampuan yang mereka miliki sedangkan tiada siapa peduli.

Meskipun ada yang menganggap apa yang dikongsikan adalah untuk memberi inspirasi, tetapi percayalah pasti ada terdetik sedikit rasa bangga dan ingin menunjuk apa yang dimiliki kepada pengikut mahupun individu tertentu.

Penulis bukan cemburu atau tidak menyokong niat untuk memberi inspirasi yang sering mereka gunakan sebagai 'ayat selamat' tapi seeloknya tidak perlulah menunjuk-nunjuk di sosial media.

Biarlah apa yang dimiliki itu hanya disimpan sendiri. Orang akan tahu siapa yang benar-benar kaya dan siapa yang berlakon kaya.

Lagipun, jarang penulis lihat orang yang betul-betul kaya terlalu beria-ia mahu membuktikan dirinya memiliki kekayaan luar biasa.

Malah ada segelintir golongan 'kayangan' yang penulis kenal, mereka juga malu untuk tayang barangan mewah yang dibeli untuk tatapan umum sebaliknya beli untuk kepuasan diri serta koleksi peribadi.

Jadi sentiasa mengingatkan diri dan menyucikan hati agar dijauhkan dengan perkara-perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan Allah.

Allah SWT berfirman dalam surah Luqman ayat 18 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu memalingkan mukamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri."

Justeru, marilah kita bermuhasabah dan memperbaiki diri. Kita perlu insaf dan akui bahawa kita manusia yang amat daif dan lemah.

Segala kehebatan dan kelebihan yang ada pada diri kita adalah anugerah pinjaman daripada-Nya dan boleh ditarik balik bila-bila masa sahaja.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 7:01 AM