ASAD akui dibesarkan dengan suasana beraya di ibu kota.
ASAD akui dibesarkan dengan suasana beraya di ibu kota.
Zaara Talita


LUMRAH setiap kali Aidilfitri, umat Islam terutama di perantauan akan pulang ke kampung sehingga ada yang terpaksa menempuh perjalanan panjang akibat kesesakan lalu lintas.

Bagi individu yang berasal dan dibesarkan di bandar atau yang sudah tidak lagi mempunyai rumah di kampung, situasinya agak berbeza apabila mereka memilih untuk meraikan Aidilfitri di ibu kota.

Begitu juga dengan pelakon, Asad Motawh yang tidak mempunyai kenangan beraya di kampung. Namun, dia tidak pernah berasa ralat dengan perkara itu.

Baginya, Aidilfitri seharusnya diluangkan bersama keluarga tercinta biarpun rutin setiap individu tidak sama.

"Jika bercerita mengenai Aidilfitri, tiada apa yang istimewa sebenarnya kerana ia diraikan secara sederhana saja oleh keluarga saya. Bergantung pada 'mood' ibu, jika beruntung pasti kami dapat menikmati juadah rendang masakannya.

"Sekali sekala rasa air tangan ibu, pastinya membuatkan kami sekeluarga ternanti-nanti. Itu yang menjadikan masakan ibu begitu istimewa. Lazimnya pada pagi raya kami berkumpul bersama-sama dan solat sunat Aidilfitri bersama-sama. Kemudian makan beramai-ramai dan pada sebelah malam pula akan ada rumah terbuka.

"Setiap tahun rutinnya sama saja. Lebih istimewa kerana saya kini tinggal di luar sendiri, jadi saya memanfaatkan masa berkualiti bersama keluarga," katanya.

Dibesarkan dengan suasana beraya di ibu kota, penyanyi berusia 22 tahun ini tidak pernah berasa ralat tidak mempunyai kampung halaman.

TIDAK berminat menunjuk-nunjuk aset yang dimiliki.
TIDAK berminat menunjuk-nunjuk aset yang dimiliki.

Sebaliknya dia mensyukuri peluang yang diberikan Allah untuk diraikan bersama insan tercinta.

"Mungkin pelik bagi segelintir pihak, namun bagi saya beraya ketika pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu adalah masa kegemaran saya. Ini kerana semuanya 'terkurung' dalam rumah yang sama.

"Kita juga berpeluang menjalani ibadah puasa dan beraya dari awal hingga akhir bersama-sama. Ini kerana ada kalanya kita tidak dapat duduk semeja kerana tuntutan kerja dan sebagainya, jadi saya betul-betul memanfaatkan PKP.

"Jika dibandingkan dengan PKP dan beraya dengan keadaan normal, saya jujurnya merindui detik itu. Bagi saya, sambutan raya keluarga saya biasa-biasa saja," katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Asad yang baru menjengah usia 22 tahun sudah memiliki dua banglo, suite peribadi dan sebuah kereta mewah.

Dia bersyukur segala aset yang dimiliki adalah usaha keras yang dilakukan selepas menjalankan tiga perniagaan.

Menurut Asad, dia tidak berminat untuk menunjuk-nunjuk aset yang dimiliki kerana tidak memberi sebarang faedah kepadanya.

"Saya mula miliki rumah ketiks berusia 19 tahun. Apa yang saya miliki hari ini biasa-biasa saja. Mungkin sebab saya mempunyai ramai kawan-kawan artis yang kaya.

"Apabila seseorang itu semakin kaya, semakin sedikit kekayaan yang ingin ditunjukkan kepada orang lain. Saya tak nampak apa-apa kelebihan kalau menunjukkan harta. Lagipun kalau saya tunjuk segala aset, nanti orang tetap akan mengata saya acah-acah dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 6:20 AM