GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Syah Rul Aswari Abdullah

Di seluruh dunia, kebanyakan negara secara berperingkat melonggarkan peraturan Covid-19. Ia termasuk membuka semula sekolah untuk pembelajaran bersemuka, kembali ke tempat kerja dan membuka sempadan untuk pengembara antarabangsa.

Namun, China yang melaporkan Covid-19 pada akhir 2019 dilihat tetap berpegang kepada strategi 'sifar Covid'. Kaedah itu bermakna negara itu masih menumpukan usaha untuk menghapuskan virus itu sepenuhnya, berbanding menerima hakikat bahawa virus itu tidak akan lenyap dalam masa terdekat.

BBC melaporkan sejak 23 Disember lalu, 13 juta penduduk bandar Xian diarahkan berkurung di rumah. Ia adalah sekatan pergerakan (lockdown) terbesar pernah dilaksanakan di negara itu, sejak langkah sama kali pertama dilaksanakan di Wuhan.

Sehingga kini, lebih 1,600 kes dilaporkan di Xian, bandar yang terkenal dengan tarikan pelancongan, Terracotta Warriors. Ia dilaporkan sebagai penularan tempatan paling buruk selepas
di Wuhan.

Angka itu mungkin kecil bagi sesetengah negara lain, tetapi dianggap serius oleh pihak berkuasa. Penularan itu menyaksikan jumlah kumulatif kes di China pada minggu terakhir 2021, melonjak ke paras tertinggi sejak Mac 2020.

AFP pula melaporkan Bandar Yuzhou di wilayah Henan 'ditutup'. Ia selepas penemuan hanya tiga kes Covid-19, semuanya tanpa gejala.

Bandar dengan populasi 1.1 juta penduduk turut menutup sistem pengangkutan dan tempat hiburannya serta tidak membenarkan hampir semua kenderaan di jalan raya.

Semua premis diarahkan tutup kecuali kedai makanan. Hanya pekerja terbabit dalam pencegahan wabak dibenarkan keluar ke jalan raya.

Terbaharu, hampir 13 juta penduduk di bandar Zhengzhou, diarahkan menjalani ujian Covid-19, pada Rabu lalu.

Penduduk diletakkan di bawah sekatan pergerakan separa dan wajib menjalani ujian untuk mengetahui status kesihatan secara menyeluruh.

Menurut laporan AFP, Zhengzhou mencatatkan 11 kes dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Ini bukanlah contoh ekstrem bagi menunjukkan cara China menangani Covid-19. Mungkin ada yang masih ingat bahawa seorang kru kereta api laju di negara itu dikesan sebagai kontak rapat pesakit Covid-19 dan seluruh penumpang dikuarantin dan menjalani ujian saringan.

Selain itu, pernah di Shanghai Disneyland, 33,863 pengunjung perlu menjalani ujian saringan selepas seorang individu yang mengunjungi taman tema itu, pada hari sebelumnya disahkan positif.

Jadi, apa yang menyebabkan China terus berpegang kepada strategi sifar Covid ini?

Sedangkan, negara lain termasuk Malaysia, Singapura dan Australia sudah mula melonggarkan peraturan Covid-19. New Zealand yang pernah mengguna pakai modul sama akhirnya memutuskan beralih daripada pendekatan sifar Covid ini yang dianggapnya tidak lagi realistik.

Ada yang berpendapat, China mahu berpegang modul sama yang terbukti berjaya mengekang penularan pertama Covid-19. Ia termasuk kaedah utama iaitu sekatan, kesan dan rawat. Ia melalui lockdown, mengasingkan pesakit dan pengesanan kontak.

Selain itu, kerajaan sudah menyemai fahaman yang kuat dalam kalangan rakyat bahawa kaedah China itu adalah modul terbaik untuk menangani penularan virus itu, seperti yang dapat dilihat di Wuhan yang juga pusat penularan wabak itu.

Ini ditambah pula dengan kebimbangan penularan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi. Pada masa sama, Beijing akan menjadi tuan rumah kepada Olimpik Musim Sejuk, bulan depan. Jadi, pihak berkuasa bertungkus-lumus untuk mengekang penularan virus itu.

Menjelang Oktober pula, Parti Komunis akan menganjurkan kongres lima tahun sekali dengan Presiden Xi Jinping dijangka akan memulakan penggal ketiganya.

Pada masa sama, golongan nasionalis negara itu menganggap penggunaan kaedah lain dilihat sebagai cubaan pihak asing untuk mempengaruhi dasar negara itu. Perlu diingat bahawa China kini adalah kuasa besar ekonomi dunia. Ia tidak perlu mengikut 'telunjuk' mana-mana pihak untuk menentukan dasar kesihatan awamnya.

Jadi, setakat ini, ia masih mahu berpegang kepada modul yang sama.

Ini bermaksud ujian saringan berskala besar, sekatan pengangkutan, pemantauan ketat, pengesanan kontak, lockdown bersasar, akan terus menjadi norma kehidupan penduduk negara itu.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 6:15 AM