SEORANG petugas perubatan menjalankan kerja membasmi wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Union Jiangbei di Wuhan.
SEORANG petugas perubatan menjalankan kerja membasmi wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Union Jiangbei di Wuhan.
Syah Rul Aswari Abdullah

DUNIA terkejut apabila China mengumumkan perintah sekatan pergerakan masuk dan keluar (lockdown) di Wuhan - bandar dengan populasi 11 juta penduduk - yang dipercayai pusat penularan wabak koronavirus baharu, pada 23 Januari lalu. Ketika itu ia belum lagi dikenali dengan nama Covid-19.

Ia sekali gus menyaksikan 11 juta penduduknya diperintah untuk berkurung di dalam rumah. Mereka hanya dibenarkan keluar rumah jika mahu memberi barangan keperluan ataupun mendapatkan rawatan kesihatan.

Sekolah, pejabat dan kilang diarah tutup. Kenderaan persendirian diharamkan di jalan di bandar berkenaan. Semua akses - baik udara dan darat - untuk masuk dan keluar dari Wuhan sama sekali disekat. Dalam beberapa hari berikutnya, perintah itu diperluas ke beberapa bandar di sekitar Wuhan. Ia meliputi 60 juta orang.

Mengimbas kembali sekatan menyeluruh itu, pihak berkuasa bukan saja menyekat pergerakan penduduk, malah memperkenal polisi yang lebih agresif.

Di beberapa kawasan, hanya satu ahli keluarga dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan dalam tempoh beberapa hari. Selain itu, di tempat lain, jawatankuasa penduduk diberikan tugas untuk urusan berkenaan.

Dalam pada itu, kakitangan perubatan melakukan pemeriksaan dari pintu ke pintu untuk mengesan individu yang disyaki dijangkiti wabak itu.

Di sesetengah kawasan perumahan, pengurusan menyediakan ganjaran wang kepada individu yang memberi maklumat jika mendapat tahu ada penghuninya menunjukkan simptom Covid-19.

Sesiapa sahaja yang menunjukkan sebarang tanda tidak sihat akan segera dikuarantin. Bagi menampung jumlah pesakit, pihak berkuasa membina hospital sementara dan menjadikan dewan, pusat kebudayaan dan gimnasium sebagai hospital.

Pada awalnya, usaha Beijing disambut dengan pandangan skeptikal oleh masyarakat antarabangsa. Ia dilihat sebagai eksperimen besar-besaran Bejing untuk mengekang penularan Covid-19. Tidak pernah dalam sejarah dunia moden, mana-mana negara melaksanakan perintah kuarantin dalam skala sebesar ini.

Bagaimanapun, selepas dua bulan, usaha itu membuahkan kejayaan. Buat pertama kali, Wuhan tidak merekodkan sebarang kes jangkitan tempatan baharu, Khamis lalu. Bagaimanapun, terdapat 34 kes baharu di seluruh China pada hari sama. Tetapi, semuanya kes import.

Ahli epidemiologi meramalkan kes jangkitan di Wuhan akan sifar pada akhir Mac. Ia sekiranya tiada kes baharu 14 hari selepas hari terakhir tiada laporan kes baharu. Li Lanjuan, ahli epidemiologi dari Makmal Diagnosis dan Rawatan untuk Penyakit Berjangkit berkata, jika itu berlaku, sekatan pergerakan di Wuhan mungkin boleh dilonggarkan.

Bagaimanapun, China belum bersenang-lenang dengan penurunan kes Covid-19 di negara itu. Sebaliknya, Wuhan masih dikenakan sekatan pergerakan, tetapi kelonggaran diberikan untuk penduduknya kembali bekerja.

Sebagai langkah pencegahan, semua premis restoran dan kedai akan melakukan saringan suhu kepada setiap pengunjung. Sesetengah bangunan pula hanya membenarkan individu dengan kod yang mewakili tahap kesihatan tertentu untuk masuk.

Kini, kaedah lockdown diguna pakai di beberapa negeri dan negara yang terjejas akibat penularan Covid-19 termasuk Itali, Sepanyol dan California, Amerika Syarikat. Bagaimanapun, perintah itu tidak setegas dengan apa yang dikuatkuasakan di China.

Bagi sesetengah pihak, lockdown bukan satu-satunya jalan untuk mengekang penularan wabak itu. Taiwan dan China umpamanya, memilih untuk memperketat saringan, ujian dan pengesanan kontak. Pada masa sama, negara terbabit mengutamakan penjarakkan sosial sebagai langkah utama bagi menangani Covid-19.

Malaysia pula sudah memperkenalkan perintah kawalan pergerakan sehingga 31 Mac ini. Meskipun ramai yang melihat langkah ini menyulitkan kehidupan rakyat, ia bertujuan mengekang penularan wabak itu di negara ini. Dengan berkurung di dalam rumah, ia akan mengurangkan risiko seseorang untuk dijangkiti atau menjangkiti.

Ini memandangkan kajian menunjukkan virus ini boleh hidup beberapa jam selepas terdedah ke udara. Tambahan pula, penghasilan vaksin Covid-19 kini belum memulakan fasa ujian klinikal. Ia hanya akan dapat dihasilkan dalam masa 12 atau 18 bulan lagi.

Justeru, orang ramai perlu melihat penjarakkan sosial menerusi Perintah Kawalan Pergerakan sebagai sesuatu yang positif. Biarpun tidak 100 peratus, kita boleh memperhalusi dan mengadaptasi langkah yang dikuatkuasakan di Wuhan. Apa yang pasti, China kini sudah hampir ke penghujung dalam perangnya terhadap wabak Covid-19.


Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 6:01 AM