Hassan Adli
Hassan Adli
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: Pendakwah bebas Hassan Adli, 37, menyifatkan bersederhana adalah lebih baik agar tidak menimbulkan rasa sakit hati pada orang yang melihat terutama menerusi perkongsian di media sosial.

Hassan berkata, dalam situasi pengaruh media sosial sekarang sememangnya ada segelintir orang yang suka 'show off' atau menunjuk bagi menarik jumlah tontonan.

"Apapun, dalam hal sebegini (mempamerkan kemewahan), bergantung pada niat seseorang itu. Jadi, kita juga sebagai orang yang melihat atau mengikut di media sosialnya, tidak boleh pula mendakwa sesuka hati itu tindakan yang menunjuk-nunjuk.

"Ini kerana kita tidak tahu niat sebenarnya. Malah, sekiranya mereka memang mampu, ia hak masing-masing selagi tidak ke arah membazir. Bagaimanapun, pada saya sewajarnya yang lebih baik bersederhana saja," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Hassan, jika seseorang itu mampu memiliki barangan mewah dan menunjukkannya di media sosial, ia mungkin sebagai tanda bersyukur dengan segala nikmat rezeki yang Allah berikan kepadanya. Begitu juga, barangkali barangan mewah dipakai itu kerana menghargai pemberian diterima.

"Ada beberapa faktor yang kita kena nilai dan teliti dulu sebelum nak mendakwa seseorang itu menunjuk-nunjuk dengan barangan mahal dimiliki. Ini kerana, selagi tidak melampaui batas, itu hak masing-masing kerana memang mereka mampu memilikinya.

"Macam saya sendiri, kalaulah mendapat hadiah mewah daripada keluarga atau kenalan, takkan nak disimpan saja. Mestilah saya juga akan memakainya sebagai tanda terima kasih dan menghargai pemberian itu. Bahkan, sudah tentu juga orang yang memberikannya (hadiah) berasa gembira," katanya.

Hassan berkata, niat seseorang itu datangnya daripada hati. 

"Perkara membabitkan hati seperti niat ini, kita memang tak tahu kecuali individu berkenaan dan perlu berhati-hati sebelum nak membuat sebarang dakwaan," katanya. 

Muka depan Metro Ahad hari ini melaporkan perkongsian membabitkan pakaian dan aksesori mewah beberapa selebriti popular yang digayakan mereka di media sosial sehingga meraih perhatian walaupun tiada niat untuk menunjuk kemewahan diri.

'Perhiasan kayangan' yang dilabel menerusi jenama-jenama mewah digayakan itu mencecah anggaran harga ribuan hingga ratusan ribu ringgit hanya kerana penampilan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 8:35 PM