SEKTOR pertanian adalah antara sektor penyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia. FOTO Arkib NSTP
SEKTOR pertanian adalah antara sektor penyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia. FOTO Arkib NSTP
Dr Shri Dewi Applanaidu

Sektor pertanian adalah antara sektor penyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia serta memainkan peranan sangat penting dalam jaminan makanan negara lebih-lebih lagi ketika negara serta dunia berdepan pandemik Covid-19.

Namun, sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Negara Kasar (KDNK) masih kecil berbanding sektor lain sedangkan ia memiliki potensi sangat besar. Sektor ini turut menyumbang peluang pekerjaan kepada rakyat terutama bagi penduduk di luar bandar.

Selain penduduk luar bandar, sektor pertanian juga mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk bandar melalui pertanian bandar (urban farming) serta dapat membantu mengurangkan kos sara hidup.

Cabaran utama sektor pertanian di Malaysia ialah kesinambungan daripada segi survival berikutan komuniti pertanian lebih dipelopori golongan sudah berumur. Generasi muda pada masa kini kurang meminati sektor pertanian dan menganggap penyertaan dalam bidang pertanian sebagai bahaya, kotor, sukar dan hina (4D) serta mereka yang terbabit dalam sektor ini dianggap menerima gaji rendah dan tidak menjanjikan masa depan yang baik.

Penularan Covid-19 dijangka membuka mata generasi muda bahawa sektor pertanian ini adalah suatu sektor penting serta menjanjikan pulangan baik walaupun ketika sektor lain berdepan kemerosotan. Walaupun pelbagai inisiatif dilakukan oleh kerajaan terutama melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), namun statistik masih memperlihatkan pembabitan golongan muda dalam sektor ini masih kurang.

Ia menimbulkan persoalan mengapa generasi muda kurang berminat dalam sektor pertanian? Adakah mereka menganggap bekerja di sektor ini sebagai 4D? Adakah mereka menganggap gaji di sektor ini rendah dan tidak mempunyai prospek masa depan yang baik?

Persepsi ini mungkin antara sebab menghalang generasi muda membabitkan diri dalam sektor pertanian. Sektor pertanian berubah dengan pesat, terutama dengan kemunculan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), dan pembabitan generasi muda dalam sektor ini sangat penting kerana mereka adalah agen perubahan.

Melalui IR 4.0, produktiviti sektor pertanian pada era ini dapat dipertingkatkan melalui pertanian pintar (smart farming), penggunaan teknologi baharu seperti artificial intelligence, automasi, analisis data besar (big data analysis), dron dan robotik. Usaha ini memerlukan pembangunan modal insan yang berkemahiran tinggi seperti pengurus ladang yang cekap dan dapat memaksimumkan pengeluaran serta menguruskan ladang secara profesional.

Justeru, pewaris pertanian yang berkualiti amat diperlukan bagi memimpin sektor pertanian pada masa depan selain memastikan perancangan Wawasan Kemakmuran Bersama tahun 2030 dapat dicapai.

Ketika ini, kebanyakan sekolah di Malaysia tidak menawarkan mata pelajaran Sains Pertanian pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Subjek pertanian ini hanya mata pelajaran elektif untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi beberapa sekolah. Malah, pelajar yang mengambil mata pelajaran Sains Pertanian di sekolah menengah atas terdiri daripada pelajar yang mempunyai kebolehan akademik yang sederhana.

Kini, pandemik Covid-19 membuka mata untuk menjenamakan semula pendidikan pertanian supaya dapat menarik minat pelajar dari peringkat sekolah rendah lagi dan bukan hanya memberi pendedahan subjek pertanian ketika di menengah atas atau di universiti. Cadangan supaya pendidikan pertanian diperhalusi semula supaya dimulakan dari peringkat sekolah rendah secara sistematik sehingga dapat memberikan asas, yang akhirnya dapat menjadi landasan bagi para pelajar di peringkat sekolah menengah dan pengajian tinggi untuk memilih mata pelajaran atau program berasaskan pertanian .

Pertanian adalah satu bidang yang penuh dengan aplikasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Pengetahuan sains dan teknologi berperanan penting bagi memahami pertanian dengan mendalam. Sehubungan itu, subjek pertanian seharusnya menjadi antara subjek utama seperti subjek Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Modul pertanian yang praktikal berdasarkan konsep dan prinsip saintifik dalam bidang sains, seperti biologi, kimia, fizik, sains tanah dan sains alam sekitar perlu dimasukkan dalam modul pendidikan pertanian. Kursus ini juga boleh merangkumi keprihatinan terhadap alam sekitar, kelestarian, pengoptimuman sumber, aspek teknikal dalam bidang pertanian dan keusahawanan.

Sektor pertanian Malaysia tidak akan maju selagi pertanian dianggap sebagai penanaman dan pemeliharaan ternakan semata-mata dan tidak dianggap sebagai satu jenis keusahawanan dan perniagaan. Selama itu juga pertanian tidak akan mendapat tempat di hati generasi muda. Kurikulum yang dijenamakan semula ini perlu mengambil kira semula kecekapan dalam perniagaan dan ekonomi, termasuk kecekapan ICT, untuk mengatasi masalah persaingan global.

Pendidikan pertanian yang sistematik seperti ini akan meletakkan asas bagi generasi muda untuk menjadi agropreneur dan modal insan yang kompeten dalam sektor pertanian.

Majikan hari ini memerlukan generasi muda yang kompeten, bukan hanya dalam pengeluaran utama pertanian, tetapi juga dalam aspek pengeluaran sekunder iaitu pengedaran, pemprosesan, promosi dan kepuasan pengguna.

Oleh itu, generasi muda perlu menjadi pemain utama dalam sektor pertanian yang membangun dengan pesat. Penyertaan mereka dalam sektor pertanian sangat penting bagi memastikan modal insan yang lestari dan berpengetahuan tinggi dalam sektor ini untuk mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama pada 2030.

Jangan lupa makanan yang kita makan dan sarung telefon bimbit yang kita guna adalah hasil daripada pertanian!

Penulis adalah Pensyarah dari Jabatan Ekonomi & Perniagaantani, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Felo Penyelidik di Economic and Financial Policy Institute (ECoFI), UUM

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 7:00 AM