TAIWAN dengan 23.78 juta penduduk hanya merekodkan 940 kes positif dengan sembilan kematian. FOTO EPA
TAIWAN dengan 23.78 juta penduduk hanya merekodkan 940 kes positif dengan sembilan kematian. FOTO EPA
Syah Rul Aswari Abdullah

Ketika kebanyakan negara masih bergelut dengan peningkatan kes Covid-19, Taiwan menjadi negara contoh yang berjaya menangani penularan virus itu.

Meskipun tidak terkecuali dengan pengesanan varian baharu virus itu, ia unggul apabila pernah bebas virus daripada jangkitan tempatan selama lapan bulan antara 12 April sehingga 22 Disember tahun lalu.

Setakat ini, negara pulau dengan 23.78 juta penduduk itu hanya merekodkan 940 kes positif dengan sembilan kematian.

Sebagai perbandingan, negeri di Amerika Syarikat yang paling ramai penduduk, California, dengan populasi 39.51 juta, merekodkan 3.4 juta kes positif dengan 48,000 kematian.

Jadi, bagaimana negara ini mampu menangani penularan Covid-19? Malah, semua ini dilakukan tanpa perlu menguatkuasakan sekatan pergerakan (lockdown) terhadap rakyatnya.

Lebih menakjubkan, negara ini tidak mengalami penularan gelombang kedua. Sedangkan, ada sesetengah negara kini dilanda gelombang ketiga atau keempat penularan virus itu.

Kejayaan Taiwan adalah berdasarkan kecekapannya mengambil langkah proaktif ketika mula-mula virus itu dilaporkan.

Ia awal-awal lagi sudah menghentikan semua penerbangan masuk dari China. Ketika virus itu mula menular pada Januari 2020, negara itu menutup sempadannya kepada bukan penduduk daripada memasuki negara itu.

Sejak itu, ia terus memperketat kawalan sempadannya. Sehingga kini, penduduknya masih tidak dibenarkan mengembara ke luar negara.

Pengarah Pusat Dasar, Dapatan dan Pencegahan di Universiti Stanford, Jason Wang berkata, kejayaan Taiwan adalah disebabkan kawalan sempadan yang ketat.

Beliau berkata, ia termasuk pengawasan bagi mengesan individu yang mempunyai simptom sebelum mereka menaiki penerbangan.

Selain itu, individu yang memasuki negara itu dimestikan untuk mematuhi tempoh kuarantin 14 hari.

Bagi memastikan individu terbabit benar-benar mematuhi perintah itu, pihak berkuasa akan memantau pergerakan mereka menggunakan aplikasi telefon bimbit. Ia akan mengesan seseorang yang ingkar perintah itu.

Pihak berkuasa juga benar-benar memanfaatkan teknologi bagi memastikan individu yang memasuki negara itu tidak menyebabkan risiko penularan jangkitan tempatan.

Menurut The Diplomat, ia mempunyai antara sistem pengesanan kontak terbaik dunia.

Sebagai contoh, sistem itu akan membolehkan ia mengesan 20 hingga 30 kontak kepada kes positif.

Setiap daripada mereka diwajibkan menjalani perintah kuarantin 14 hari. Setakat ini, lebih 340,000 individu sudah diarah menjalani kuarantin menerusi sistem berkenaan.

Fortune.com pula melaporkan dalam satu kes yang ekstrem susulan kes seorang pekerja pusat hiburan disahkan positif, pihak berkuasa mengesan sehingga 150 kontak dan mereka diwajibkan menjalani kuarantin, walaupun ujian menunjukkan keputusan negatif.

Hakikatnya, manusia tetap manusia. Meskipun dengan sistem pengesanan canggih dan pemantauan rapi, masih ada rakyatnya yang berani melanggar perintah kuarantin ini.

Sebagai 'balasan', denda yang tinggi dikenakan bagi menghukum individu terbabit.

Mungkin ramai yang beranggapan kenapa Taiwan kelihatan begitu cemas dan paranoid dalam menangani Covid-19.

Ini kerana mereka sudah 'tidak alpa' kerana pernah dilanda wabak Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS).

Hakikatnya, SARS hanya meragut 774 nyawa di seluruh dunia dalam tempoh lapan bulan antara 2002 dan 2004. Covid-19 pula sudah menyebabkan kematian 2.44 juta penduduk dunia dan sehingga kini, tiada petunjuk virus ini akan secara misteri tiba-tiba lenyap seperti SARS.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 7:20 AM