Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


SEPARUH daripada enam kriteria ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah dapat dilaksanakan negara ini menerusi dapatan bahawa penularan Covid-19 di negara ini adalah semakin terkawal.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kebolehjangkitan virus itu di negara ini sudah dapat dikurangkan.

Selain itu, katanya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga berkesan dengan melaksanakan pendekatan tertumpu dengan mengambil sampel semua penghuni kawasan berkenaan.

"Pendekatan tertumpu setakat ini dapat menemui 10 peratus kes positif daripada keseluruhan sampel diambil.

"Jika kes penularan atau kes baharu dapat dikawal atau tiada penularan dalam komuniti, itu adalah sebaik-baiknya," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Beliau menjelaskan demikian ketika ditanya setakat manakah Malaysia memenuhi enam kriteria ditetapkan WHO sebelum boleh memutuskan sama ada untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sebaliknya.

Enam kriteria merangkumi kawalan keselamatan, kawalan pergerakan, kemampuan sistem kesihatan, kemampuan melindungi golongan berisiko tinggi, mengamalkan norma baharu dan kemampuan melaksanakan langkah pencegahan dalam komuniti.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, walaupun ada kelonggaran dalam PKP fasa keempat bagi tempoh antara 29 April ini sehingga 12 Mei depan namun kawalan sempadan haruslah diperketatkan.

"Ini kerana kita dapati sekarang contohnya ada kes yang balik dari luar negara membawa jangkitan Covid-19.

"Daripada warga Malaysia sahaja (balik dari luar negara) terdapat 131 kes positif dikesan. Jika kita membuka sempadan untuk orang luar masuk ke negara ini, kebarangkalian jangkitan Covid-19 akan meningkat.

"Pastinya, kena kawal (perkukuhkan) sempadan kita," katanya.

Selain itu katanya, kejayaan Malaysia ialah keupayaan kesihatan awam yang berupaya mengesan kes awal, isolasi dan kuarantin, membuat ujian serta pengesanan kontak rapat bagi kes positif.

"Kapasiti hospital bagi merawat kes Covid-19 juga adalah memenuhi sistem kesihatan ditetapkan.

"Contohnya penggunaan katil di hospital adalah kurang daripada 30 peratus. Penggunaan Unit Rawatan Rapi (ICU) juga semakin kurang," katanya.

Menurutnya, jika dilihat penggunaan ICU berdasarkan mereka yang memerlukan bantuan pernafasan juga semakin berkurang.

Beliau berkata, petugas kesihatan negara turut mengambil langkah proaktif mengenal pasti golongan berisiko tinggi seperti di pusat jagaan warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) dengan memberi perlindungan kepada mereka.

"Amalan normal baharu juga kena dipatuhi berkaitan penjagaan kebersihan dengan kerap mencuci tangan, penjarakan selamat dan langkah pencegahan kawalan. Mungkin lebih enam bulan atau setahun.

"Hari ini kita tidak ada vaksin. Vaksin yang kita adalah penjarakan selamat. Itu yang penting dan kita kena amalkan selain menjaga komuniti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 6:10 PM