Datuk Dr Noor Hisham (kiri).
Datuk Dr Noor Hisham (kiri).
Nurul Hidayah Bahaudin dan Rosyahaida Abdullah


PELAKSANAAN pendekatan tertumpu menunjukkan impak positif dalam mengesan lebih banyak kes Covid-19 dengan lapan kumpulan sasar dikenal pasti sehingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, antara kumpulan sasar yang dikenal pasti adalah peserta perhimpunan di Seri Petaling dan kontak rapat mereka selain pelajar, kakitangan madrasah serta tahfiz berkait rapat dengan perhimpunan itu.

"Kami turut mengenal pasti kumpulan sasar terdiri daripada rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan ditempatkan di pusat-pusat kuarantin, anggota kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta penduduk di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Selain itu, Pasar Borong Kuala Lumpur dan pasar-pasar yang berkait rapat dengan PBKL, pekerja asing di tapak pembinaan di zon merah serta rumah jagaan warga emas juga dikenal pasti sebagai kumpulan sasar," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, masyarakat tidak perlu khuatir dengan peningkatan kes baharu susulan pendekatan tertumpu agresif dan proaktif dilakukan kerajaan kerana ia menunjukkan keberkesanan aktiviti terbabit.

"Kes-kes yang dikesan ini sememangnya diasingkan dan diberi rawatan di hospital bagi memastikan virus Covid-19 tidak terus menular dalam kalangan masyarakat," katanya.

Mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun nanti, beliau berkata, KKM menyambut baik pengumuman perkara itu.

"Ini akan terus memberi ruang kepada kerajaan dalam memerangi penularan virus sehingga ke tahap lebih terkawal sambil mengimbangi pembukaan sektor ekonomi secara berhati-hati. Tahap keberkesanan tindakan ini akan dinilai dari semasa ke semasa," katanya.

Noor Hisham berkata, pihaknya akan menggiatkan usaha mengurangkan kes positif Covid-19 melalui pengesanan kes aktif dan pendekatan tertumpu menerusi pengesanan, penyaringan dan ujian ke atas kumpulan sasar berisiko tinggi.

"Tindakan ini dapat dijalankan dengan lebih berkesan melalui pelaksanaan PKPB dan PKPD," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 5:36 PM