PENGIMBAS suhu badan diletakkan di pusat beli-belah di Islamabad, Pakistan susulan pandemik Covid-19 selain langkah kerajaan menggunakan teknologi perisikan rahsia. FOTO AFP.
PENGIMBAS suhu badan diletakkan di pusat beli-belah di Islamabad, Pakistan susulan pandemik Covid-19 selain langkah kerajaan menggunakan teknologi perisikan rahsia. FOTO AFP.
AFP

Islamabad: Pakistan menggunakan teknologi pengawasan rahsia yang biasanya untuk memburu militan, bagi mengesan pesakit Covid-19 dan kontak mereka.

Perdana Menterinya Imran Khan secara terbuka berkata, kerajaan meminta bantuan agensi perkhidmatan perisikan (ISI) supaya dapat sama-sama menangani penyebaran virus yang masih menular di seluruh negara.

Maklumat lanjut berkenaan projek tidak didedahkan, namun wakil rasmi memberitahu AFP bahawa pasukan risikan akan menggunakan sistem 'geo-fencing' dan pemantauan telefon yang biasanya diguna dalam memburu sasaran berprofail tinggi, sama ada militan tempatan atau luar negara.

Kurangnya kesedaran, stigma dan ketakutan menyumbang kepada keengganan penduduk dengan simptom Covid-19 mendapatkan rawatan di hospital, malah ada yang melarikan diri selain tidak patuh terhadap arahan kuarantin.

Seorang pegawai kanan keselamatan enggan dikenali berkata, agensi itu ketika ini 'sangat efektif' menggunakan teknologi berkenaan untuk mengesan kes koronavirus.

"Kerajaan berhasil dalam mengesan mereka yang disahkan positif tetapi menyembunyikan diri," katanya.

Sistem 'geo-fencing' iaitu alat pengesanan pintar akan memberi amaran kepada pihak berkuasa sekiranya ada penduduk yang meninggalkan kawasan, sekali gus alat terbaik mengawal kejiranan ketika perintah berkurung.

"Sementara sistem jejak dan kesan membolehkan telefon pesakit Covid-19 dikesan bersama-sama orang yang mereka berhubung, sebelum masing-masing hilang," katanya.

Setakat ini, hampir 60,000 penduduk Pakistan dijangkiti Covid-19 dan lebih 1,200 pesakit mati.

Dalam pada itu, aktivis dan bekas senator Afrasiab Khattak menyelar campur tangan perkhidmatan risik dalam menangani Covid-19 kerana boleh mewujudkan ketakutan dalam kalangan rakyat.

"Kerja mencari dan mengesan pesakit dan orang bergejala perlu dilakukan secara bersama oleh pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat.

"Biarkan perisik melakukan kerja asasi mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 3:07 PM