Artis, Elly Mazlein bersama dengan kakitangan mebuat persembahan sempena sambutan hari raya warga MPB di Balai Berita, Bangsar. FOTO ROHANIS SHUKRI
Artis, Elly Mazlein bersama dengan kakitangan mebuat persembahan sempena sambutan hari raya warga MPB di Balai Berita, Bangsar. FOTO ROHANIS SHUKRI
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: "Kalau kita check (periksa) phone (telefon bimbit) suami, ia sudah jadi macam hubungan toksik," kata pelakon, penyanyi dan pengacara popular, Elly Mazlein ketika diminta mengulas kebahagiaan rumah tangganya dan suami ketika ini.

Kata Elly atau nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, dia tidak pernah memeriksa telefon bimbit suaminya sepanjang tempoh empat tahun berumah tangga.

"Alhamdulillah, rumah tangga kami bahagia dan masih jauh lagi perjalanan kami. Saya dan suami saling percaya antara satu sama lain dan sentiasa doa yang baik-baik buat rumah tangga kami.

"Saya cakap dengan suami, papa (suami), mama percaya sangat dengan papa, tolong jangan musnahkan kepercayaan mama pada papa.

"Papa (suami) pun sudah dewasa dan boleh fikir yang terbaik dan papa tengoklah anak-anak papa kalau nak buat yang bukan-bukan dan suami cakap dia takkan jadi seperti itu," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui pada majlis sambutan hari raya, warga Media Prima di Balai Berita Bangsar di sini, semalam.

Tambah Elly yang dikenali dengan gelaran KakLina Pom Pom, dia juga mengetahui kata laluan telefon bimbit suaminya, begitu juga sebaliknya.

"Suami juga tidak pernah periksa telefon bimbit saya sepanjang kami berkahwin.

"Saya percaya, apabila seseorang isteri mula meragui dan periksa telefon bimbit suaminya, mesti dia (suaminya) sudah pernah 'terkantoi' sebelum ini," katanya.

Pada masa sama, kata Elly, komunikasi membabitkan pasangan suami dan isteri sangat penting dalam menjaga keharmonian rumah tangga.

"Kita perlu sentiasa positif dan berbincang dengan pasangan untuk mengelak sebarang masalah.

"Isu semasa (perkara buruk) yang membabitkan rumah tangga pasangan artis juga mengajar kami lebih berhati-hati supaya ia tidak berlaku dalam rumah tangga kami pula kerana kesian pada anak-anak yang masih kecil," katanya.

Elly berkahwin dengan Muhammad Azlan Che Nuh, 34, yang bertugas sebagai guru pada 18 Januari 2020 dan dikurniakan seorang anak, Haider Mateen, 3.

Sebelum ini, Elly pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah, Azmi Hatta, pada 9 November 2014 dan bercerai pada 15 Oktober 2015. Mereka juga dikurniakan seorang anak perempuan, Putri Sara Sefhia, 8.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 12:37 PM