POLIS memeriksa lokasi seorang penagih dadah dipercayai mencampak bayi ke dalam kolam udang. FOTO Agensi
POLIS memeriksa lokasi seorang penagih dadah dipercayai mencampak bayi ke dalam kolam udang. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Gara-gara berhalusinasi dipercayai akibat pengambilan dadah, seorang lelaki tergamak mencampak anak rakannya yang baru berusia setahun ke dalam kolam ternakan udang menyebabkan bayi malang itu mati lemas.

Bangkok Post melaporkan, kejadian berlaku kelmarin dan suspek dikenali sebagai Nutthapong, 36, baru tiga hari bekerja di kolam ternakan udang berkenaan.

Pegawai bertugas di Balai Polis Klaeng, Kapten Polis Nutthakrit Konglord berkata bayi lelaki yang maut dikenal pasti sebagai anak kepada Thongpipat, 26, rakan sekerja suspek.

"Kejadian berlaku di ladang udang di Rayong daerah Klaeng apabila Thongpipat meminta suspek menjaga anaknya sebentar sementara dia ke tandas kerana sakit perut. Kolam ternakan udang itu terletak di sebelah kabin pekerja.

"Tidak beberapa lama berada di tandas, Thongpipat mendengar suara anaknya menangis dan Nutthapong menjerit meminta anaknya itu diam.

"Kemudian dia mendengar bunyi kuat seolah-olah seseorang sedang menendang pintu diikuti dengan bunyi seseorang melompat ke dalam air, disangkanya Nutthapong masuk ke dalam kolam untuk menangkap udang," katanya.

Berdasarkan soal siasat, katanya, Thongpipat menjelaskan sejurus keluar dari tandas dia mendapati anaknya hilang.

Menurutnya, Thongpipat bertanya kepada Nutthapong di mana anaknya dan suspek memaklumkan sudah mencampakkan anak kecil itu ke dalam kolam.

"Thongpipat menyangka rakannya bergurau lantas dia mula melihat sekeliling. Hasil pencarian dia menemui mayat anaknya tenggelam di dasar kolam udang.

"Saksi cuba membantu dengan membuat bantuan pernafasan kecemasan (CPR), namun bayi itu sudah meninggal dunia," katanya.

Nutthakrit berkata, susulan itu, polis menahan suspek di kabin pekerja kolam ternakan udang berkenaan pada hari sama kejadian.

Menurutnya, ketika ditahan di tempat kejadian, suspek dalam keadaan khayal dan gelisah.

"Apabila polis dan pekerja perubatan tiba, Nutthapong kelihatan sangat khayal, menjerit dan cuba melawan.

"Siasatan mendapati suspek baru mula bekerja di ladang itu tiga hari sebelum pembunuhan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 12:08 PM