GAMBAR hiasan. FOTO Ghazali Kori
GAMBAR hiasan. FOTO Ghazali Kori
Achim Schmillen

USAHA perlindungan sosial giat dilaksanakan bagi menjaga kebajikan dan mata pencarian kumpulan B40 di Malaysia berdepan krisis akibat wabak Covid-19 yang tidak pernah dialami sebelum ini.

Setakat ini, tiga pakej sokongan ekonomi diumumkan, apabila dua pakej PRIHATIN dilancarkan membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik itu.

Golongan ini termasuk penjaja, usahawan mikro, artis dan pekerja tidak formal lain menanggung kehilangan mata pencarian yang teruk akibat krisis itu.

Walaupun langkah proaktif ini memberikan sedikit kelegaan kepada golongan B40, strategi sistem perlindungan sosial Malaysia secara keseluruhannya perlu diberi perhatian.

Ini termasuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dalam fasa pemulihan ekonomi selepas ini dan untuk jangka masa panjang.

Ramai yang menjangkakan krisis ini akan membawa perubahan besar di serata dunia dan menggelarnya sebagai Normal Baharu.

Pastinya banyak perubahan akan berlaku. Kehidupan yang kita jalani selama ini akan bertukar.

Dunia pekerjaan juga dijangka berubah, namun sifat perubahan ini masih belum dikenal pasti.

Salah satu aspek Normal Baharu perlindungan sosial di Malaysia adalah mencari jalan bagi mengukuhkan sistem perlindungan sedia ada dengan menyediakan perlindungan yang lebih baik kepada pekerja tidak formal yang kebanyakannya golongan B40.

Kaji selidik Jabatan Statistik Malaysia baru-baru ini menunjukkan sektor pertanian, perkhidmatan dan mereka yang bekerja sendiri mengalami kadar kehilangan pekerjaan yang paling tinggi ketika fasa pertama PKP yang bertujuan menghentikan penularan wabak dalam separuh kedua Mac.

Sektor dan jenis pekerjaan itu terdiri daripada pekerja B40, di mana 'bekerja atas talian' atau bekerja dari rumah bukan pilihan bagi mereka.

Cabaran utama perlindungan sosial adalah bagi melindungi golongan yang memerlukan dengan cara yang paling berkesan sama ada ketika krisis Covid-19 dan pada masa hadapan.

Tiga aspek utama adalah:

  • Pertama perlindungan melalui sokongan pendapatan langsung dalam bentuk bantuan tunai adalah penting.

    Langkah ini menyediakan bantuan jangka pendek untuk mengurangkan tekanan kewangan, menyokong usaha pemulihan ekonomi jangka sederhana serta merangsang perbelanjaan semasa kemerosotan ekonomi.

    Untuk melindungi golongan B40 yang terjejas akibat krisis Covid-19, terutama mereka yang bekerja secara tidak formal, perlindungan pendapatan hendaklah diasingkan daripada insurans sosial formal seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

    Secara prinsipnya, sokongan pendapatan boleh disalurkan secara khusus kepada pekerja sektor tidak formal yang kehilangan pekerjaan atau mata pencarian ketika krisis.

    Namun, ciri tidak formal ini menjadikan bantuan khusus itu usaha yang mencabar.

    Sokongan yang melibatkan kumpulan tertentu, misalnya pekerja dalam bidang perkhidmatan perkongsian kenderaan – berisiko untuk mengecualikan sebahagian besar golongan B40.

    Krisis ini mengheret ramai rakyat ke kancah kesusahan ekonomi.

    Program Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diperkenalkan sebagai sebahagian daripada pakej PRIHATIN adalah langkah penting menuju ke arah yang betul.

    Program ini memiliki ciri-ciri progresif dan memberi penekanan kepada melindungi golongan B40.

    Tambahan pula, pemberian adalah secara automatik kepada semua penerima program Bantuan Sara Hidup (BSH) dan rakyat Malaysia yang layak berdasarkan pemfailan cukai pendapatan pada tahun sebelum ini.

    Pendaftaran bagi penerima bantuan baharu juga boleh dilakukan dengan mudah secara atas talian menerusi laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), membolehkan pembayaran dibuat dengan pantas.

  • Kedua bantuan tunai tambahan mungkin diperlukan.

    Pakej sokongan ekonomi ini seolah-olah menganggap krisis Covid-19 akan berlalu dalam masa dua hingga tiga bulan – semua bayaran BPN yang dijadualkan akan tamat selepas Mei 2020.

    Bagaimanapun, ramai yang menjangkakan impak krisis ini ke atas golongan B40 akan berlarutan lebih lama.

    Jika bantuan tunai tambahan diperlukan, penyaluran bantuan ini kepada penerima program BSH dan bukannya penerima BPN yang lebih ramai harus dipertimbangkan.

    Ini dapat memastikan bantuan tunai yang bernilai lebih tinggi dapat disalurkan kepada B40 yang juga golongan yang paling memerlukan sokongan ini.

    Menurut anggaran Bank Dunia, program Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebelum ini – yang mempunyai kriteria yang mirip dengan program BSH – berjaya diedarkan kepada 85 peratus daripada isi rumah B40 pada 2016.

    Pelaksanaan bantuan tunai tambahan kepada penerima BSH akan turut menyokong langkah lain di bawah pakej PRIHATIN yang menggunakan KWSP dan Perkeso.

    Langkah ini memberi sedikit perlindungan pendapatan kepada golongan M40.

  • Ketiga usaha untuk menghebahkan program BSH dan BPN kepada isi rumah berpendapatan rendah boleh diperbanyakkan.

    Hebahan berkaitan bantuan yang disediakan amat penting.

    Kempen komunikasi yang berkesan selalunya menggunakan siaran media dan akhbar serta liputan platform digital seperti media sosial dan aplikasi pembayaran mudah alih.

    Namun, ini tidak mencukupi. Kempen komunikasi harus dilaksanakan bersama kerajaan negeri dan tempatan, organisasi keagamaan, organisasi kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan kumpulan yang tidak celik digital sedar mengenai bantuan yang disediakan kerajaan.

    Usaha untuk menghebahkan maklumat perlu dilengkapi dengan proses pelaksanaan yang mudah.

    Proses pendaftaran BSH dan BPN hendaklah dimudahkan dan tidak membebankan mereka yang tidak mempunyai kemudahan Internet, terutama masyarakat luar bandar dan pedalaman.

    Krisis Covid-19 adalah cabaran global dan Malaysia tidak bersendirian dalam perjuangan ini.

    Dalam krisis ini, Malaysia mampu menggunakan sistem perlindungan sosial untuk membantu golongan yang memerlukan.

    Normal Baharu memberi peluang kepada negara memperkukuhkan lagi sistem perlindungan sosial supaya dapat melindungi rakyat dengan lebih berkesan supaya tiada kelompok rakyat di negara ini ketinggalan.

    Penulis Ahli Ekonomi Kanan Kumpulan Bank Dunia Malaysia

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2020 @ 6:59 AM