Filem Sheriff mula ditayangkan di pawagam hari ini.
Filem Sheriff mula ditayangkan di pawagam hari ini.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Filem aksi thriller terbitan dua syarikat gergasi, Skop Productions dan Astro Shaw berjudul Sheriff berjaya mencatat kutipan melebihi RM1 juta menerusi tayangan awal.

Berkongsi berita gembira itu di platform media sosial rasmi mereka, Astro Shaw meluahkan rasa syukur dengan sokongan penonton terhadap filem arahan Shafiq Yusof yang cukup dikenali sebagai 'Raja Plot Twist'.

"Alhamdulillah. Sheriff nak ucapkan terima kasih kepada anda semua. Sokongan anda untuk tayangan awal filem Sheriff ini memang mantap. Kepada yang belum menonton, pergi beli tiket sekarang, Jom kita gegar panggung hari ini," tulisnya.

Dalam pada itu, Penerbit Eksekutif Sheriff dan Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Astro Shaw amat teruja untuk mempersembahkan sebuah lagi filem arahan Syafiq Yusof dan optimis ia bakal mencatatkan satu lagi sejarah dalam industri perfileman negara.

"Sheriff adalah filem keenam hasil daripada kerjasama bersama Skop Productions selepas Polis Evo 3, Abang Long Fadil 2 dan 3, KL Special Force dan Misteri Dilaila.

"Meskipun industri filem tempatan diwarnai dengan pelbagai naskhah yang membabitkan badan beruniform. Namun, kehadiran Sheriff tentunya berbeza dengan filem-filem yang sedia ada kerana ia dipersembahkan melalui plot, babak dan dialog yang penuh kejutan.

"Memandangkan filem ini ditayangkan pada minggu perayaan Aidilfitri, jadi kami merasakan ia adalah waktu yang tepat untuk ditonton bersama keluarga, rakan-rakan dan insan tersayang. Tentunya kami mengharapkan Sheriff dapat diterima semua penonton, sekali gus mampu mencipta satu lagi fenomena," katanya.

Sheriff menampilkan watak Nazri, seorang anggota polis dari Jabatan Narkotik yang merasakan masalah sindiket dadah Tony Ifrit semakin berleluasa.

Nazri berasa terdesak untuk menyelesaikan kes itu sendiri kerana Tony sering terlepas dari cengkaman undang-undang apabila melalui proses penghakiman.

Dalam masa yang sama, Sheriff, seorang anggota daripada Jabatan Integriti dihantar oleh pihak Ketua Polis Negara untuk menyelesaikan kes 'Meth Killer' dan dia ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan.

Filem yang mula menemui penonton hari ini dibarisi pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 4:00 PM