ANTARA babak menarik dalam Sheriff.
ANTARA babak menarik dalam Sheriff.
Riadz Radzi & Farihad Shalla Mahmud


Selepas tujuh hari tayangan Khamis lalu, filem Sheriff: Narko Integriti arahan Syafiq Yusof mencatat kutipan sebanyak RM22.1 juta.

Nampaknya selepas Polis Evo 3, Syafiq mencetus fenomena lagi dengan filem yang menampilkan lakonan Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Elizabeth Tan, Azira Shafinaz dan ramai lagi ini.

Dengan kutipan yang terus meningkat ini, tidak mustahil Sheriff mampu mencipta sejarah baru dalam industri perfileman Melayu.

Apa yang pasti, dengan jalan cerita berbeza, penuh aksi dan 'plot twist' di luar jangkaan, ini adalah filem kepolisan berbeza berbanding sedia ada.

Syafiq dalam temubual ketika majlis tayangan Sheriff sebelum ini berkata, dia menghasilkan filem kepolisan yang berbeza kerana tidak mahu bapanya yang juga penerbit, Datuk Yusof Haslam terus dikecam kerana menghasilkan karya yang hanya memaparkan sisi baik pihak polis saja.

Syafiq sanggup berdepan situasi itu demi membawa evolusi baharu dalam pembikinan filem membabitkan penjawat awam itu.

"Papa sudah buat siri Gerak Khas berpuluh-puluh tahun. Masuk dekad kedua pembikinannya ramai yang mula tidak suka.

"Mereka kata, drama bercorak kepolisian sudah tidak nampak 'real' kerana kerap puji polis dan tunjukkan mereka nampak baik.

"Bila perkara ini dibangkitkan, Papa kena kecam. Walhal Papa hanya buat filem atau drama mengikut peraturan dan undang-undang.

"Selepas mengarahkan filem bercorak kepolisian seperti KL Special Force dan Polis Evo 3, saya sudah tak tahu nak pusing mana lagi.

"Jadi, saya tampil dengan isu berat dan memaparkan sisi gelap polis menerusi filem Sheriff," katanya.

Namun, kata Syafiq, dia tidak hanya menunjukkan semua polis itu jahat, tetapi dia memberi dua perspektif kepada penonton iaitu kejahatan dan kebaikan.

"Saya harap orang tak menilai saya dan menganggap karya ini bertujuan menyerang polis," katanya.

SYAFIQ mahu lari dari filem kepolisan biasa.
SYAFIQ mahu lari dari filem kepolisan biasa.

YUSOF (empat dari kiri) dan Syafiq (lima dari kiri) bersama barisan pelakon pada tayangan perdana filem Sheriff di ibu negara, baru-baru ini. - FOTO Aziah Azmee
YUSOF (empat dari kiri) dan Syafiq (lima dari kiri) bersama barisan pelakon pada tayangan perdana filem Sheriff di ibu negara, baru-baru ini. - FOTO Aziah Azmee

Menurut Syafiq, Sheriff adalah filem paling susah untuk dihasilkan.

"Selain penggambaran memakan masa agak lama iaitu 81 hari, saya bimbang jika filem ini diharamkan.

"Saya tak risau dengan PDRM (Polis Diraja Malaysia), tetapi lebih kepada LPF (Lembaga Penapisan Filem). Alhamdulillah filem ini mendapat kebenaran untuk ditayangkan," katanya.

Sementara itu, Yusof menyifatkan buah tangan terbaru produksi Skop Productions itu sebagai karya paling jujur yang pernah dihasilkan.

"Saya sudah 40 tahun hasilkan cerita mengenai pasukan polis dan saya tahu kisah yang dipaparkan dalam filem Sheriff pasti tidak akan dibenarkan.

"Sebelum ini, saya pernah buat filem yang memaparkan kisah rasuah dalam polis, tapi skripnya terpaksa dirombak kerana tidak mahu gambaran buruk masyarakat terhadap pasukan beruniform ini.

"Namun, zaman sudah berubah dan Bukit Aman juga semakin terbuka. Ketika sesi penilaian dibuat oleh LPF, ada antara panel yang juga bekas pegawai tinggi polis.

"Mereka setuju dengan apa yang kami paparkan dalam filem ini kerana ia realiti hari ini. Lagipun, kita memang tak boleh nak sorok apapun dalam dunia media sosial. Saya juga nak tegaskan, bukan niat kami merendahkan penjawat awam," jelasnya.

Diterbitkan dua studio gergasi tanah air, Skop Productions dan Astro Shaw, Sheriff mengisahkan Nazri, polis dari Jabatan Narkotik lakonan Syafiq Kyle terdesak menyelesaikan sindiket dadah Tony Ifrit (Datuk Aaron Aziz) yang semakin berleluasa selepas Tony terlepas daripada hukuman.

Pada masa sama, Sheriff dari Jabatan Integriti dihantar Bukit Aman untuk menyelesaikan kes Meth Killer dan ditugaskan bersama Nazri untuk berada di bawah satu jabatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 6:50 AM