Borhan (kanan) ketika menyerahkan kerusi roda kepada Ali di rumahnya pagi tadi. Hadir sama isteri Ali, Sharifah Azuwanna dan rakan artis, penyanyi Salimey (kiri)
Borhan (kanan) ketika menyerahkan kerusi roda kepada Ali di rumahnya pagi tadi. Hadir sama isteri Ali, Sharifah Azuwanna dan rakan artis, penyanyi Salimey (kiri)
Ramlah Zainal


Sepang: Penyanyi Ali XPDC, 56, terpaksa dikejarkan ke wad kecemasan, Hospital Serdang kerana mengalami sesak nafas di kediamannya di Bandar Baru Salak Tinggi di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi.

Isterinya, Sharifah Azuwanna Syed Joned, 52, berkata, suaminya, Ali atau nama sebenarnya, Mohd Ali Ismail, 56, mengalami sesak nafas ketika majlis penyerahan sumbangan kerusi roda yang disampaikan Exco Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Pembangunan Bandar Lestari, Kebudayaan, Adat Istiadat Melayu dan Warisan Selangor, Borhan Aman Shah.

"Selepas majlis penyerahan kerusi roda, suami tiba-tiba mengalami sesak nafas dan sukar bercakap.

"Suami memang ada 'anxiety' dan mungkin sebab dia tengok ada ramai orang yang datang menziarahinya pagi tadi," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai bantuan kerusi roda pula, kata Sharifah Azuwanna, dia bersyukur kerana suaminya mendapat bantuan kerusi roda dari exco berkenaan.

"Bantuan kerusi roda itu dapat memudahkan pergerakannya. Terima kasih kepada pihak exco kerana sanggup menghantar suami ke hospital," katanya.

Ditanya keadaan Ali pula, kata Sharifah Azuwanna, suaminya berada dalam keadaan sedar dan stabil ketika ini.

"Doktor sudah beri ubat dan hasil pemeriksaan, jantungnya ada masalah sedikit dan paru-paru kanannya juga berair.

"Pihak kami masih tunggu pemeriksaan lanjut dari pakar jantung dan kemungkinan suami akan ditahan di wad dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi," katanya.

Sementara itu, Borhan pula berkata, pihaknya terpaksa membawa Ali ke hospital kerana melihat keadaannya yang sukar bernafas dan lemah ketika menziarahinya.

"Saya terpaksa membawanya ke hospital dengan kereta rasmi kerana melihat keadaannya yang lemah walau sudah diberi bantuan oksigen.

"Saya juga akan minta pihak hospital memantau keadaannya sebaik mungkin," katanya.

Pada Mac 2022, penyanyi yang terkenal dengan lagu Bunga Angkasa itu dikejarkan ke Hospital Ampang apabila didapati tidak bermaya selepas selesai berlatih di studio pemain bass XPDC, Eddie di Pandan Indah, Ampang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 3:12 PM