SALIMEY (kiri) ketika Ali beraya di rumahnya baru-baru ini.
SALIMEY (kiri) ketika Ali beraya di rumahnya baru-baru ini.
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: "Suami mengadu sesak nafas dan termengah-mengah malam tadi hingga saya terpaksa membawanya ke klinik," kata isteri penyanyi Ali XPDC, Sharifah Azuwanna Syed Joned.

Sharifah Azuwanna, 52, berkata demikian ketika diminta berkongsi kesihatan suami dan menjelaskan sudah membawa suaminya itu dua hingga tiga kali ke klinik sebelum ini tetapi doktor memberitahu keadaan paru-paru suaminya berada dalam keadaan baik.

"Selepas doktor datang ke rumah dan masukkan air serta beri ubat, barulah keadaan suami okay tapi bila bercakap dia masih termengah-mengah seperti semput," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai keadaan Ali atau nama sebenarnya, Mohd Ali Ismail, 56, Sharifah Azuwanna berkata, suaminya itu memerlukan bantuan kerusi roda untuk memudahkannya bergerak termasuk memenuhi undangan persembahan.

"Suami juga tidak boleh bergerak aktif seperti dulu kerana bila berjalan sikit dia akan semput. Kalau ada kerusi roda dia boleh menyanyi sambil duduk.

"Dia juga tidak boleh menyanyi dan beri tazkirah di masjid sejak sebelum Ramadan lagi kerana masalah kesihatannya itu.

"Sejak suami tak boleh bekerja, sayalah yang bekerja untuk menyara keluarga dengan menjual muruku serta dibantu anak yang sudah bekerja," katanya.

Sementara itu, rakan artis yang juga penyanyi Salimey pula berkata, isteri Ali juga ada menghubunginya malam tadi untuk berkongsi keadaan kesihatan suaminya itu.

"Ali dan isterinya ada berkunjung ke rumah saya sempena sambutan Aidilfitri, baru-baru ini.

"Saya sedang mengusahakan bantuan kerusi roda dengan Exco Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Pembangunan Bandar Lestari, Kebudayaan, Adat Istiadat Melayu dan Warisan, Borhan Aman Shah untuk Ali bagi memudahkannya bergerak termasuk memenuhi undangan persembahan," katanya.

Terdahulu, Salimey berkata, dia juga membantu Ali untuk mendapat sumbangan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi.

Farhan juga sudah menyerahkan sumbangan kepada Ali di kediaman penyanyi itu di Bandar Salak Tinggi, Selangor, pada Mac lalu.

Pada Mac 2022, penyanyi yang terkenal dengan lagu Bunga Angkasa itu dikejarkan ke Hospital Ampang apabila didapati tidak bermaya selepas selesai berlatih di studio pemain bes XPDC, Eddie di Pandan Indah, Ampang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 3:23 PM