Fahmi Fadzil menyampaikan bantuan kepada Zaiton Sameon ketika Program Ziarah Madani FINAS di kediaman beliau di Kondominium Apartment Sri Baiduri, Taman Bukit Indah, Ampang. FOTO RAIHANA MANSOR
Fahmi Fadzil menyampaikan bantuan kepada Zaiton Sameon ketika Program Ziarah Madani FINAS di kediaman beliau di Kondominium Apartment Sri Baiduri, Taman Bukit Indah, Ampang. FOTO RAIHANA MANSOR
Norhayati Nordin


Ampang : Penyanyi era 1980, Zaiton Sameon, 68, dijangka bakal mendapat bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dimohon dan dijanjikan kepadanya pada tahun lalu iaitu PPR Sri Aman di kawasan Jinjang, Kepong, Kuala Lumpur, tidak lama lagi.

Zaiton ditemui berkata, kini semua urusan berkaitan permohonan rumah PPR itu masih dalam proses dan difahamkan berjalan lancar apabila beberapa dokumen tambahan juga sudah dihantar kepada pihak berkenaan.

"Alhamdulillah, permohonan untuk saya dapatkan bantuan perumahan itu masih di dalam proses lagi. Tapi, saya sudah dimaklumkan akan mendapat rumah PPR Sri Aman di kawasan Jinjang, Kepong, Kuala Lumpur.

"Permohonan untuk rumah PPR itu sudah lama saya buat dan baru-baru ini ada kena hantar lagi beberapa dokumen tambahan. Insya Allah, semuanya akan selesai tak lama lagi dan saya dah boleh menetap di situ," katanya kepada Harian Metro.

Zaiton berkata, dia perlu bersabar saja sekarang sehingga segala urusan permohonan mendapatkan rumah PPR terbabit selesai berikutan faham ramai orang lain juga ada memohonnya.

Mengulas pula kunjungan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ke kediaman sewanya hari ini, penyanyi lagu Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar itu mengakui, dia berasa amat terharu.

"Saya terharu dan bersyukur apabila beliau (Fahmi) sudi datang menziarah saya yang bernasib malang ini di kediaman sewa yang serba sederhana ini.

"Memang saya tak sangka pun beliau sanggup meluangkan masa datang sendiri menyantuni saya untuk menghulur bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan meraikan hari raya Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

Zaiton berkata, dia sangat berterima kasih kepada pihak-pihak dan agensi tertentu yang prihatin dengan nasib artis susah sepertinya yang memang memerlukan bantuan seperti kewangan.

"Apapun, saya akui sebenarnya ada merasakan lirik lagu Menaruh Harapan itu memang kena dengan kisah hidup saya ini. Ditambah, kadang-kadang saya terfikir juga yang orang ramai sudah melupakan saya. "Bagaimanapun, bila tahu ada menteri tiba-tiba nak datang berjumpa dan menziarah saya di rumah hari ini, saya anggap ia adalah satu penghormatan bermakna buat saya," katanya.

Terdahulu, Zaiton ditemui media pada program Ziarah Seni Madani anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) 2024 yang disertai Fahmi di kediaman wanita itu di Apartmen Sri Baiduri, di sini.

Difahamkan, Zaiton yang menetap bersama keluarga anak angkatnya dikenali Che Sikah Ismail atau Ika, 48, sejak 11 tahun lalu menyewa di kediaman itu dengan kadar sewa sebanyak RM1,000 sebulan.

Pada 1990-an lalu, Zaiton pernah mengalami kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor serta mengakibatkan anak lelaki tunggalnya, Allahyarham Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia.

Zaiton mengalami kecederaan parah di bahagian kepala hingga koma dan menyebabkan dia juga hilang ingatan sementara, namun kini keadaan kesihatannya di tahap stabil.

Untuk rekod, Zaiton juga adalah prnerima Kad Orang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan pada 14 November 2022 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 4:13 PM