ZAITON SAMEON
ZAITON SAMEON
Norhayati Nordin

PENYANYI veteran, Zaiton Sameon, 63, kini harus memendam rindu untuk menziarah kubur anak tunggalnya, Allahyarham Azirwan Abu Bakar dan ibu bapa di kampung halamannya di Rembau, Negeri Sembilan.

Zaiton yang kini menetap di Ampang dihubungi berkata, setiap kali Ramadan, dia akan pulang ke Rembau untuk menziarah kubur anak dan ibu bapanya.

Bagaimanapun, dia tidak dapat melakukannya tahun ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu. Walaupun kerajaan memberi kelonggaran dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak semalam, perjalanan merentas negeri masih belum dibenarkan.

"Sekarang, kena tahan rindu dan kirimkan doa buat arwah anak dan ibu bapa selepas solat. Itu pun, sudah memadai dan Allah lebih mengetahui," katanya kepada Harian Metro.

Sudah lebih sebulan PKP, Zaiton berkata, dia tak berani hendak keluar rumah walaupun ke kedai kerana penularan Covid-19 ketika ini.

"Saya bukannya muda lagi. Lagipun, golongan umur seperti saya lebih berisiko untuk dijangkiti wabak itu. Jadi, demi keselamatan duduklah di rumah.

"Nak kata bosan atau tidak, selesa atau tak, pada saya buat masa sekarang menjaga keselamatan dan kesihatan adalah penting. Duduk rumah, saya berehat, tonton TV dan tingkatkan amal ibadat," katanya.

Menurut Zaiton, jika tahun-tahun sebelum ini dia aktif dengan persembahan nyanyian ketika Ramadan serta menjalankan perniagaan rendang iaitu Rendang Dapur Zaiton Sameon masakannya.

"Ramadan kali ini nampaknya saya rehat puas-puas di rumah dengan beribadat dan membaca Al-Quran. Nak berniaga rendang, memang tak dapatlah kerana PKP walaupun permintaan pelanggan tetap ada.

"Apapun, saya bersyukur kerana sedikit simpanan hasil berniaga rendang itu dapat juga digunakan untuk meneruskan kelangsungan hidup ketika ini," katanya.

Mengulas persembahan nyanyiannya, Zaiton berkata, disebabkan PKP banyak tawaran persembahannya di sekitar Kuala Lumpur dan negeri lain seperti Pulau Pinang, Kedah, Johor serta Singapura dibatalkan.

Ditanya juga mengenai bantuan, Zaiton berkata, dia ada menerima bantuan kewangan dan barangan keperluan dapur daripada penyanyi, Datuk Hattan yang datang ke rumahnya baru-baru ini.

Zaiton yang cukup terkenal pada era1980-an dan popular dengan lagu seperti Menaruh Harapan dan Kabut Serangkai Mawar.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2020 @ 2:45 PM