Zaiton (dua dari kiri) menerima sumbangan Ahmad Farhan Fauzi (tiga dari kanan) dan pegawai Jabatan Perdana Menteri ketika ditemui di kediamannya. Foto Aizuddin Saad
Zaiton (dua dari kiri) menerima sumbangan Ahmad Farhan Fauzi (tiga dari kanan) dan pegawai Jabatan Perdana Menteri ketika ditemui di kediamannya. Foto Aizuddin Saad
Norhayati Nordin


Ampang: Penyanyi era 1980-an, Zaiton Sameon, 67, mengaku dia malu untuk tampil meminta bantuan, namun memikirkan keadaan kehidupannya yang menumpang dengan anak angkat, Che Sikah Ismail atau Ika, 47, hampir 13 tahun, ia menjadi ikhtiar terakhir.

Zaiton ditemui berkata, tawaran menyanyi pun jarang diterimanya dan bayaran juga sedikit yang membuatkan dia berhadapan kesusahan dan memerlukan bantuan bulanan.

"Saya sebenarnya malu nak minta bantuan, tapi kalau terus berdiam diri mana orang tahu dan akan datang membantu saya. Jadi, sekarang saya memang perlukan bantuan dan syukur ramai juga yang membantu.

"Kalau boleh, saya inginkan tawaran menyanyi. Tapi, dengan keadaan saya yang begini, ramai orang (penganjur) berasa tidak yakin untuk memberikan saya tawaran menyanyi walaupun saya sebenarnya masih boleh menyanyi.

"Bayaran pula, saya hanya dibayar antara RM1,000 hingga RM1,500 untuk tiga buah lagu. Kebanyakannya tidak mahu bayar lebih mungkin kerana kurangnya keyakinan pada vokal saya," katanya ketika ditemui Harian Metro di kediamannya, di sini, petang tadi.

Zaiton berkata, sebagai orang yang menumpang di rumah anak angkatnya, dia tidak mahulah menyusahkan dan berasa wajar untuk bersama-sama membantu terutama membayar sewa rumah, RM1,000 sebulan.

"Saya pun sekarang tidak berapa sihat akibat kecederaan kaki ketika jatuh di dalam lif selepas membuat persembahan di stesen radio. Walaupun boleh berjalan perlahan tapi, buku lali masih bengkak lagi.

"Jadi, saya juga memerlukan kos rawatan dan perubatan untuk diri sendiri. Atas sebab itu, bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) amat diperlukan berikutan kos sara hidup sekarang pun tinggi," katanya.

Terdahulu, kesusahan dialimi Zaiton mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghantar wakilnya iaitu Setiausaha Politik beliau, Ahmad Farhan Fauzi untuk melawat serta menyampaikan bantuan.

Ahmad Farhan berkata, pada lawatan berkenaan, pihak Perdana Menteri menyumbangkan bantuan ikhlas berupa wang tunai kepada Zaiton dan bakul makanan sebagai tanda prihatin kepada kesempitan hidup penyanyi lagu Menaru Harapan itu.

"Di samping itu, difahamkan juga pihak JKM kini sedang mengusahakan bantuan bulanan kepada Zaiton sebagaimana yang diluahkannya kepada media, baru-baru ini.

"Semoga dengan sedikit bantuan yang sudah disampaikan ini, saya harap dapatlah mengurangkan ujian yang dipikul oleh Zaiton dalam meneruskan kelangsungan kehidupannya." katanya.

Hadir sama dengan Ahmad Farhan di kediaman Zaiton Sameon ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Pejabat Perdana Menteri, Khairy Maamor, wakil Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor dan wakil JKM Hulu Langat.

Pada Ahad lalu, Harian Metro melaporkan Zaiton amat memerlukan bantuan kewangan bulanan daripada JKM untuk mengurangkan bebanan kos sara hidupnya.

Bagaimanapun, dia berhadapan masalah apabila tidak tahu bagaimana prosedurnya untuk mengisi borang permohonan bantuan dan berharap pihak JKM dapat membantu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 6:10 PM