JASMINE Suraya. FOTO Arkib NSTP
JASMINE Suraya. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Pelakon, Jasmine Suraya, 35, menyangkal dakwaan segelintir pihak yang mendakwa dia menerima tajaan daripada kerajaan untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana di Institut Perfileman dan Teater Lee Strasberg, Los Angeles di Amerika Syarikat, April ini.

Jasmine menegaskan, kos keseluruhan sepanjang menyambung pengajian di luar negara adalah hasil wang simpanannya sendiri.

"Kenyataan mengatakan pihak kerajaan memberikan dana kepada saya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah tidak benar.

"Seluruh pembiayaan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara termasuk perbelanjaan harian saya di sana adalah sepenuhnya di bawah tanggungan saya sendiri.

"Kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini sudah disalah-ertikan dan membuka ruang kepada pelbagai andaian yang jauh dari konteks sebenar," katanya.

Menurutnya, perkara itu mula menjadi pertikaian apabila terdapat pihak menganggap dia menerima dana daripada kerajaan susulan  kenyataan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang disalah anggap netizen.

"Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tidak pernah sesekali bersetuju untuk memberikan dana atau bantuan.

"Walaubagaimanapun, beliau menyatakan dengan jelas di dalam satu temubual akan meneliti isu dana untuk anak-anak seni dan jawapan yang diberikan adalah di atas kapasiti menjawab soalan daripada pihak media namun sudah disalah ertikan," katanya.

Menurut Jasmine, dia juga tidak pernah memohon dana secara terus kepada pihak kerajaan atau badan-badan lain yang tiada kaitan dengan bidang seni di Malaysia.

"Saya mengakui ada mencuba memohon dana dan menghantar kertas cadangan berkenaan idea bagaimana untuk membangunkan lagi industri seni tempatan. 

"Saya tidak mengharapkan sepenuhnya bantuan kewangan kerana saya sudah membuat persiapan dari segi kewangan sejak awal lagi. 

"Saya juga ada menyatakan kegusaran saya mengenai nasib anak seni lain yang berbakat tetapi tidak berkemampuan," katanya.

Enggan mengeruhkan lagi keadaan, Jasmine berharap kenyataan yang diberikan dapat menjernihkan keadaan dan memberikan gambaran sebenar mengenai salah faham yang timbul.

"Saya juga berharap agar perkara ini akan membuka pelbagai pihak terutamanya badan-badan yang berkaitan dengan pembangunan industri seni tanah air untuk lebih fokus dan membuka lebih banyak peluang kepada anak-anak seni lain yang berbakat dan berkelayakan.

"Langkah seterusnya, saya mahu fokus sepenuhnya kepada pengajian saya yang akan bermula pada April ini," katanya.

Sebelum ini, Jasmine mendedahkan dia memerlukan wang sebanyak RM300,000 ke RM400,000 untuk melanjutkan pelajaran di Institut Perfileman dan Teater Lee Strasberg.

Susulan daripada itu, Fahmi memberitahu kerajaan sedia mempertimbang langkah untuk membantu pelakon berkenaan melanjutkan pengajiannya di sana.

Bagaimanapun, kenyataan Fahmi itu menerima pelbagai reaksi netizen termasuk ada yang mempersoalkan kelayakan Jasmine untuk menerima bantuan kerajaan.

Institut Perfileman dan Teater Lee Strasberg pernah menghasilkan beberapa graduan berbakat yang sudah menjadi pelakon popular termasuk Angelina Jolie, Chris Evans, Scarlett Johansson dan Lady Gaga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 10:02 PM