Jasmine Suraya
Jasmine Suraya
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Jasmine Suraya sudah menjual dan melepaskan segala barangannya termasuk kereta demi membiayai pengajian di Institut Perfileman dan Teater Lee Strasberg di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS).

Jasmine, 35, yang bakal berangkat pada 15 Mac nanti berkata dia cuma membawa dua bagasi ke sana dan memaklumkan membiayai sendiri pengajiannya itu berbekalkan wang simpanannya.

"Setakat ini persiapan saya sudah 70 peratus. Segala barangan sudah saya jual termasuk kereta, lepaskan rumah sewa, sedekah, dan hanya akan membawa barangan-barangan asas termasuk pakaian yang perlu ke sana.

"Perbelanjaan di LA pasti mahal dan saya fokus untuk gunakan wang yang ada bagi membayar pengajian dan tempat penginapan. Memang semua perbelanjaan akan saya tanggung sendiri saja," katanya.

Jasmine berkata semangatnya meneruskan pengajian diimpikan itu tidak tergugat pun meskipun pelbagai usaha dilakukan termasuk cuba mendapatkan dana tambahan daripada beberapa pihak tidak kesampaian.

"Ya, saya sudah berusaha sebaiknya mendapatkan dana tambahan pengajian itu. Dengan harapan, niat untuk menimba ilmu sebagai anak seni di institut terbaik itu akan dapat saya bawa dan kongsi di Malaysia kelak.

"Bagaimanapun, semua permohonan saya temui jalan buntu. Namun, tidak langsung mematahkan semangat kerana memang niat itu sudah saya pasang dari awal dan kena kotakan juga berbekalkan fikiran optimis," katanya.

Pada November tahun lalu, Jasmine memaklumkan bakal menyambung pengajian dalam bidang lakonan 'method' dan menjadi rakyat Malaysia pertama berbuat demikian di institut terbabit.

Anak jati Kuching, Sarawak itu berkata dia secara spesifik memilih akademi itu kerana pernah menempatkan alumni terkenal termasuk Marilyn Monroe, Scarlett Johansson, Angelina Jolie, Al Pacino, Lady Gaga, Chris Evans dan lain-lain.

Kos sepanjang pengajiannya selama setahun menelan belanja sekitar RM300,000. Jasmine sepatutnya dijadualkan mendaftar masuk sekitar Disember tahun lalu namun menundanya kerana mendapat tawaran menjayakan watak utama sebuah filem di Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 1:47 PM